LAPORAN ASAL : SINAR HARIAN

SHAH ALAM – Alumni dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Selangor (Unisel) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak yang menamakan diri sebagai Siswa Barisan Nasional (SBN) yang didakwa merancang untuk melakukan provokasi sempena Hari Terbuka Unisel 2017, di kampus Shah Alam, di sini.

Presiden Alumni, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, pihaknya kesal kerana kumpulan terbabit berusaha mencemari karnival dengan provokasi hingga menyebabkan ketidakselesaan pengunjung.

“Mereka merancang provokasi tersebut dengan memuat naik video menerusi laman sosial Facebook dan menghantarnya melalui aplikasi WhatsApp kepada alumni dan MPP.

“Video tersebut tular hingga menyebabkan tiga sekolah menengah di Lembah Klang bertindak membatalkan niat membawa pelajar hadir ke Hari Terbuka hari ini (semalam) kerana khuatir dengan keselamatan,” katanya pada sidang media bersama MPP, di pekarangan Unisel Kampus Shah Alam, di sini, semalam.

Pada masa sama, menurutnya, pihaknya percaya tindakan provokasi itu sebagai usaha menggagalkan orang ramai mendaftarkan diri dan juga anak-anak bagi mengikuti pembelajaran di universiti milik kerajaan Selangor ini.

“Kami yakin ia juga atas dasar dendam dengan kerajaan negeri ekoran isu membabitkan Jana Niaga Sdn Bhd dan Unisel yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika mereka nak tunjuk protes terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, saya nak mereka tahu bahawa pejabatnya bukan di sini….sebaliknya di sini adalah universiti tempat untuk menuntut ilmu,” katanya.

Sementara itu, Presiden MPP, Mohd Iskandar Zulkarnain Lukman Lee berkata, kumpulan terbabit tidak sepatutnya melakukan provokasi dengan cara tidak profesional.

“Perkara ini boleh dibincangkan secara bersama kerana isu pendidikan amat tidak sesuai untuk dipolitikkan.

“Kita serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas jika berlaku provokasi yang boleh mendatangkan kecederaan dan sebagainya kepada pengunjung,” katanya.

Hari Terbuka Unisel 2017 ‘Karnival Jelajah GEMS’, generasi Idaman Selangor berlangsung di Unisel Kampus Shah Alam selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Ogos.

Leave a Reply