Posted on

Debat Politik Anak Muda – Partisan v Non Partisan

DEBAT POLITIK ANAK MUDA: PARTISAN V NON PARTISAN

Jemputan khas ke acara inisiatif Demokrat Universiti Malaya.

Debat ini akan menampilkan;
– Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ketua Armada PPBM)
– Muhammad Nazrul Hakim bin Md Nazir (PAS)
– Nazeeha Ziarat Khan (Demokrat UM)
– Ahmad Azri Abdullah (Johan Debat Diraja)

Tarikh : 12 September 2017 (Selasa)
Masa : 8.00 malam
Tempat : Gerakbudaya, Petaling Jaya

Mohon jasa baik pihak Tuan/Puan untuk memanjangkan jemputan
ini kepada sahabat kita dan sahkan kehadiran untuk urusan makanan.

Event ini merupakan sebahagian daripada inisiatif fundraiser Demokrat Universiti Malaya

100% kutipan untuk perjuangan mahasiswa!

PIC: DANIEL 0103899746
Anjuran: Demokrat UM x Team Selangor


SERTAI SEKARANG!

Posted on

Pasca Forum: Anak Muda Boikot PRU14?

Forum anjuran Kelab Bangsar Utama pada 15 Ogos yang lalu ini diilhamkan oleh sebuah kajian dari Kajidata Research yang menyatakan kecenderungan anak muda terhadap parti politik. Keputusan kajian menunjukkan bahawa 51.8 peratus anak muda tidak cenderung sama sekali terhadap parti politik. Peratusan dari kajian ini secara tidak lansung bakal memberi impak kepada PRU14 dari undi kelompok anak muda. Barisan ahli panel didatangkan dari pelbagai latar belakang yang berbeza iaitu Andy Yong (Parti Gerakan), Syukri Razab (AMK), Hisommudin Bakar (Ilham Centre) dan Anis Syafiqah (aktivis mahasiswa).

Antara kenyataan penting yang sempat dipetik sepanjang forum adalah dari Andy Yong yang lebih banyak mengupas punca ketidakcenderungan anak muda terhadap parti. Melihat kepada keadaan ekonomi yang mendesak, anak muda lebih banyak cenderung kepada sesuatu yang memberi hasil secara lansung kepada diri mereka seperti bekerja untuk gaji yang tinggi tanpa memikirkan hal-hal yang lebih besar yang mentadbir kehidupan mereka sehari-hari.

Parti perlu ambil serius isu anak muda

Hisommudin yang juga penganalisis politik turut menambah bahawa PTPTN masih menjadi isu penting kepada anak muda. Kos sara hidup yang menjadi masalah utama membawa kepada permasalahan yang lebih besar bagi anak muda untuk melunaskan hutang PTPTN mereka. Katanya, parti politik perlu mengambil serius isu ini yang sangat dekat dengan anak muda.

Sebagai anak muda, kita tidak boleh lari dari kenyataan ini bahawa kos sara hidup adalah punca mengapa kita tidak berminat memikirkan hal politik negara, tapi adakah ini jalan mudah yang sepatutnya anak muda ambil? Adakah memikirkan diri sendiri semata-mata adalah jalan keluar terbaik daripada permasalahan besar yang membelengu masyarakat? Adakah ini fungsi sebenar anak muda?

Tidak cenderung kerana kecewa?

Moderator forum turut mengajukan soalan kepada saudara Syukri Razab bahawa kekecewaan anak muda terhadap corak permainan parti -parti politik di Malaysia adalah serius. Jadi apakah kepastian bahawa parti politik boleh membawa ‘institutional reform’ kepada masyarakat? Soalan ini juga adalah ditujukan sebagai respons kepada kenyataan Anis Syafiqah bahawa “anak muda sudah muak dengan politik kerana terlalu banyak drama”.

Kekecewaan ujarnya adalah satu kebiasaan dalam politik dan jika anak muda sendiri tidak menunjukkan kredibiliti tiada benda yang sepatutnya diboikot. Tambah Syukri lagi, yang juga merupakan bekas aktivis mahasiswa di zamannya – “pada era yang hampir ada perubahan, boikot ini tidak patut dilakukan. Boikot adalah tanda protes, protes perlu disalurkan kepada premis yang betul”.

Anis Syafiqah banyak mengulas tentang hak mengundi atau memboikot adalah hak individu. Anak muda perlu kembali dengan satu gerakan yang mantap untuk menjadi ‘check & balance’ yang mampu mencabar ketirisan dalam parti- parti yang ada di Malaysia. Sebahagian anak muda tambah Anis, akan memboikot PRU14 dan sebahagian yang lain masih belum ambil tahu tentang politik negara. Jadi, anak muda yang lain bagaimana?

Sebagai anak muda yang hadir ke forum malam itu, saya merasakan gerakan anak muda perlu kembali kuat dan stabil. Anak muda perlu bersatu menjadi agen penggerak yang boleh menggertak kuasa pentadbiran yang kadangnya diseleweng individu atasan. Dengan kekuatan bakal menjamin kepastian bahawa perubahan bakal berlaku. Anak muda perlu sedar akan fungsinya kepada masyarakat. Kesedaran tentang kebergantungan kepada sesuatu kuasa (i.e parti politik) perlulah realistik dan tidak sepenuhnya.

Ketidakbergantungan secara total kepada parti tidak memberikan lampu hijau untuk kita tidak lansung menyokong agenda-agenda perubahan yang ingin dibawa parti politik. Keterlaluan memihak kepada sesebuah pihak juga memperlihatkan kita bagaimana anak muda tidak mempunyai prinsip yang teguh membantah ketirisan dalaman yang berlaku. Anak muda yang berjiwa bebas harus bebas bergerak dan berperanan dalam tatanan masyarakat yang luas dan sentiasa berubah.

Walaubagaimanapun, mengundi adalah satu perkara paling asas dalam mempraktikkan amalan demokrasi. Justifikasi memprotes perlu disaluti sebab yang kuat dan mendatangkan satu impak yang benar-benar besar kepada masyarakat. Jika kita, anak muda berfungsi untuk masyarakat – yang terbaik perlu dilakukan untuk masyarakat.

“Jangan ditanya apa yang negara bagi padamu, tanyakan apa yang negara ambil darimu”. Bangkit anak muda!

Posted on

Teater Monolog: Apakah Kita Sudah Merdeka?

Teater Apakah Kita Sudah Merdeka ini digarapkan melalui naskah-naskah karya Putu Wijaya, seorang penulis drama, novel dan cerpen dari Indonesia yang sangat diangkat di tempatnya. Naskah-naskah yang akan diangkat pada teater kali ini adalah monolog “Demokrasi” dan “Merdeka”.

Demokrasi mengisahkan tentang sebuah kampong yang dilanda musibah apabila tanah kampong mereka telah dirampas untuk pembangunan. Dek kerana ditindas, penduduk kampong telah mengambil keputusan untuk melakukan sebuah demonstrasi dan bantahan terhadap rampasan tanah tersebut. Namun pada akhirnya, demonstrasi mereka mengalami jalan buntu setelah ketua mereka telah menghilangkan diri dan meninggalkan mereka tergapai-gapai di dalam perjuangan mereka.

Naskah Demokrasi ini menurut Tya Setiawati merupakan kritik Putu Wijaya dalam menyikapi persoalan demokrasi di Indonesia. Katanya lagi, “demokrasi hanyalah sebuah jargon atas nama kepentingan oleh segelintir orang yang berkuasa, ambisius, dan hipokrit, demokrasi menjadi sebuah kata yang dekat dengan politik konspirasi. Kata demokrasi dalam perspektif Putu Wijaya hanyalah sebuah wacana belaka, tidak ada implementasi yang nyata dalam kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara. Demokrasi yang diagung-agungkan sebagai pondasi dalam melihat kepentingan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat kemudian mampu dibayar dengan uang dan kekuasaan. Siapa yang terpedaya dengan uang dan kekuasaan atas nama demokrasi, maka demokrasi tidak ada gunanya lagi dalam kehidupan, demokrasi sudah mati karena kita sendiri yang telah membunuh kata demokrasi tersebut.”

Merdeka pula mengisahkan tentang seorang pejuang kemerdekaan yang berbangga dengan hasil titik peluhnya sehingga mewujudkan sebuah negara yang merdeka. Namun begitu, persoalan daripada cucunya telah membuatkan dirinya marah kerana telah memperlekehkan perjuangannya selama ini. Cucunya yang masih berada di bangku sekolah dan telah mula terdedah dengan akhbar-akhbar alternatif mula mempersoalkan erti kemerdekaan itu sendiri. Percubaan demi percubaan telah membawa pejuang ini kepada kata putus pengertian apa itu merdeka sebenar kepada cucunya.

Cabaran pementasan

Felix Agustus, pengarah teater apabila ditanya tentang cabaran utama persembahan teater kali ini  adalah pada langkah mendapatkan pelepasan untuk mementaskan persembahan ini disebabkan terdapat beberapa proses penapisan dalam berkarya di Malaysia hari ini. Kata beliau juga, pada asalnya pelakon yang cuba dibawakan adalah dari Indonesia namun terdapat beberapa kekangan yang dihadapi. Namun begitu, karakter yang ada pada hari ini senang dibentuk kerana mereka sendiri berpengalaman mengalami perkara ini. Oleh itu, ianya banyak membantu mengembangkan pergerakan cerita, tambah Felix.

Pementasan ini dimainkan oleh Suhail Wan Azahar, seorang aktivis Mahasiswa, dan Nik Aqil, seorang anak muda yang berjiwa besar. Pementasan kali ini akan dicorakkan mengikut nuansa Malaysia, dengan penggunaan bahasa yang lebih baku, tetapi tetap dengan gaya yang akan dicorakkan oleh aktor. Teater Merdeka arahan Felix Agustus dibawah Lautre Club ini akan dipersembahkan pada 7-10 September 2017 nanti di Blackbox 1, TempatKita, North Concourse, Quill City Mall Kuala Lumpur. Tiket boleh didapatkan pada harga RM15 di talian 013-2790191. Sebarkan.

Ayuh sokong, seni cerminan masyarakat!