Posted on

Retorik Merdeka UIAM

 

Oleh: Izzah Dejavu, Suara Kolektif UIAM

 Aku tersenyum sendirian apabila wakil MPP berkongsi tentang #MerdekaQuranHour yang salah satu tempat akan diadakan di Masjid UIAM Gombak. Yang membuat aku merasa bingung adalah #MerdekaQuranHour ini dikongsi oleh Majlis Perwakilan Pelajar UIAM Gombak. Kata saudari Vice President Local, dalam ‘share’ nya mengajak rakan-rakan untuk menyambut kemerdekaan;

‘Ayuh, kali ni kita sambut Hari Ulangtahun Kemerdekaan Negara yang ke-60 dengan cara yang sedikit berbeza. Semoga Malaysia yang tercinta sentiasa berada di bawah lindungan Allah Yang Maha Esa.

Sejahtera bersama ISLAM 🙂

MERDEKA #QuranHour

#BangkitBersamaIslam’

Aku termenung sendirian membaca penyataan ini. Kawan-kawan yang dikasihi, merdeka bukan sahaja lagi tentang merdeka dari hawa nafsu dan keinginan, merdeka bukanlah tentang membuka kitab di masjid beramai langsung membacanya, merdeka bukan berdoa agar Tuhan mengabulkan permintaan kita di mukabuku, kemudian berharap suatu perubahan besar akan berlaku dalam sistem pentadbiran universiti.

Bertambah lucu melihat gelagat pentadbiran Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Zaleha Kamarudin yang menandatangani ikrar bebas rasuah dengan SPRM pada 23 Ogos yang lepas. Namun apabila di tanya tentang kos implementasi oleh mahasiswa ‘minoriti’, di jawab dengan soalan, “Dah solat ke belum?”

Yang lebih lawak lagi, dalam kes ini, MPP UIAM cuma bersabar dan bertenang walau telah didesak oleh pelajar untuk mengetahui apakah pandangan MPP UIAM tentang perkara ini. Setelah berbulan seperti yang dikatakan SRC sebelum ini, ‘kebijaksanaan SRC’, cuma Surat terbuka MPP kepada Pihak Pentadbiran Tertinggi UIAM dan keratan akhbar sahaja yang menjadi saksi.

Jadi selama ini, kenapa tak ikut terus sahaja bertindak dari awal? Inikah ‘kebijaksanaan’ yang dicanang SRC? Tidak ada alasan yang jelas tentang perkara ini melainkan sebab yang dapat aku fikirkan adalah kerana kami bukan mahasiswa yang berasal dari pucuk kepimpinan parti kalian yang sebahagian dari SRC adalah parti tersebut atau mungkin calon tajaan parti tersebut?

Kawan-kawan MPP yang majoriti dan proksi jemaah Islam atau induknya PAS, mungkin tidak sedar mereka sedang memalit tahi di wajah sendiri di hadapan pelajar seperti aku, dengan membuat kenyataan tiada kaitan dengan agenda parti. Menganggap suara kami minoriti, kerana memang kamu, (sebahagian SRC, WUFI, sebahagian Maaruf Club)  kalau dikumpul sekali adalah proksi PAS, adalah majoriti dan kamu lupa diri kerana kamu berkuasa.

Aku tulis ini kerana jijik melihat mereka berlakon seperti mereka tiada kaitan antara satu sama lain. Walhal pada mulanya, Presiden SRC, Amirul Hisyam sendiri yang mengaku ada kaitan dalaman. Biar diserang dengan pertanyaan-pertanyaan, masih memilih senyap tanpa sebarang tindakan. Tidak mahukah Presiden menjelaskan, kenapa ada wakil WUFI, GAMIS, yang turun padang berjumpa muka ke muka meminta maaf atas pihak Presiden kerana katanya, Presiden tersalah, yang sebenarnya, tidak ada campurtangan mereka, bahkan pendirian PAS (politik matang) sedikitpun tidak di ambil dalam isu pagar ALB ini.

Jika orang bertanya apa lagi yang aku tak puas hati? Dan aku mahu apa? Aku tak nak apa-apa. Aku bukan kena jaga hati parti atau mana-mana ahli gerakan jemaah. Cuma jijik dengan proksi PAS dalam MPP yang sibuk #melangkahbersamaIslam dan mempromosi proksi-proksi mereka untuk Pilihanraya Kampus akan datang.

Jadi sempena #MerdekaQuranHour, aku cuma mahu ingatkan MPP UIAM, bahawa kita belum merdeka, kalau masih bersikap partisan dan takut-takut begini Kita tak perlu tunggu 31 Ogos, untuk sambut merdeka di masjid, sebab untuk anak muda kita tak pernah tunggu waktu datang menghampiri kita untuk mendemonstrasikan bahwa diri dan kampus kita bersih dan jauh dari perbuatan korupsi. Kerana menjadi mahasiswa harus memilih mimpi sebesar mungkin, dan memberi semangat untuk mewujudkannya.

Atau jujurnya MPP UIAM, apa bangkit bersama Islam itu mengecualikan dari bangkit melawan korupsi? Merdeka MPP, Merdeka! Merdeka cara parti kamu!

 

Izzah Dejavu,

Suara Kolektif UIAM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *