Posted on

Mahasiswa Sombong Bersolidariti Untuk Isu Orang Lain

Apakah itu solidariti? Saya boleh takrifkan solidariti itu sebagai semangat setia kawan yang terdapat dalam diri seseorang individu itu sendiri. Seperti yang kita semua sudah sedia maklum bahawa mahasiswa adalah bersaudara. Malangnya, jika kita lihat pada hari ini sejauh mana seseorang individu mahasiswa itu mahu menunjukkan yang mereka adalah bersaudara dalam memperjuangkan segala isu-isu yang di bawa oleh rakan mahasiswa lain? Jika kita lihat realiti pada hari ini, berapa ramai mahasiswa yang mahu bersama-sama menunjukkan solidariti mereka dalam menyatakan masalah-masalah yang sedang di alami masyarakat?

Baru-baru ini tular di media sosial tentang isu masyarakat Tawau yang merupakan mangsa kebakaran yang telah menetap di dalam khemah sementara kebakaran selama 15 bulan. 15 bulan bukanlah suatu jangka masa yang singkat, mereka juga sudah beraya sebanyak dua kali di khemah yang sepatutnya hanya menjadi tempat perlindungan sementara buat mereka.

Mereka juga telah berulang kali menanyakan dan mengemukakan permohonan rumah PPR atau PPRT, namun alasan yang sudah mangli sering diberikan iaitu “tiada kekosongan”. Adakah pihak-pihak yang bertanggungjawab ini hanya dibayar dengan gaji yang mahal hanya untuk memberikan alasan yang sama setiap kali mereka bertanyakan tentang status permohonan rumah yang telah mereka lakukan? Adakah apabila tiada kekosongan maka mereka ini harus tinggal selama-selamanya di dalam khemah dan mengharungi hujan serta panas yang melanda mereka? Mengapa tiada solusi yang diusahakan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk menangani masalah mereka ini?

Beberapa bulan yang lalu, satu program Parlimen Mahasiswa telah dianjurkan yang mana program ini telah menghimpunkan seluruh mahasiswa Tawau untuk membincangkan isu-isu lokal yang terdapat di Tawau. Semua mahasiswa kelihatan cakna dan gah dengan pakaian segak mereka dalam membentangkan segala usul-usul yang mereka bawa. Kalau boleh meja yang digunakan pada ketika itu runtuh, mungkin runtuh meja itu akibat dek kehangatan dalam membahaskan segala usul yang dibawa pada hari itu.

Persoalan saya; “di mana keberadaan mahasiswa yang gah dan berpakaian segak ketika menghadiri parlimen mahasiswa pada hari itu dalam luka masyarakat khemah batu 2?”

Ini yang amat menyedihkan. Mahasiswa seharusnya menjadi suara-suara kepada masyarakat dan rakyat namun apalah gunanya jika kita hanya mahu membincangkan sesuatu isu itu apabila ada penganjuran proram orang-orang besar? Apalah gunanya lantang berbicara ketika dalam dewan tetapi tidak pernah turun menunjukkan aksi bersama masyarakat dalam khemah batu 2 walau sekali? Apalah guna banyak baca buku kalau mulut terbungkam melulu untuk membicarakan isu-isu masyarakat? Mahasiswa buatlah seperti mahasiswa. Berhenti berlagak seperti YB.

Pada pandangan saya, jika kita lihat kebanyakan mahasiswa pada hari ini lebih tertumpu dan fokus kepada isu-isu politik yang sehingga hari ini saya lihat tidak menjumpai solusi terbaik. Sehinga mereka terlupa bahawa lebih banyak isu-isu rakyat yang seharusnya mereka perjuangkan dalam gerakan-gerakan yang mereka tubuhkan.

Mahasiswa itu harus lebih berdikari dan tidak seharusnya terlalu bergantung harap kepada sesuatu parti politik yang kebanyakannya hanya mahu memperkuda sesebuah gerakan mahasiswa dalam menentukan keputusan-keputusan. Secara jujurnya saya sangat sedih apabila kebanyakan gerakan mahasiswa hanya ingin kita turun untuk membuat solidariti terhadap “isu mereka” tetapi apabila kami yang membawa sesuatu isu mereka semuanya hanya menjadi sepi dan sunyi. Mungkin pada pandangan mereka kami ini adalah mahasiswa yang tidak partisan dan mereka anggap isu yang kami bawa ini adalah isu picisan.

Gerakan Ikatan Anak Muda Tawau (IKAT) yang dianggotai oleh beberapa mahasiswa dan anak muda telah melakukan satu inisiatif yang pada pandangan saya sangat baik kerana mereka telah membuka satu kelas yang di panggil sebagai Kelas Percuma IKAT. Kelas IKAT ini adalah merupakan satu alternatif ataupun pendekatan yang diambil untuk mengajar kanak-kanak yang sekian lama telah duduk di dalam khemah yang menunggu hari untuk hancur.

Objektif utama penubuhan kelas ini bagi saya sangat jelas iaitu untuk memberikan pendidikan yang sama rata kepada semua kanak-kanak yang tinggal berada di dalam khemah tersebut. Saya memberikan kredit penuh kepada mereka yang sanggup turun dan melakukan inisiatif gerakan mandiri tanpa perlu menunggu orang-orang politik yang berkepentingan.

Saya boleh simpulkan bahawa mahasiswa semakin kurang menunjukkan solidariti mereka kerana mereka tidak rasa ada kepentingan buat mereka di dalam isu yang kami bawakan. Mahasiswa berhenti daripada berkepentingan dan berdikarilah dalam gerakan. Mahasiswa kita ini bersaudara, duduk di bawah langit yang sama, hirup udara yang sama, dan memijak tanah yang sama tetapi mengapa kita masih lagi bersikap prejudis?

                “Solidariti harus tetap utuh antara kita jika kita ingin para pemimpin yang korup itu runtuh”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *