Posted on

Komentar Debat Pendidikan Percuma KUBU

KITA berada pada zaman dunia di hujung panca indera, kita dapat berhubung dengan orang yang jauh pada kadar yang cukup pantas. Bagi penggemar diskusi seperti saya, teknologi telah memberikan saya peluang untuk mendengar, membaca ulasan dan memberi komentar pada mana-mana acara yang saya tidak dapat hadiri secara fizikal, ia satu kenikmatan.

Semalam saya berpeluang mendengar debat pendidikan percuma yang dianjurkan oleh Kuliah Buku (KUBU). Debat ini menampilkan dua anak muda; saudara Izzat yang merupakan mantan Mahasiswa Turun Parlimen (MANTAP) dengan pendirian pendidikan percuma tidak relevan dan saudara Sharan Raj dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang yakin pendidikan percuma wajar dilaksanakan oleh kerajaan.

Ringkasan hujah kedua-dua pihak

Saya percaya mesej-mesej perjuangan boleh disampaikan melalui “imej”, terutamanya apabila ruangan “berkata-kata” ditutup rapat. Kehadiran Sharan Raj dengan berbaju salah seoarang nabi sosialisma Karl Marx dan kehadiran Izzat dengan baju koperat biru putih memberi gambaran berkenaan pendirian mereka. Hal ini mungkin kelihatan remeh, tapi politik “imej” agak penting di Malaysia, sebab itulah baju melayu, wajah menawan, songkok dan serban sering berteman rapat dengan kempen politik.

Idea asas yang diberikan oleh Izzat bagi mengetepikan kerelevanan pendidikan percuma berputar pada poin ekonomi negara tidak mengizinkan, bagi sistem pra-sekolah ia tidak diwajibkan (bermaksud tidak akan memberi bebanan), sistem pendidikan primer dan sekunder pula sudah percuma ditambah dengan bantuan awal persekolahan, dan bagi pendidikan tinggi hujah beliau bagi saya kurang jelas, beliau ada menyentuh tentang penukaran pinjaman PTPTN kepada biasiswa dan kebimbangan kualiti pendidikan tinggi jika pendidikan kita “dipercumakan”.

Selain itu beliau ada menyentuh soal “mentaliti” masyarakat dan seruan untuk mahasiswa belajar bersungguh-sungguh supaya mendapat ijazah kelas pertama supaya pinjaman pendidikan dihalalkan.

Bagi Sharan Raj, asas kepada idea beliau adalah memberi pendidikan percuma dengan mendapatkan dana melalui “pencukaian” kelompok kaya dan maha kaya di Malaysia. Menurut kajian yang telah beliau lakukan negara kita memerlukan 15 bilion untuk 6 tahun pertama pendidikan percuma, kemudian 6 bilion setahun selepas tempoh tersebut. Beliau yakin dengan sejumlah wang yang hampir separuh daripada bajet Jabatan Perdana Menteri ini mampu untuk merealisasikan impian pendidikan percuma di Malaysia.

Sharan turut berhujah berkenaan sistem pendidikan primer dan sekunder di negara ini dengan mempersoalkan yuran PIBG yang masih wujud dan memberi tekanan kepada keluarga pelajar. Beliau turut menyatakan kebanyakan pelajar terutamanya Universiti Swasta menghadapi tekanan kewangan seterusnya memberi kesan kepada prestasi akademik mereka.

Hujah-hujah asas yang saya berikan menjadi kiblat perbincangan mereka pada debat kali ini, dan boleh saya katakan kedua-dua pendebat mempunyai asas dalam hujah mereka menjadikan debat ini bukan sekadar “omong kosong”.

Pendidikan untuk apa?

Sebelum kita terjun dalam persoalan pendidikan percuma, saya fikir wajar kita menetapkan falsafah pendidikan “realiti” pada hari ini. Bagi saya keutamaan pendidikan untuk hari ini adalah sebagai instrumen untuk meningkatkan taraf hidup. Hal ini bermakna pendidikan penting untuk rakyat mendapatkan kerjaya dengan gaji yang boleh membebaskan seseorang daripada kemiskinan.

Selepas menetapkan objektif seperti ini, barulah kita boleh menjawab persoalan-persoalan seperti; adakah orang miskin mendapat akses yang cukup kepada pendidikan? Jika cukup, adakah perbelanjaan pendidikan membebankan? Sejauh mana pendidikan tinggi dapat menjanjikan pekerjaan? Adakah kewujudan hutang pendidikan menyukarkan proses pembebasan seseorang daripada kemiskinan?

Jika kita memberikan pendidikan percuma kepada rakyat, tetapi kita tidak memperbaiki polisi “labour market” kita, saya fikir kita masih berhadapan dengan cabaran membebaskan golongan miskin daripada kelompok tersebut. Belanja pendidikan yang tinggi tanpa pengukuhan industri sedia ada atau pembukaan industri baharu untuk produktiviti akan mengundang bencana.

Kita harus menyedari keadaan industri pekerjaan hari ini kurang adil; mereka yang punya “kabel” pasti lebih mudah mendapat pekerjaan dan kewujudan rasisme dan diskriminasi dalam pengambilan pekerja itu berlaku.

Berbalik kepada perdebatan ini, saya fikir Izzat perlu membuang hujah “mentaliti masyarakat” kerana ayat ini sudah terlalu usang dan kerap digunakan. Saya tidak punya banyak masalah dengan hujah beliau berkenaan pra-sekolah, sekolah primer dan sekunder, tapi saya berpandangan beliau perlu mengkritik sistem pendidikan tinggi kita yang mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki.

Sebagai contoh, kesamarataan yuran dalam kalangan mahasiswa, wujudnya universiti awam dengan yuran yang tinggi dan kesukaran graduan mendapat pekerjaan.

Bagi Sharan pula, saya berpandangan beliau perlu mencari model “pendidikan percuma” dari mana-mana negara untuk dijadikan rol-model dalam perjuangan beliau. Kewujudan kiblat seperti ini akan memudahkan rakyat untuk memahami konsep pendidikan percuma dan menyampaikan mesej bahawa “ia realistik dan telah dilakukan oleh orang lain”.

Selain itu, mekanisme pencukaian golongan kaya dan maha kaya datang dengan beberapa isu yang boleh berlaku dan menyebabkan kekurangan bajet untuk pendidikan percuma. Sebagai contoh, golongan maha kaya di mana-mana negara bersifat “mobile”, mereka boleh memindahkan asset ke tempat-tempat “Tax havens” seperti Cayman Island.

Semoga isu pendidikan terus dimainkan

Isu pendidikan merupakan isu yang penting untuk sesebuah negara, semoga debat yang seperti ini akan terus subur. Generasi muda harus kerap berbicara tentang isu pendidikan agar ia diberikan perhatian yang besar oleh politikus dan masyarakat memandangkan kita hidup pada zaman yang semakin mencabar.

 

Posted on

Selamat Tinggal Mukmin Nantang dan “konco-konconya”

Sudah lama aku tidak menulis sesuatu di NadiSiswa, bahkan secara jujurnya aku mula merindui papan kekunci untuk jari menari-menari. Tidak silap aku, ketika Mukmin “mampir” di ibu kota untuk menyertai satu perhimpunan aktivis anak muda, entah bagaimana kami boleh tersesat sehingga ke Bukit Bintang. Ketika itu kami ketawa melihat satu kedai dengan tulisan “JARI MENARI” dihiasi dengan lampu yang berwarna-warni. Memandangkan aku tidak diundang dalam acara yang menghimpunkan aktivis muda di ibu kota, pertemuan kami singkat ketika itu.

Aku percaya kedai jari menari itu adalah sebuah SPA, jari menari-menari di atas badan untuk memberikan kelegaan, jika tidak puas mungkin jari itu akan berlari-lari pula; kalau anda sedang ketawa maksudnya anda memahami humor dewasa. Fungsi jari menari milik aktivis mahasiswa pula bukan untuk memberi kelegaan pada badan seseorang, tapi menembak kepala pembacanya. Apabila tembakan itu mengenai sasaran, maka si pembaca tadi sepatutnya mendapat pencerahan tentang apa yang ingin disampaikan penulis. Tugas penulis adalah mencerah bukan memaksa. Akal-akal yang telah cerah pasti akan bertindak, jika belum ada tindakan maknanya akalnya masih kelam. Seseorang boleh membaca 1000 buku; tapi belum tentu ilmu yang dicernakan itu mampu diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Awal Pertemuan

Salah satu punca aku kurang menulis adalah kesibukan menyiapkan Final Year Project (FYP), dan aku juga ingin menghabiskan sisa-sisa hidupku di kampus bersama teman-teman yang bakal aku rindui. Kemudian, aku melihat Mukmin mengucapkan selamat tinggal kepada UMS kerana dia bakal menamatkan pengajiannya di sana. Atas sebab itu aku terpanggil untuk menghadiahkan sebuah tulisan yang tidak seberapa. Aku tidak dapat hadir dalam majlis “cop halalnya” kelak, tapi hatiku ada bersamanya. Tiada pula bunga semerbak dapat aku kirimkan, melainkan ucapan selamat berjaya dan terima kasih atas memori yang kita kongsikan bersama.

Mengenang sejarah pertemuan kami, ternyata ia lebih romantis daripada pertentangan mata Zainuddin dan Hayati. Kali pertama Zainuddin bertentangan mata dengan Hayati adalah  ketika Hayati berada di atas kereta lembu, kali pertama aku bertentang mata dengan saudara Mukmin, ia dihadapan papan catur. Bunyi tulisan ini sudah semakin “berkunyit”, aku harus kembalikan semula larasnya ke arah ucapan selamat tinggal.

Dipendekkan cerita, kami bersahabat biasa ketika menghadapi STPM. Namun pada ketika itu kami saling meneka karakter antara satu sama lain, tidak ada pergerakan yang terhasil daripada persahabatan itu. Sekali-sekala kami adalah bermain futsal, minum kopi sekali, tapi tidak ada yang boleh dijadikan memori manis.

Program Pertama Bersama

Aku pasti ramai yang ketawa jika aku menceritakan aku dahulu adalah seorang islamis, bahkan aku menubuhkan satu gerakan dakwah yang dinamakan Geng Street Dakwah (GSD), sehingga kini gerakan itu masih bernyawa walaupun kurang aktif berprogram. Memandangkan aku dilantik menjadi ketua fasilitator dalam sebuah program kepemimpinan Islam, aku menjemput Mukmin sebagai fasilitator kerana aku tahu dia aktif mengendalikan program (selalunya berteraskan sukan). Melalui program ini jugalah aku menjemput sahabat lama aku; Saiful Bahri Tolla yang akhirnya menjadi Setiausaha Ikatan Anak Muda Tawau. Ini kali pertama Saiful dan Mukmin bertemu, akhirnya kini mereka sudah semakin serasi dan semakin menuju kunyit. Sekali lagi, aku bergurau. Mereka berdua sudah punya kekasih abadi.

Rentetan daripada program itu, ikatan kami semakin rapat. Akhirnya kami terus bersama menjalankan program-program memandangkan ketika itu kami sedang bercuti panjang selepas STPM. Secara jujur, aku pun tidak tahu berapa banyak program yang kami anjurkan, dan betapa banyaknya variasi program yang ada. Pernah sekali kami menetap seminggu di rumah Ustaz Alias Hj Idris yang kami anggap sebagai bapa kerana menguruskan program. Berbekalkan sepasang baju dan seluar, disulami tawakkal kami menetap di rumah Ustaz. Memori ini sering kami ceritakan kepada pelapis; pentingnya pengorbanan dalam apa jua yang kita perjuangkan. Kalau baru dijentik hujan sudah melatah, tidak malukah kita menggunakan jenama aktivis anak muda?

Kejayaan Suara Mahasiswa UMS

Salah satu faktor kejayaan Suara Mahasiswa adalah faktor lokaliti dan pertemuan sebelum masuk ke kampus. Kemudian ia dibantu dengan pertemuan ketika bercuti, di samping kita tidak boleh menafikan Suara Mahasiswa disertai oleh golongan yang cekal dan berani.

Jika aku ditanya tentang kejayaan utama Suara Mahasiswa UMS; aku akan mengklasifikasikan kejayaan mereka kepada dua bahagian. Pertama kejayaan mereka di UMS dan kedua kejayaan mereka pada peringkat nasional. Kewujudan Suara Mahasiswa, atau sebelum ini Barisan Siswa Cemerlang (BSC) memberikan impak yang besar pada politik kampus UMS. Golongan ini telah menggantikan Pro Mahasiswa (walaupun aku percaya ia masih wujud dengan jenama yang baharu) yang kebetulan pada tiga tahun kebelakangan ini mengalami kematian secara perlahan-lahan.

Suara Mahasiswa menjadi “watch-dog” kepada calon-calon MPP yang bakal bertanding, lebih-lebih lagi kepada MPP yang telah dilantik. Bagi mereka yang sering mengikuti Suara Mahasiswa dan saudara Mukmin, sudah pasti kita dapat melihat bagaimana mereka memeriksa setiap janji-janji yang pernah ditaburkan oleh calon yang bertanding. Sesuatu yang jarang dilakukan oleh mana-mana kolektif mahasiswa kecuali ketika didatangi PRK.

Seterusnya, Suara Mahasiswa juga “memberitahu” kolektif mahasiswa bahawa mereka harus bekerja sepanjang tahun, bukan semata-mata menunggu PRK. Kalimah kolektif mahasiswa bukan parti politik sering meniti di bibir saudara Mukmin, dan dalam hal ini aku bersetuju. Matlamat parti politik adalah mendapatkan kuasa, tapi tidak untuk kolektif mahasiswa, matlamat kolektif mahasiswa adalah untuk memberi pencerahan dan berkhidmat.

Pihak Pentadbiran UMS mungkin akan gembira dengan kehilangan Mukmin, tapi aku fikir mereka tidak boleh menafikan keberadaan Mukmin di UMS memberi banyak pelajaran kepada mereka. Melalui provokasi dan persoalan-persoalan yang dilemparkan Suara Mahasiswa, mereka perlu belajar untuk memberi jawapan dan bertindak. Walaupun hampir semua tindakan yang dilakukan oleh pihak pengurusan (seperti mengenakan AUKU) aku tidak bersetuju, tapi aku percaya mereka banyak belajar “skill” baharu akibat gelombang kemaraan mahasiswa.

Pada peringkat nasional pula, aku boleh menyatakan satu sahaja. Harga solidariti. Kolektif mahaiswa harus menyedari mereka tidak punya apa-apa. Wang, kuasa, dan aset? Setakat pengetahuan aku, tidak ada akaun persatuan kolektif mahasiswa bebas yang melebih RM 5000. Akibat kekurangan inilah kita sering diperhambakan pemodal (ahli politik atau hartawan). Suara Mahasiswa UMS mengajar kita untuk bersolidariti diantara satu dengan yang lain kerana pada hakikatnya ini sahaja yang dimiliki oleh mahasiswa. Jika bersolidariti sesama kolektif mahasiswa pun kita sombong, apakah mungkin kita sanggup membantu hal yang lebih berat? Lihatlah bagaimana Suara Mahasiswa UMS yang sentiasa bersolidiriti dalam hal-hal yang melibatkan kebajikan mahasiswa nasional.

Selamat Jalan Mukmin

Selamat menempuh realiti kehidupan Mukmin. Ketika menjadi mahasiswa; apabila kita salah ia tidak salah, kerana kita sedang belajar. Ketika menjadi graduan, aku percaya senario ini akan berbeza. Namun mengenali dirimu dengan rapat, aku percaya ayat yang akan keluar dari mulutmu; aku peduli apa ini semua. Teruskanlah berjuang, kita sekeluarga tetap ada untuk saling membantu antara satu dengan yang lain.

 

Suara-suara itu tak bisa dipenjarakan, di sana bersemayam kemerdekaan. – Wiji Thukul