Oleh;

Syafiq At-Tauhidi
Graduan Universiti Madinah

Pengorbanan ialah penggadaian sesuatu yang amat dihargai seorang insan, galang ganti kepada sesuatu yang lebih baik. Ia menjadi motivasinya, bukti keikhlasannya buat sesuatu yang lebih baik itu, sesuai pengharapannya. Sekiranya penggadaian itu dilakukan untuk sesuatu yang sia-sia, maka tindakannya tidak lebih daripada seorang bocah yang mempertaruhkan dan merosakkan mainannya. Peri penting merenung semula makna pengorbanan ini, agar kita sentiasa mengenang kembali, tujuan kenapa kita begitu beria berkorban dan berjuang, dan betapa ikhlaskah kita kepada perjuangan itu, sehingga tidak boleh diperlekehkan orang yang tidak seperjuangan dengan kita. Allah begitu indah, mengajarkan kita, dalam seluruh diktat dan taklimatNya, bahawa setiap kesenangan pasti didahului oleh kesusahan dan jerit payah, menuju kesenangan.

Ia adalah realisasi firmanNya, “Sesungguhnya, setiap kesusahan pasti bersamanya kesenangan.” Ia diulang dua kali, dalam surah al-Insyirah, bukti bahawa Allah inginkan kita positif terhadap kesusahan-kesusahan manusiawi, agar bersabar dan teguh, kerana kesusahan tidak akan kekal, dan kesenangan tidak datang bergolek. Kalau difikirkan, tentunya lebih bijak untuk bermudah-mudahan dan bersenang-lenang dengan pilihan termudah dan tidak menyusahkan. Boleh saja kiranya, Dia ingin kurniakan kita kesenangan seperti ayah dan ibu kita di Syurga, satu ketika dulu. Tetapi, kerana Allah yang baik, inginkan kita menghargai nilai perjuangan dan merasa susah, agar nikmat dan kesenangan yang kita perolehi di masa datang, akan kita jaga, dengan izinNya.

Sekiranya kita renung semula, dua hari kebesaran kita, didahului dengan perjuangan dan pengorbanan; puasa Ramadhan yang wajib dan puasa Hari Arafah yang sunat muakkad. Meninggalkan tuntutan hawanafsu dalam dua puasa ini, yang amat disukai dan dihargai manusia, bahkan asbab motivasi kehidupannya. Sekiranya menggunakan logika, mengapa perlu dikekang motivasi-motivasi kemanusiaan ini; kenapa perlu berlapar, berdahaga, tidak melayan nafsu perhubungan, lalu menyibukkan diri dengan Akhirat? Demikian Allah mengajar kita, agar terasa nikmat kemenangan, pada AidilFitri dan AidilAdha yang diharamkan berpuasa padanya. Kemudian, melatih mental dan jiwa kita, agar sentiasa bersabar menanggung kesusahan hidup, sentiasa bergantung kepadaNya, dengan sentiasa positif terhadap masa depan yang cerah dan menjanjikan kemenangan.

Perjuangan seorang pelajar, ialah [1] menguasai ilmu yang dipelajarinya, kemudian dengannya [2] membina karakter yang baik dengan mengembangkan potensi dirinya sebagai individu, dan [3] menjadi anggota yang berguna dalam masyarakat. Ia bukan mudah. Namun kepayahan ini harus dipandang positif oleh setiap kita, seperti yang diajar oleh Allah. Pelajar akan mengorbankan masa mudanya untuk bergembira, untuk satu masa depan yang lebih baik ; dirinya yang lebih baik, dan masyarakatnya yang lebih baik. Demikian, menggalas harapan, merealisasikan tujuan perjuangan hidupnya ; yang bukan untuk mati, seperti dikatakan Heidegger, tetapi untuk dihayati (hayat-hidup).

 

  • 16 Zulhijjah 1438H bersamaan 7 September 2017M

 

Leave a Reply