Posted on

Surat dan Cabaran Terbuka kepada Khairy Jamaluddin

Surat dan Cabaran Terbuka kepada Khairy Jamaluddin
Rahman Imuda

 

Saya Rahman bin Imuda ingin mengemukakan surat terbuka dan cabaran untuk bersemuka/berdialog berkenaan isu Transformasi Nasional 2050 (TN 50).  Pendidikan merupakan salah satu topik tumpuan utama dalam plan Transformasi Nasional 2050, dan pada pandangan saya kebebasan akademik merupakan salah satu komponen yang wajib ada dalam sistem pengajian tinggi kita. Saya ingin menuntut kata-kata YB Khairy Jamaluddin ketika sidang media berkenaan TN50 yang berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan, ‘kita sedia mendengar cadangan dan kritikan belia yang bersifat membina’. Di tangan saya ada beberapa cadangan yang konstruktif berkenaan institusi pengajian tinggi Malaysia yang terkait dengan topik tumpu TN50, adakah YB sedia untuk memberikan ruang kepada saya?

Cabaran ini saya lakukan susulan daripada insiden saya diminta untuk berhenti memberikan penerangan berkenaan Transformasi Nasional 2050 pada 6/3/2017 di kampus saya belajar. Alasan yang dikemukakan sangat dangkal, saya dilabelkan sebagai radikal akibat pernah melakukan aksi-aksi yang dianggap keras padahal ia tidak jauh daripada norma mahasiswa di peringkat antarabangsa. Mereka bimbang hadirin akan menjadi radikal, sedangkan saya hanya membentangkan pengenalan berkenaan Transformasi Nasional (TN50). Sepanjang saya memberi penerangan, saya tidak melakukan sebarang kritikan bahkan mengambil ungkapan-ungkapan yang diucapkan oleh Perdana Menteri dan YB melalui program rasmi. Oleh kerana saya adalah saya, maka diskusi itu dihentikan padahal ia adalah perjumpaan mingguan ahli kelab yang tidak memerlukan sebarang kebenaran bertulis daripada pihak pentadbiran. Bagaimana mungkin kita boleh membina negara bangsa yang berfikiran kritis dan kritikal sekiranya budaya ‘pemandulan intelektualisme’ ini masih berlaku? Jika mahasiswa tidak dilepaskan untuk berbincang isu-isu nasional dan seperti terkurung di dalam penjara, maka TN50 sebenarnya sudah gagal sebelum ia bermula.

Kebebasan akademik akan melahirkan idea-idea yang bernas yang boleh digunakan untuk memacu pembangunan negara. Bagaimana mungkin idea-idea yang diharapkan oleh pemerintah melalui TN50 boleh dimunculkan jika proses-proses pembinaan idea itu dibunuh?

khairy-jamaluddin-lee-chong-wei

Sekali lagi, saya Rahman bin Imuda, aktivis mahasiswa mencabar YB Khairy Jamaluddin untuk bersemuka dan berbincang berkenaan kebebasan akademik yang seharusnya diutamakan dalam pengajian tinggi. Buktikan bahawa kata-kata yang YB ungkapkan ketika sidang media bukan setakat omong kosong atau retorik, tapi benar-benar bermaksud demikian.

YB adalah seorang menteri, saya adalah seorang rakyat biasa. Sudah menjadi adat anak laki-laki menerima cabaran, dan lebih-lebih lagi sudah menjadi kewajiban seorang menteri untuk mendengar idea-idea yang datang dari rakyat seperti yang diwar-warkan melalui TN50.

Jika cabaran ini tidak bertepuk sebelah tangan, pihak YB boleh menghubungi saya melalui email ada.urusan@gmail.com atau facebook.com/rahmanimuda. Moga perjumpaan kita dapat direalisasikan. Saya juga akan menghantarkan surat rasmi melalui email Kementerian Belia dan Sukan.

 

 

Posted on

Surat Terbuka untuk Timbalan Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Sabah

Surat Terbuka untuk Timbalan Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni
Universiti Malaysia Sabah

Rahman Imuda

Adil adalah menimbang dengan sama berat, menyalahkan yang salah dan membenarkan yang benar, mengembalikan hak yang empunya dan jangan berlaku zalim ke atasnya.
– Hamka

Saya berharap jika surat terbuka ini menemui Prof. Madya Dr. Ismail Ali, moga-moga Prof. dalam keadaan yang sihat hendakNya. Saya bukanlah salah seorang ‘anak’ Prof. di Universiti Malaysia Sabah, tapi lantaran beberapa insiden yang tidak enak menimpa saudara-saudara mahasiswa saya di universiti yang diselia oleh Prof., maka saya menulis surat terbuka ini umpama seorang anak yang ingin melihat ayahnya berlaku adil kepada saudaranya yang lain. Saya juga bimbang Prof. sedang dikelilingi oleh wakil pelajar yang ‘kaki kipas’ sehingga memberi gambaran yang salah tentang ‘fenomena kebangkitan mahasiswa’ yang sedang berlaku sekarang. Saya akan memberikan pandangan dalam bentuk poin-poin di dalam surat ini, dengan harapan surat ini dapat dibaca oleh Prof.

“Apa gunanya ilmu kalau tidak memperluas jiwa seseorang sehingga ia berlaku seperti samudera yang menampung sampah-sampah. Apa gunanya kepandaian kalau tidak memperbesar kepribadian seseorang sehingga ia semakin sanggup memahami orang lain?”

jawatang-kosong-di-universiti-malaysia-sabah-2015-660x330

 

  1. Saya berpandangan Prof. melihat beberapa aktivis mahasiswa Universiti Malaysia Sabah sebagai radikal dan tidak rasional dalam bertindak. Percayalah Prof., ini adalah ledakan amarah mahasiswa yang selama ini terkurung oleh sebuah penjara yang dipanggil Akta Universiti Kolej Universiti. Mahasiswa tidak diberi ruang untuk berpartisipasi dalam proses demokrasi Malaysia, apabila mereka cenderung untuk melakukan aksi-aksi yang tidak mesra pemerintah, mereka akan dihukum.
    **
  2. Saya percaya selaku orang yang berilmu dan berdedikasi seperti Prof., pasti memiliki nilai keadilan yang tinggi terhadap ‘anak-anak’ yang sedang dijaga ini. Besar harapan sekiranya aktivis mahasiswa ini tidak diperlakukan seperti anak tiri. Ini adalah zaman mahasiswa mereka, pindaan Akta Universiti Kolej Universiti yang terbaru telah menjamin keterlibatan mahasiswa dengan politik bukan satu jenayah.
    **
  3. Melihat kepada pertuduhan ‘menggugat ketenteraman awam’ terhadap saudara mahasiswa saya, kami telah meminta bukti-bukti untuk mengesahkan bahawa perhimpunan aman Bersih yang berlaku di Kota Kinabalu tempoh hari bersifat demikian. Malangnya, sehingga kini kami belum menerima sebarang bukti berkenaan pertuduhan tersebut. Saya yakin bahawa pertuduhan itu adalah satu kesilapan dan mungkin Prof. boleh mempertimbangkan agar prosiding ini tidak diteruskan dan dua aktivisi mahasiswa tersebut dibebaskan dari pertuduhan.
    **
  4. Kekecewaan saya memuncak apabila kempen solidariti mahasiswa ini dihalang oleh pengawai keselamatan UMS. Prof., mahasiswa ini bersaudara, apabila mereka merasakan ada saudara mereka tertindas maka mereka akan bangkit menunjukkan rasa simpati. Mengapa perlu dihalang? Universiti adalah tempat mahasiswa, sekadar pidato daripada mahasiswa tidak akan menyebabkan bencana alam seperti Tsunami menimpa UMS. Apabila mahasiswa dihalang dan disekat, ini akan membangkitkan lagi semangat mereka untuk terus mara, sudah menjadi lumrah dunia, kaum yang merasakan diri mereka tertindas akan bangkit membebaskan diri.
    **
  5. Satu ketika dahulu ada seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar Prof. mengampu Perdana Menteri kita dengan begitu hebatnya, video berkenaan insiden ini tular dan mendapat kecaman yang hebat daripada netizen. Pada pandangan saya, ini jauh memalukan nama Universiti Malaysia Sabah kerana mereka tahu mahasiswa ini merupakan wakil pelajar UMS. Malangnya saudara-saudara mahasiswa saya di UMS memaklumkan dia tidak dikenakan apa-apa hukuman, malah menjadi anak emas pengurusan. Bukanlah niat saya mahu dia dihukum, tapi saya ingin memberi perbandingan dalam konteks mempersoalkan neraca keadilan.
    **
  6. Anehnya lagi, apabila dialog/forum terbuka yang diusulkan oleh aktivis mahasiswa ‘berdosa’ ini seperti tidak dilayan atau diberikan janji yang tidak pernah ditunaikan. Saya merasakan dialog adalah salah satu jalan terbaik untuk mengubat amarah mahasiswa yang merasakan diri mereka tertindas. Anjurkan dialog terbuka untuk pihak pengurusan berhujah mengapa aktivis mahasiswa ini mahu dihukum, kemudian beri ruang untuk mereka menjustifikasikan tindakan mereka. Biarkan mahasiswa yang hadir menilai hujah kedua-dua pihak, saya yakin Prof. percaya bahawa ‘anak-anak’ dibawah seliaan Prof. adalah anak-anak yang bijak dan boleh menilai mana yang baik dan buruk.
    **
  7. Untuk pengetahuan Prof., beberapa hari lepas berlaku satu insiden yang saya boleh sifatkan sebagai ‘pemandulan intelektualisme’ telah berlaku di Fakulti Seni UMS. Saya mendapat berita bahawa mahasiswa tidak lagi dibenarkan berpuisi di sana. Bukankah mahasiswa seni kreatif menghabiskan kebanyakan masa mereka untuk mencipta dan mengkritik puisi dan sajak. Bagaimana mungkin mereka boleh disekat untuk berpuisi?
    16864697_10206172868719124_7796200689301900130_n
  8. Saya fikir sudah terlalu banyak kejadian-kejadian di Universiti Malaysia Sabah yang perlu ditangani dengan ‘pentas ilmu dan hujah’ berbanding ‘sekatan dan hukuman’. Mahasiswa adalah golongan yang masih belajar, boleh jadi kami betul dan boleh jadi kami salah. Mencabuli kebebasan akademik dan keterlibatan mahasiswa dalam proses demokrasi negara adalah seolah-olah menghalakan sepucuk pistol kepada seseorang yang mahu belajar.
    **
  9. Saya mohon maaf jika di sepanjang surat terbuka ini terdapat kekasaran bahasa atau struktur yang mengundang rasa tidak senang Prof.. Oleh kerana perlawanan di sana agak keras, saya cuba untuk menyusun aksara dengan bahasa yang lembut, mudah-mudahan tembus di hati Prof.
    **
  10. Sekian, terima kasih. Hubungilah saya pada bila-bila masa, dan jika perlu saya bersedia untuk bersemuka atau menghadiri forum yang dianjurkan oleh pihak Prof.

 

Knowledge will give you power, but character respect.
– Bruce Lee

 

 

Rahman Imuda
facebook.com/rahmanimuda

YDP Ikatan Anak Muda Tawau
Aktivis Mahasiswa
mantan NYDP MPP salah sebuah universiti awam
+601119054285 (WhatsApp)
ada.urusan@gmail.com