Posted on

Mahasiswa : Jangan Kritik Kerajaan, Nanti Hilang Biasiswa!

Mahasiswa : Jangan Kritik Kerajaan, Nanti Hilang Biaasiswa!
Imran Razalle
(Mantan YDP MPP USIM)

Tarikh keramat sambutan Hari Buruh 1 Mei 2017 menjadi sayu dan hiba tatkala penekanan dan tindakan kebudakan pihak yang menekan golongan cerdik pandai ini. Sin Chew Daily melaporkan bahawa dalam satu sesi pertemuan Jabatan Perkhidmatan Awam dengan penerima biasiswa, dikejutkan dengan amaran bahawa mereka mungkin kehilangan tajaan jika mengkritik kerajaan. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Dato Seri Zainal Rahim Seman dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan berhak membatalkan biasiswa kepada mana-mana penerima sekiranya mereka secara terbuka mengkritik kerajaan. Tambahnya, kerajaan telah menyediakan dana kepada pelajar supaya dapat menimba ilmu dan menjadi professional, oleh itu tanggungjawab mereka memberi tumpuan kepada pelajaran.

Ironinya, wujud segelintir pihak yang menganggap golongan bijak pandai menjadi biawak hidup yang perlu dikendong merentasi padang pasir yang gersang. Logika mereka, ilmu itu perlu dituntut bagi mendapatkan sekeping kertas yang menjadi lesen bekerja tapi awas, jangan sesekali melampaui sempadan itu.

Mahasiswa tidak seharusnya ditutup mulut dan diikat tangan dan kaki daripada menyatakan kebenaran. Saya cukup yakin dan percaya bahawa mahasiswa mempunyai maksud baik memberi kritikan dan saranan membina adalah tidak lain dan tidak bukan, untuk melihat kelestarian pembinaan negara bangsa yang lebih baik dan merangka masa depan yang lebih terjamin. Budaya takut atau ‘culture of fear’ yang diterapkan kerajaan bukanlah memberikan keuntungan bahkan menrugikan negara pada jangka masa panjang. Masyarakat kita bakal menjadi bangsa penakut serta kepimpinan kita kepimpinan hanyut, hanyut dalam khayalan yang dibina sedangkan bahtera negara bakal karam.

ZHJPA 6
Sumber : mStar

Logika yang diberikan bahawa dana tajaan yang diberikan supaya fokus dalam pelajaran adalah tidak masuk akal. Mereka lupa bahawa medan pelajaran bukan hanya di kelas-kelas dan bilik kuliah, tetapi dalam pentas dan kancah keperitan masyarakat. Menyatakan kebenaran juga adalah satu tanggungjawab mahasiswa intelek. Membetulkan yang salah dan mendokong yang betul itu menjadi prinsip yang sebati dalam diri mahasiswa. Mahasiswa tidak sepatutnya dianggap sebagai musuh dalam perjuangan bahkan seharusnya dilihat sebagai rakan yang saling melengkapi.

Wang tajaan adalah hasil kutipan daripada pembayar cukai dan seharusnya manfaat itu dipulangkan kepada mereka. Mahasiswa yang melihat kebobrokan yang berlaku perlu menyampaikannya dengan adil, bukan diberi amaran supaya berdiam diri dan membungkam rasa. Kerajaan perlu menerima dengan sikap yang terbuka dan saksama. MAHASISWA TIDAK BUTA. Kita ini dididik untuk memihak yang mana? Ilmu-ilmu yang diajarkan akan menjadi alat pembebasan atau sebagai alat penindasan? Perlu pimpinan negara hayati bahawa mahasiswa adalah pelapis kepimpinan negara akan datang. Pembudayaan budaya ketakutan bakal melahirkan mahasiswa yang bukan hanya pandir, tetapi meletakkan masa depan negara pada tangna manusia bebal. Ini bakal merugikan negara dan meruntuhkan ketamadunan yang telah lama dibina oleh nenek moyang kita. Umpama kalah dalam menang.

Saya menutup penulisan saya dengan potongan sajak R.S Rendra, iaitu ‘sajak Pertemuan Mahasiswa’

Ada yang menangis, ada yang mendera,

Ada yang habis, ada yang mengikis,

Dan maksud baik kita,

Memihak yang mana?

LAPORAN BERKAITAN