Posted on

‘Waktu Muda Tidak Menunggu’

Berbeza kaum, berbeza tujuan, berbeza jiwa
Walaupun beribu kali ‘perbezaan’ ditimbulkan, kita masih mendiami dunia yang sama
Kita mengagumi bulan yang sama, kita merasa terik mentari yang sama, kita bernafas sama udara pagi yang tercemar, atau kadangnya yang segar
Kenapa tidak mengangkat persamaan, dan meraikan keunikan setiap pandangan kita

Kamu mungkin tidak seperti aku, dan aku tidak seperti kamu
Semuanya ini, keberadaan yang berbeza harus dihimpun – untuk memikir melampaui hanya kuasa dan wang
Untuk melihat melangkaui hanya politik lama dan ideologinya
Juga, kawan-kawanku, zaman muda bukan hanya untuk bersantai tetapi kita di sini diperlukan untuk memikir melampaui keremehan arus perdana
Kita harus mendesak untuk menegakkan keihsanan dan kemanusiaan

Dunia yang lebih baik
Adalah dunia di mana kita boleh jujur dengan diri kita, menyuarakan apa yang terpendam dalam sanubari
Adalah dunia di mana kita henti memuja pemimpin dan menuntut mereka bergerak dengan kita ke arah kebaikan, bukan menguasai kehidupan kita, dan kemudiannya memisahkan mereka yang terpinggir
Adalah dunia di mana kita mengiktiraf dunia manusia yang aneka ragam dan bahagia dengan kehadiran semua antara kita
Dunia yang lebih baik
Bukan hanya perihal hidup kita sendiri, tetapi satu tanggungjawab bersama untuk berjuang mempertahankan nilai insani setiap manusia

Teman-teman seperjuangan,
Cukup kita menunggu kerana semua orang menunggu dan tidak ada yang mahu bergerak, semua mahu menyertai dan tidak ada yang mahu membangunkan
Semua menunggu untuk satu kebangkitan agung
Menjadi muda, kita tidak menunggu, kita bergerak, kita menggelora, kita menyoal, kita memberdaya, kita mengubah

Menjadi muda memerlukan tindakan yang jauh lebih mengakar, kita harus membantu yang lain dan menjadikan setiap hubungan lebih bermakna, menjadikan dunia kita lebih progresif dan cergas
Hidup, masa dan jiwa kita harusnya adalah milik kita. Tidak ada sesiapa yang akan membela kita. Oleh itu semuanya terserah kepada kamu dan aku.

* Waktu Muda Tidak Menunggu ditulis oleh Ainina Sofia, dan diterjemah oleh Ken. (Manifesto asal: ‘Youth Do Not Wait’)

** Manifesto ini ditulis sempena acara Manifesto For A Better World anjuran Arts For Grabs di The School, Petaling Jaya

*** Kali kedua dibaca di khalayak pada Rapat Umum Memperingati Angkatan Pemuda Insaf #API71 di hadapan SOGO

 

Posted on

Hari ini dalam sejarah : 3 Disember 2017

Pada hari ini dalam tahun 1974, lebih 1,000 orang mahasiswa universiti-universiti tempatan telah ditahan oleh polis kerana melibatkan diri dalam sebuah demonstrasi di ibu kota Kuala Lumpur yang mereka lakukan sebagai tanda solidariti bersama perjuangan kaum petani di Baling, Kedah.

Pada 3 Disember 1974, jam 9.45 pagi, antara 3,000 hingga 4,000 orang mahasiswa dari berbagai institusi pengajian tinggi tanahair (UM, IKM, ITM, iTK dan UPM) mula berhimpun di Padang Kelab Selangor (Dataran Merdeka) dengan membawa sepanduk-sepanduk yang menyuarakan tuntutan mereka. Demonstrasi mahasiswa ini bertujuan untuk mendedahkah masalah kemiskinan luar bandar, harga barang yang melambung, inflasi, kejatuhan harga getah dan sebagai penerusan kepada “Perarakan Kelaparan” oleh petani-petani miskin di pekan-pekan Baling, Sik, Selama dan Changloon di Kedah pada bulan November 1974.

Perhimpunan mahasiswa tersebut telah disuraikan oleh FRU dengan tembakan gas pemedih mata. Mahasiswa telah melarikan diri ke Masjid Negara tetapi FRU terus mengejar mereka. FRU telah mengepung 8,000 mahasiswa yang sedang berlindung di Masjid serta melepaskan tembakan-tembakan gas pemedih mata ke arah mereka. Pihak polis dan FRU telah menangkap seramai 1,128 orang pelajar, termasuk 80 orang mahasiswa wanita dan membawa mereka ke balai-balai polis Sentul, Brickfields dan Jalan Bandar. Kesemua mahasiswa yang ditahan telah dihadapkan ke Mahkamah pada keesokan harinya.

Beberapa hari kemudian, pihak polis telah melancarkan operasi penangkapan pemimpin-pemimpin pelajar, pensyarah-pensyarah dan pemimpin-pemimpin anak muda yang disyaki terlibat dalam demonstrasi tersebut.

Sumber gambar: Suratkhabar Berita Harian 4 dan 5 Disember 1974

Posted on

Penyokong Allahyarham Datuk Sudirman Pernah Dikafirkan di UKM

JIKA tidak kerana campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir mungkin konsert Malam Anak Desa Bersama Sudirman yang diadakan di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 5 Januari 1985 dibatalkan terus kerana tentangan keras daripada Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM).

Pembatalan itu terpaksa dibuat apabila bantahan sampai kepada peringkat mengancam dan sesuatu yang buruk akan berlaku jika diteruskan. Risalah-risalah disebarkan menyifatkan penganjur dan penyokong-penyokong konsert itu sebagai taghut dan kafir. Selain beberapa persatuan mahasiswa, Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UKM (PKAUKM), Profesor Dr. Shahril Mohd Zain bertindak sendirian menyokong bantahan itu, menyebabkan beliau dikecam oleh beberapa orang pegawai dan pentadbiran kanan UKM.

Continue reading Penyokong Allahyarham Datuk Sudirman Pernah Dikafirkan di UKM

Posted on

HARI INI DALAM SEJARAH RAKYAT: 21 September 1974

Pada hari ini dalam tahun 1974, aktivis-aktivis mahasiswa Universiti Malaya (UM) telah mengambil-alih kampus universiti daripada pentadbiran UM. Rampasan kuasa ini bertahan selama satu hari.

Akhbar Berita Harian melaporkan:

“Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya petang ini mengambilalih pentadbiran dan kampus Universiti Malaya. Tindakan itu diambil bagi meminta Kerajaan membebaskan dua orang mahasiswa yang ditangkap di Johor Bahru kemarin bersabit dengan tunjuk perasaan setinggan-setinggan di Tasek Utara.”

Dua orang aktivis mahasiswa yang ditangkap ialah Hishamuddin Rais, Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan Yunus Ali, ahli-jawatankuasa PMUM.

Continue reading HARI INI DALAM SEJARAH RAKYAT: 21 September 1974