Mahasiswa

Rasuah adalah salah satu perkara yang wajib dijauhi oleh semua pihak tanpa mengira umur, jawatan ataupun jantina. Terdapat pelbagai kesan buruk rasuah kepada sesiapa yang terlibat termasuklah individu, institusi, dan juga negara.

Tahukah anda, 14.3 % daripada 2,254 responden yang ditemui dari kalangan pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta, mengaku pernah ditawarkan rasuah. Kajian ini dilakukan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai tingkah laku mahasiswa terhadap rasuah.

Hasil daripada kajian terhadap responden, sebanyak 2.5 peratus atau 56 responden mengakui telah mengambil rasuah yang diberikan. Dalam masa sama, 11.8 peratus mahasiswa berkenaan pernah ditawarkan rasuah, namun tidak mengambilnya. Perkara ini dimaklumkan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Prof Madya Dr Hanina Halimatusaadiah Hamsan.

“Mahasiswa ini terdiri daripada mereka yang ada jati diri yang tinggi di mana mereka terdiri daripada mahasiswa IPTA, 12.2 peratus dan IPTS 10.6 peratus.

“Manakala, 11.4 peratus responden pernah diminta melakukan rasuah. Daripada peratusan itu, 11.1 peratus diminta melakukan rasuah tetapi tidak melakukannya dan hanya 2.3 peratus daripada responden diminta melakukan rasuah dan melakukannya,” katanya semasa membentangkan Hasil Kajian Persepsi Kecenderungan Tingkah Laku Rasuah Dalam Kalangan Mahasiswa anjuran Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, bagi kajian kecenderungan terhadap tingkah laku rasuah pula mendapati, hanya 2.3 peratus reponden bersetuju dengan soalan mengenai “sekiranya saya mempunyai kuasa dan peluang, saya akan melakukan rasuah”.

Hasil kajian itu didapati lebih baik berbanding dapatan yang diperoleh melalui kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi soalan sama pada 2003. “Soalan ini pernah ditanya kepada mahasiswa 18 tahun dulu, iaitu dapatan oleh UKM pada 2003 yang mendapati 30.5 peratus mahasiswa menyatakan ya.

“Namun, tahun ini kita tanya soalan sama, dan hasil dapatan hanya 2.3 peratus respoden cakap ya,” jelasnya. Mengenai soalan ‘saya mengutamakan kenalan, keluarga untuk kerja dan perjawatan’, sebanyak 10.6 peratus responden menjawab ya.

Selain itu, antara syor yang dikemukan melalui kajian berkenaan ialah mengambil perhatian terhadap penubuhan Gerakan Anti-Rasuah Mahasiswa melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), mewujudkan satu Biro Khas berkaitan integriti dan anti-rasuah di bawah MPP di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) dan promosi kempen benci rasuah.

“Kajian juga menyokong kerajaan melaksanakan kursus integriti dan rasuah sebagai subjek elektif di semua IPT mulai September 2021 dan subjek 2030,” ujarnya.

Sumber : Astro Awani

 

Leave a Reply