Posted on

Umat Viral

Umat Viral
Maisarah Binti Mohamed Pauzi

Sememangnya sekarang musim netizen bersolidariti dengan umat yang tertindas seperti etnik Rohingya dan Syria. Tidak dinafikan, penindasan terhadap mereka adalah pencabulan hak asasi manusia. Walaubagaimanapun, hal ini bukan lesen untuk kita menipu, menambah perencah dan menyebarkan berita tanpa usul periksa. Mungkin kita tidak sedar terdapat gambar-gambar palsu yang diberi kapsyen ‘inilah Syria’ yang ditular (viral) di media sosial seperti gambar di bawah.

21

Kenapa agaknya berita palsu seperti ini mudah tersebar dan mendapat sambutan yang hebat di alam maya? Hal ini demikian kerana :

  1. kita lebih cenderung untuk perkara yang sedang hangat dan tular(viral).
  2. Kita tidak bersungguh-sungguh ingin mengambil tahu tentang sesuatu isu.
  3. Kita tidak mengambil inisiatif untuk membaca dengan teliti dan melakukan sedikit pencarian.
  4. Yang kita tahu hanya klik butang ‘share’,’like’,’retweet’ , tukar gambar profil dan sebagainya di media sosial.
  5. Kita sekadar ikut arus semasa.
  6. Seolah-olah kalau kita diam, kita ini umat yang ‘ignorance’.

 

Akhirnya, kita menjadi ‘umat viral’ semata-mata. Umat viral ialah umat yang malas. Umat yang lebih suka bersentimen daripada menjadi rasional. Sikap reaktif sebegini sebenarnya tidak membantu dalam menyelesaikan masalah yang sedang berlaku. Bahkan, sikap ini akan mengakibatkan beberapa kesan seperti generalisasi terhadap golongan lain, salah faham dan permusuhan antara penganut agama.

Sebagai contohnya, apabila isu penindasan etnik Rohingya di Burma sedang hangat di media sosial, sering disebarkan bahawa punca isu ini adalah disebabkan oleh sikap ekstremis penganut Buddha. Lebih menyedihkan, penganut Buddha dikecam di media sosial secara pukul rata. Malah, apabila terdapat misi kemanusiaan di Burma yang melibatkan penganut Buddha, netizen memberikan komen penuh kebencian dan mempersoalkan pengorbanan sukarelawan yang terlibat. Situasi ini diceritakan oleh Dr Firdaus Hariri dalam bukunya ‘Doc N Roll’ tentang pengalamannya terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan di Burma. Aneh ya, kerana kemanusiaan itu boleh dipilih-pilih.

Padahal, punca sebenar isu ini ialah Dasar Burmanization yang diterapkan oleh Kerajaan Tentera Burma. Etnik Rohingya tidak diberi kerakyatan Burma yang sewajarnya walaupun dah beratus tahun mereka tinggal di Burma. Masalah etnik di Burma bukan sekadar melibatkan masyarakat Rohingya semata-mata. Ada 2 lagi etnik minoriti yang ditindas, iaitu Chin/ Kachin (Kristian) dan Shan kerana tidak menerima Dasar Burmanization, sebuah dasar nasionalisme yang ekstrem. Akan tetapi, etnik Chin yang beragama Kristian mungkin lebih bernasib baik kerana mereka diterima di Negara Barat sebagai pelarian.

Konflik Islam-Buddha di Burma adalah propaganda kerajaan tentera Burma semata-mata. Sebagaimana ISIS menggunakan Islam & Jihad untuk menghalalkan keganasan mereka, kerajaan tentera Burma adalah dalang sebenar yang memperalat agama Buddha untuk menghalalkan tindakan pembersihan etnik Rohingya.Padahal, agama Buddha sangat menitikberatkan keamanan. Kenalilah agama Buddha. Kita takkan percaya agama Buddha sekejam ini.

Mengapa Buddha?Kerana pengaruh Buddha sangat kuat di Burma. Pada tahun 2007, ribuan Sami Buddha telah berdemostrasi menentang kerajaan Burma. Malah, seramai 40 orang Sami Buddha telah dibunuh oleh tentera! Kerajaan tentera Burma sedar bahawa sekiranya mereka terus-terusan melawan Buddha, mereka akan berhadapan penentangan yang lebih dahsyat. Tidak hairanlah, ada kemungkinan ‘imej sami buddha’ direka dan digunakan dalam isu pembersihan etnik ini. Perkara ini menajdi bukti agama sering diperalatkan.

Lalu, bagaimanakah sepatutnya kita bersikap dalam menerima berita di media sosial?

Pertama sekali, semaklah kesahihan berita tersebut. Buatlah sedikit kajian dan jangan mudah terpengaruh dengan sentiment berbaur kebencian. Banyakkan membaca bahan berita dari kedua-dua pihak dan nilaikan sendiri menurut akal fikiran kita. Sekiranya anda ingin menyemak sumber gambar, boleh muat naik imej di laman sesawang seperti ‘Google Search For Image’ (contoh seperti gambar di bawah).

22

Kedua, apabila isu penindasan dan kezaliman terhadap mana-mana golongan dan manusia, kita perlu melihat isu tersebut dengan kaca mata seorang manusia, bukan semata-mata  sebagai seorang penganut agama. Berkata Saidina Ali RA, ‘Saudara kita, ada dua. Pertama, saudara seagama. Kedua, saudara sesama manusia.’. Tidak kiralah sesiapapun yang ditindas, sebagai manusia, kita adalah sama dan kita benci akan kezaliman dan penindasan.

Ketiga, kita tidak sewajarnya bermentaliti tertindas. Sepatutnya, kita membebaskan diri daripada wacana yang bersifat reaktif semata-mata. Mentaliti tertindas inilah yang menyebabkan seseorang bertindak untuk menarik perhatian dengan agresif sehingga sanggup memalsukan berita atau memanipulasi gambar seperti yang viral di media sosial. Bersikap proaktif adalah lebih wajar seperti menyumbangkan masa,wang dan tenaga, bukan sekadar heboh di media sosial.

Akhir sekali, sekiranya kita sememangnya tidak arif tentang sesuatu perkara, hentikan daripada menyebarkannya! Jangan jadi umat viral!

(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar.
(QS: An Nur:15)

 

 

 

 

Posted on

Antara Mentaliti dan Suara

Antara Mentaliti dan Suara
Noor Syahdan b. Mahad Hamzah

“Our first class facility are trapped inside the third class mentality”

Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Semenjak kebelakangan ini, suara-suara mahasiswa mula berkumandang untuk memberitahu kepada pemerintah mereka bahawa mahasiswa bukan kanak-kanak. Tekanan demi tekanan diberikan kepada pihak pemerintah supaya mereka mendengar dan meneliti setiap idea, cadangan dan pembaharuan untuk masa hadapan yang lebih bahagia. Bermula pada zaman permulaan perjuangan mahasiswa pada 14 Ogos 1948, dibangkitkan semula pada tahun 1971, dan berterusan sehingga ke tahun 2017. Setiap inci isu pendidikan, kemasyarakatan, ekonomi, dan juga politik dibincang dan didebatkan. Setiap pihak mengeluarkan hujah mereka untuk memastikan suara mereka didengari oleh pihak pemerintah.

Kebebasan suara adalah suatu hak asasi kemanusiaan yang tertakluk bawah Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, di dalam Perkara 19. Oleh itu, bersuara dan mengeluarkan pendapat adalah suatu perkara yang menjadi hak mutlak bagi setiap insan yang berada di atas muka bumi ini. Perkara ini amat suka penulis kongsikan untuk kita fahami dengan lebih jelas maksud sebenar kebebasan bersuara dan pengiktirafan yang diinginkan.

graduation

Seperti yang kita semua sedia maklum, pada zaman ini mahasiswa universiti merupakan segolongan masyarakat yang diharap oleh negara untuk memacu negara ini ke arah yang lebih baik. Pacuan ini dijana pula dengan pelbagai sumber dan kerjasama supaya taraf kehidupan masyarakat dalam negara ini semakin meningkat dan pada masa yang sama menjadi bermanfaat. Namun tahap pengangguran yang tinggi, lepasan-lepasan universiti yang rosak akhlaknya, dan sikap mementingkan diri sendiri antara mahasiswa ini menjadikan pengharapan masyarakat sekeliling terhadap mahasiswa semakin berkurangan.

Dimanakah silap kita?

Contoh mudah yang kita boleh ambil adalah sampah yang bersepah di dalam kelas dan kedudukan pinggan, cawan selepas makan pada kafeteria universiti sendiri, tidak menepati masa hadir ke kuliah dalam jadual yang ditetapkan, penyebaran isu-isu saling menyalahkan antara satu sama lain sebelum diperiksa, dan seumpamanya. Tidakkah kita malu?

Antara sifat-sifat insan yang punyai mentaliti kelas pertama ada disebut di dalam Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah, maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): “Engkau bukan orang yang beriman” (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan.”

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

Kebebasan suara itu akan terhasil dengan kukuh dan mudah, seandainya mentaliti kita sebagai mahasiswa juga kukuh. Mentaliti kelas pertama, adalah sebuah mentaliti yang berpaksikan keamanan, kesejahteraan, dan kedamaian sejagat adalah sebuah mentality yang patut ditanam sejak dari kecil lagi.

Kita selama ini bercakap dengan penuh gegak gempita tatkala menginginkan sebuah kerajaan yang demokrasi, mengamalkan kebebasan bersuara dalam menasihati pemimpin-pemimpin yang di atas. Kita selama ini begitu marah dengan tindakan segelintir pemimpin yang mempermainkan ayat-ayat dan perlakuan tidak matang mereka.

Mentaliti kita, merasakan pelajar universiti adalah salah satu pekerjaan yang muliad harus dibendung. Ini kerana, pelajar universiti yang inginkan suaranya tidak disekat harus memulakan keterbukaan melakukan aktiviti yang dilihat jijik dan kotor oleh masyarakan sekeliling. Antara ciri mentaliti kelas pertama adalah memudahkan mereka yang berada di sekeliling dan pada masa yang sama tidak takut dan malu untuk menghargai insan-insan yang bersusah-payah dalam menjadikan keadaan kampus kita bersih, damai, dan harmoni.

Justeru itu, penulis ingin menyeru kepada mereka yang membawa mesej dalam Gagasan Kampus Harmoni. Antara mentaliti dan kebebasan suara, yang patut menjadi fokus utama dalam pembentukan kebebasan bersuara dan pengiktirafan yang diterima adalah pembentukan mentaliti kelas pertama dalam membawa suara-suara yang matang dan tidak beremosi. Kebebasan bersuara itu haruslah dibawa bersama akal yang sihat dan hati yang sejahtera, kerana kita sendiri harus mengenal erti batasan dalam menyampaikan suara-suara kepada pihak yang berwajib. Jadilah penyampai mesej yang matang, kenal erti batasan dan tidak mengikut emosi.

Semoga Allah sentiasa membantu hamba-hambaNya yang berjuang menegakkan kebenaran.

Posted on

Apa Maknanya Menjadi Mahasiswa

Apa Maknanya Menjadi Mahasiswa?
Rahman Imuda

 

Satu Ketika Dahulu

Tahun lepas aku dijemput untuk membentang dalam satu diskusi santai berkenaan sejarah aktivisme mahasiswa di Malaysia. Usai diskusi itu, aku dihampiri oleh seorang uncle yang berbangsa Cina, dia bercerita kepada aku berkenaan pengalamanya ketika menjadi mahasiswa di Universiti Malaya sekitar tahun 1970an. Menurutnya, pada zaman dahulu apabila ada seorang ‘anak kampung’ berjaya memasuki universiti maka satu kampung akan bergembira dan selalunya akan diadakan kenduri sebelum ‘anak kampung’ itu melangkah ke alam universiti. Ini memberi gambaran kepada kita bahawa istimewanya anak muda yang berjaya memasuki universiti dan bilangan mereka yang berjaya mendapat tawaran amat terhad jika ingin dibandingkan pada masa kini. Continue reading Apa Maknanya Menjadi Mahasiswa