Posted on

54 103 Menganggur & Surat Untuk Mahasiswa Baru!

 Oleh: Rien Sd

Ogos lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata bahawa seramai 54 103 siswazah universiti menganggur dalam tempoh 6 bulan selepas mereka menamatkan pengajian masing-masing pada tahun lepas. Katanya lagi, seperti yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today bahawa kursus-kursus yang membabitkan kadar pengangguran paling tinggi ialah pedaftaraan perniagaan, sains gunaan, pengurusan sumber manusia, perakuanan, sastera dan sains sosial. Rujuk http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/08/17/idris-54103-siswazah-menganggur-selepas-tamat-pengajian/

Syahdu. Namun, sebelum terlambat; selamat datang mahasiswa baru. Selamat datang ke kampus, selamat berkenalan dengan rakan-rakan baru, selamat berseronok ketika minggu orientasi. Lap air matamu kerana meninggalkan halaman rumah. Universiti bukan untuk anak-anak cengeng. Universiti adalah kem yang serius, makmal paling canggih untuk mahasiswa membedah siasat keidupan mereka dan struktur sosial yang mengelilingi mereka.

Walaupun, kita dikhabarkan bahawa universiti itu yang indah-indah belaka, suasananya terlalu terpelajar dan melahirkan ramai menteri, korporat, usahawan, dan lain-lain, kita tetap perlu skeptik dengan caranya beroperasi.

Ada kalangan mahasiswa yang akan menghabiskan 4 hingga 5 tahun di universiti. Mereka akan dilatih agar mahir dan menguasai perkakas-perkakas ilmu yang ada di sana. Mereka bercakap tentang hal teoritikal, sesekali menyentuh perihal masyarakat dengan bahasa yang agak keelit-elitan dan sarat jargon.

Sampai satu saat, ianya semacam wahyu yang sukar difahami dan  hanya boleh ditafsir dengan sempurna oleh kaum terpelajar yang ada di universiti. Saya kira, sekiranya kaum terpelajar ini adalah nabi; maka mereka adalah nabi-nabi yang gagal sebelum membawa misi kenabiannya, kerana mereka tidak bercakap dengan lisan kaum mereka, bahasa masyarakat mereka.

Kursus-Kursus Non-Profit

Jika saudara-saudara meneliti, di universiti semacam ada faham yang bernuansa profit semata mata. Dan, kita tidak perlu terlalu kehairanan, ini kerana faham sebegini sudah terlalu biasa dalam sebuah masyarakat kapitalis. Para mahasiswa lebih tertarik dengan kursus-kursus yang bernuansa profit berbanding kursus-kursus yang non-profit seperti sains sosial, sastera dan lain-lain. Walaupun kursus-kursus ini adalah alat paling mujarab untuk merakamkan naratif sosial, tentang lingkungan mereka, namun disebabkan kursus-kursus ini bukan bidang buruan masyarakat kapitalis di luar sana, maka ianya tidak diberi perhatian.

Sektor kerajaan hanya memberi kerusi kosong untuk mahasiswa yang bergraduasi dalam kursus-kursus yang lumayan. Oleh itu, kita akan bertemu sekumpulan besar mahasiswa yang terhegeh-hegeh memenuhi keperluan masyarakat kapitalis ini di dalam kampus.

Dalam Utusan Borneo, cetakan 4 September 2017, dilaporkan bahawa 4 720 mahasiswa baru memasuki Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi sesi 2017/2018. Menurut TNC UMS, 45% daripada jumlah tersebut adalah daripada Sabah dan selebihnya daripada Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Saudara-saudara, dalam angka yang besar seperti itu, ada berapa orang mahasiswa yang tertarik dengan kursus-kursus non-profit, yang tinggi fungsi sosialnya? Ada berapa mahasiswa yang melangkah kaki meninggalkan rumah dengan niat yang tulus mulus dan murni untuk menguasai pengetahuan yang kemudiannya menampung persoalan negerinya? Yang memformulasikan sosialnya? Yang mencipta solusi praktikal tentang ketidakberesan yang berlaku dalam sistem masyarakatnya?

Masih adakah mahasiswa yang sedar diri, bahawa batu konkrit kampus mereka itu adalah daripada titik peluh masyarakat dan kaum murbawan? Tidakkah mereka terpanggil untuk meluruskan pembohongan yang berbunyi akademik oleh para aparat elit hegemoni?

Seperti yang dikatakan oleh Idris Jusoh, kursus-kursus semisal sains sosial dan sastera adalah punca kadar pengangguran yang tinggi. Ini kerana kursus seperti ini tiada nilainya dalam pasaran buruh. Seorang graduan sains sosial adalah terlalu murah nilainya dalam pandangan masyarakat kapitalis, masyarakat cukong. Berbeza dengan kursus seperti ekonomi, perubatan dan lain-lain. Kursus-kursus ini sudah ada kilangnya dan sudah menjadi sebagai profesion yang diburu-buru oleh sektor kerajaan dan swasta.

Namun, adakah kursus seperti sains sosial dan sastera itu terlalu cikai dan tak berguna seperti yang dimomokkan kepada kita? Adakah sekiranya kursus-kursus ini tiada nilainya dalam pasaran buruh maka perlu ditinggalkan?

Saudara-saudara, kita terlalu terbiasa dengan pandang dunia (worldview) yang mengajak kita untuk memilih di antara ilmu betul dan ilmu salah atau ilmu mahal dan ilmu murah, tapi kita tidak didedahkan bahawa hal yang maha penting bagi seorang yang menekuni pengetahuan adalah memilih di antara ilmu yang opresif atau liberatif iaitu ilmu yang menindas atau membebaskan.

Mahasiswa & Peranan Sosial

Samaada saudara seorang mahasiswa baru atau mahasiswa lama, mahasiswa yang mengambil kursus bernuansa profit atau non-profit, hukumnya tetap sama bahawa saudara tidak boleh menganggalkan peranan sosial daripada segala yang diajarkan di kampus.

Jangan jadikan universiti semata-mata makmal yang membelah perut tikus, membaca statistik dan perangkaan. Universiti perlu menjadi meja bulat yang riuh rendah dengan membincangkan perihal masyarakat, sistem yang despotik, dan perbudakan yang terancang. Universiti perlu menjadi ruang pemberdayaan wacana intelektual (intellectual discourse) yang meriah. Para mahasiswa perlu berlatih dengan lebih serius untuk menjadi pengembang ilmu (producer of knowledge), berbanding duduk kampus bertahun-tahun hanya sekadar menjadi pengguna ilmu (consumer of knowledge) yang menjadi kolektor nota kuliah (lecture note) sahaja.

Saudara-saudara, masyarakat di luar kampus tidak berminat sedikitpun tentang teori dan konsep yang agung kalian cermati di bilik kuliah. Mereka tidak berminatpun memahami naratif sejarah yang terlalu rumit dan kompleks. Apatah lagi statistik yang terlalu keangka-angkaan. Mereka perlu solusi dan sifir yang jelas untuk segala keperluan dalam ruang sosial. Orang kampung yang dirampas tanah mereka, digusur dan disepak-sepak tidak sedikitpun memerlukan ideologi yang terbaik untuk menyelamatkan mereka.

Hal ini yang perlu diperhalusi oleh para mahasiswa baru. Mereka perlu bersiap-siap untuk pertarungan intelektual. Mereka perlu membasuh mulut mereka agar tidak terlalu berbahasa elit dan melangit.

Menganggur, Pekerja Budaya

Puluh ribu graduan yang menganggur perlu bangun daripada tidur. Ini bukan masa yang sesuai untuk rehat panjang. Ketika sektor kerajaan sudah tidak menyediakan kerusi kosong ataupun mereka melupakan graduan yang berhabisan beberapa tahun untuk kursus yang tiada nilainya di pasaran buruh, maka para graduan menganggur perlu berangkat dan mencipta kerja sendiri.

Sekiranya pandai menulis, maka menulislah. Sekiranya pandai berniaga, maka berniagalah. Sekiranya pandai melukis, menyanyi maka bersenilah. Terlalu banyak pilihan bagi seorang muda. Terlalu banyak benda yang kita minati dan mampu lakukan.

Graduan tidak pernah menganggur, mereka tetap punya tugasan yang serius. Sebagai pekerja budaya (cultural workers), maka mereka perlu menjadi daya yang paling kuat menentang segala yang menguasai, mendominasi dan memonopoli dalam sfera publik.

Mereka perlu membentuk kesatuan, berbahasa dengan bahasa masyarakat mereka dan tidak segan-segan untuk berbeza dengan keputusan pemerintah. Sebagai seorang muda, yang terpelajar, maka mereka perlu selalu berbeza dan suara saranan mereka adalah yang selalu ditunggu-tunggu oleh masyarakat.

Jadilah penganggur yang kreatif, yang menggugat. Kita tidak perlu sehabis daya untuk memenangi perlumbaan dalam pertandingan ciptaan masyarakat kapitalis. Tiada (menang) winner, tiada kalah (looser) dalam kamus seorang yang terpelajar. Perlumbaan ini bukan budaya kita. Kita cuma perlu hidup dengan peranan-peranan yang jelas. Bertenanglah dan berlawanlah!

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *