Perkataan politik adalah suatu yang menjijikkan. Parti politik dan para ahli politiklah yang merosakkan kerangka luas murni makna politik. Politik tidak lagi menyusun tapi bertukar kepada perebutan kuasa dan perbalahan. Walaupun kita bergerak skala atau konteks atau kerangka politik kita sebenarnya malu mahu mengaku yang kita sedang bergerak dalam lingkungan dunia politik. Kita malu bila orang menganggap gerakan anak muda atau mahasiswa adalah sama seperti parti politik yang berperangai buruk yang dilabel sebagai penipu oleh rakyat. “Ahli politik semua sama tak boleh pakai, tahu janji manis, lepas menang tinggalkan kami sengsara”.

Itulah sebabnya kita sangat berhati-hati dalam menjalinkan kerjasama dengan parti politik. Semua orang tahu perangai buruk parti politik yang suka ‘overlap’ sesuatu isu atau program untuk kepentingan peribadi. Mereka bergerak dalam landasan “cari nama”. Kerana mereka mahu dipandang, bila dipandang mereka akan peroleh undi untuk dapatkan kuasa. Ini perangai buruk yang mulai meresap menjangkiti anak muda dan mahasiswa. Turun masyarakat dengan lagak YB, berselfie dan manipulasi keadaan (politik kasihan). Tidak serius pun mahu memerah otak dan tenaga menyelesaikan masalah komuniti masyarakat walau ia cuma dipandang kecil. Anak muda parti politik memualkan, datang berjumpa masyarakat, berkempen undi parti dan hanya tahu berjanji akan menyelesaikan semua masalah dengan mudah kalau partinya menang. Kerja tidak tahu, hal dasar tidak dikaji tiba-tiba mahu mengubah.

(Gambar: Mahasiswa & RUU355)

Pemikiran yang mengatakan kita mesti jadi orang politik atau lebih tepat jadi ahli parti politik agar kita boleh masuk campur dalam dasar atau polisi negara adalah suatu fantasi berlebihan seolah beronani di kamar sendiri. Kata mereka dengan penuh yakin, “Politiklah segalanya. Singkirkan para politikus jahat dan kita yang berjiwa besar naik dan duduk di kerusi empuk mereka.” Lihat beginilah pemikiran opurtunis anak muda yang terhasut gilakan kuasa. Dia merasakan kuasa adalah segalanya. Tidak bagi kami, kami tetap merasakan kita mampu mengubah walau tiada jawatan dan kuasa! Ini semua racun yang boleh merosakkan pemikiran anak muda mahasiswa yang nantinya terlalu diawang-awang berimpian tinggi hendak mendapatkan kuasa sekaligus mengubah dari dalam sistem. Anak muda yang dulunya bekerja keras bermatlamat dan berjiwa besar mengubah sendiri dari bawah dengan mengembleng tenaga yang ada kini berubah ke satu titik yang mana berfokus menjatuhkan seseorang dan mendapatkan kuasa kerana dia merasa dialah yang mampu membuat perubahan.

Pengalaman baru-baru ni kami di Ikatan Anak Muda Tawau-IKAT yang dipelopori oleh mahasiswa Tawau telah membangkitkan isu dan berjuang untuk mangsa kebakaran Kampung Batu 2 Tawau yang telah dibiarkan tinggal di khemah sementara selama setahun lima bulan tanpa pembelaan. Apabila kami mulai berkempen, cerita tersebut yang disenyapkan mulai menjadi tular, ia mulai dibahaskan dan membawa lebih ramai pihak yang bertanggungjawab untuk mangambil perhatian. Bila kami mulai mengorak langkah bergerak dari satu tangga ke tangga seterusnya untuk memperjuangkan nasib mangsa-mangsa ini tiba-tiba datanglah pula individu parti politik pembangkang yang kononnya tidak bersetuju dengan cara kami memperjuangkan nasib mangsa tersebut. Kami agak keras katanya. Tak sangka pembangkang yang terang-terang melawan kerajaan boleh mengatakan cara kami keras. Kami peduli apa. Kami tegas dalam memperjuangkan hak dan kesejahteraan rakyat tanpa bermuka-muka. Dia siapa mahu mempertikai cara bekerja kami? Garis masa kerja kami diputuskan oleh mesyuarat antara mahasiswa kenapa dia mahu pandai-pandai mengatur kami.

Kalau benar mahu membantu silakan tapi jangan memandai mahu mengatur gerakan kami. Satu tahun lima bulan mangsa ini tiada pembelaan politik bila kami mahasiswa bergabung memperjuangkan isu ini barulah ada puak-puak politik yang menyibuk. Menyibuk untuk membantu tak apa kami terima ini tidak, datang untuk mengatakan cara kami salah. Kalau benar kalian ada cara yang betul sila tunjukkan? Kenapa sebegini lama rakyat terabai. Ini semua politik taik kucing. Mana mahasiswa anak muda dalam parti politik tersebut? Kenapa sebegitu banyak isu di daerah Tawau, Sabah kalian hanya mampu diam? Sibuk bergaduh hal parti politik sehingga lupa tugas utama mahasiswa dan anak muda memperjuangkan hak rakyat tanpa kecenderungan ke mana-mana arah politik. Hal kecil saja tidak mampu selesaikan ada hati mahu selesai hal besar. Dasar dan polisi? Mimpi.

(Ilustrasi: Abdullah Adnan)

Anak muda terlalu berimpian mahu menempah nama dalam percaturan perletakan dasar negara. Puik. Lihatlah anak muda yang masuk parti politik, menjadi kaku, tunduk dan hanya mampu patuh dengan keputusan-keputusan parti. Anak muda dan mahasiswa jadi tunggul kayu di dalam parti politik. Tiada perlawanan dan berlaga idea yang membawa perubahan atau keputusan besar dalam partinya. Anak muda diabaikan dan hanya berserah, tenggelam dalam keputusan-keputusan pemain-pemain politik tua. Ada hati sembang mahu mahu menentukan keputusan dasar negara. Dasar parti politik saja kau dibisukan dan tidak dipeduli. Mana tindakan dan idea radikal kalian dahulu sebelum masuk parti politik, meletakkan kebenaran ditempat asalnya tanpa banyak alasan dan halangan. Dalam parti politik jadi ‘good boy’, ada keputusan atasan yang salah hanya mampu diam kononnya tabayyun. Tabayyun sampai tua sampai semuanya hancur. Lepas tabayyun, Husnuzon. Haiya.

  

Aku sememangnya sudah hilang kepercayaan dengan anak muda atau mahasiswa yang memilih jalan politik dengan memasuki parti politik. Tiada bukti yang kukuh anak-anak muda dalam parti politik berjaya menyusun semula masyarakat di landasan sejahtera. Mereka cuma hidup berjawatan, mewah, kaya raya sedang rakyat sengsara tersiksa. Persoalan anak muda harus masuk parti politik maka parti politik manakah yang sesuai untuk kami yang selari dengan prinsip dan pembawaan kami? Dan akhirnya kami cuma sebentar dan akan ditendang keluar akibat berpendirian. Semua parti politik suka untuk menendang manusia-manusia yang berpendirian dan yang tinggal dalam parti adalah manusia dusta, bermuka-muka, berkepentingan dan penakut!

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply