Posted on

Mahasiswa Bertuhan Parti Politik

Oleh;

Mukmin Nantang
Presiden Kelab Sastera Mahasiswa UMS (KARMA)

 

Tulisan ini merupakan respons kepada tulisan Ruh Jahat AUKU Mahu Dihidupkan Semula.

Mahasiswa dan parti politik adalah perbincangan paling membosan abad ini. Aku sendiri muak dan menyampah, namun sekadar mahu merespon tulisan di Portal Berita Mahasiswa oleh Abu Hurra bertajuk “Ruh Jahat AUKU Mahu Dihidupkan Semula?”. Aku kira sisi tulisan beliau adalah sebuah teriakkan dari individu atau mahasiswa yang menyokong seseorang mahasiswa itu menjadi sebahagian dari parti politik atau macai parti politik atau kuda parti politik atau anjing parti politik. PoliTAIK!

Perkaitan kejahatan AUKU yang disamakan dengan pendirian individu atau gerakan mahasiswa menolak penglibatan terhadap parti politik adalah suatu yang pemikiran yang kolot. Penulis telah mengecilkan skop masalah AUKU hanya kerana mahu melihat mahasiswa bersama parti politik. Sifir penulis adalah mudah, mahasiswa yang menolak parti politik sama seperti mahasiswa tersebut menyokong kejahatan AUKU yang menghalang mahasiswa berpartisipasi di luar kampus. Rasaya penulis harus meneliti maksud politik, maksud parti politik dan maksud partisipasi.

Mukmin Nantang merupakan aktivis mahasiswa Universiti Malaysia Sabah.

Politik adalah suatu permaknaan yang sangat luas, pemikiran yang mengatakan politik hanyalah parti politik adalah suatu yang kolot. Begitu juga dengan intipati dalam AUKU, pengertian partisipasi tidak boleh dikecilkan hanya untuk parti politik. Semua orang harus mengerti ketiga-tiga maksud perkataan ini sebelum membincangkannya.

Kerana aku merupakan salah seorang yang membawa aliran mahasiswa harus berdikari tanpa bergantung dengan parti politik maka aku terpanggil untuk merespon isi tulisan orang yang tidak bersetuju dengan mahasiswa tolak penglibatan ke dalam parti politik. Kita ada alasan yang kukuh kenapa menolak penglibatan mahasiswa masuk parti politik. Parti politik bukan Tuhan! Lihatlah bagaimana mahasiswa-mahasiswa proksi parti politik yang sibuk bergaduh hal dalaman partinya sendiri sehingga mengabaikan isu penting mahasiswa dan kesejahteraan rakyat yang sepatutnya menjadi perjuangan asas.

Proksi ini hanya sibuk bergaduh dengan musuh partinya daripada memenangkan atau berlaga idea membangunkan masyarakat. Ini realiti yang perlu ditelan, proksi parti politik benar-benar kelihatan seperti anjing yang diikat lehernya dan menyalak kuat kesalahan tuan dan anjing orang lain namun kaku, patuh dan tunduk bila tuannya sendiri melakukan kesilapan.

Bila penulis memetik perkatan PAS maka suka juga untuk aku menggunakan parti PAS sebagai modal tulisan ini. Ingatkah pada tahun 2015, semasa orang-orang tua dalam parti politik bergaduh sesama sendiri sehingga ramai yang membuang diri keluar maka terpecahlah kiblat mahasiswa yang beriman kepada parti politik PAS, apa yang berlaku dengan mahasiswa? mahasiswa jadi kaku tidak boleh menerima kenyataan dan ada pula yang bergaduh mengikut sokongan masing-masing (ulamak atau malaikat).

Belum cukup dengan itu blok pembangkang terpecah lagi PAS ambil pendirian keluar daripada pakatan harapan maka bertambahlah lagi hal pergaduhan sesama mahasiswa mengikut kiblat-kiblat masing-masing. Apa yang jadi dengan intiti mahasiswa sekarang? Lumpuh selumpuh-lumpuhnya.

Ini masalah apabila suatu masa dahulu mahasiswa berTuhankan parti politik. Mencari keserasian persamaan perjuangan mahasiswa sekarang agak sukar. Semua ego dengan persepsi Tuhan parti politik masing-masing. Ada proksi mahasiswa angkat isu, ada proksi mahasiswa yang tolak, ada proksi mahasiswa yang mahu demonstrasi ada proksi mahasiswa yang tolak dan tidak terlepas juga proksi yang sebenarnya adalah lawan sedang sibuk makan diacara besar-besar bersama pemerintah. Mahasiswa mahu lawan, diam, makan, tidur atau apa saja itu terletak kepada keputusan-keputusan Tuhan parti politk masing-masing.

Bukankah ini suatu penghinaan? Mahasiswa itu harus punya pendirian sendiri untuk buat apa sahaja yang diinginkan bukannya terpenjara dan tenggelam di dalam keputusan-keputusan atasan.

Adakah tanpa parti politik mahasiswa akan mati? Adakah parti politik satu-satunya tempat untuk bergantung harap? Kami dari Kelab Sastera Mahasiswa UMS (KARMA) dan Suara Mahasiswa UMS tegas mengatakan tanpa politik mahasiswa sumbur tumbuh mekar. Parti politik adalah persekitaran merebut kekuasaan.  Jalur parti politik menuju kemenangan kekuasaan, tidak bagi mahasiswa yang mempercayai bahawa tanpa kuasa dan jawatan kita mampu merobah.

Suka bagi aku untuk mengajak gerakan-gerakan mahasiswa turun berkampung ke Universiti Malaysia Sabah melihat bagaimana kolektif mahasiswa kami melebarkan sayapnya dengan bangga berteriak TUHAN KAMI BUKAN PARTI POLITIK! Kolektif kami membangun secara mandiri dan melawan ketidakadilan. Dana kami dari hasil karya-karya seni, membuka sekolah untuk fakir dan anak-anak tanpa negara, wacana ilmu dan buku mingguan berlangsung, melawan pentadbiran universiti yang tidak adil, turun bersolidariti bersama masyarakat tertindas dan banyak lagi.

Paling penting adalah kami telah melahirkan anak-anak kolektif di setiap daerah komrad-komrad kami. Mereka berbakti membangunkan budaya ilmu dan aktivisme di daerah mereka masing-masing. Kami tidak tolak parti politik begitu sahaja, kami tahu parti politik banyak membantu mahasiswa seperti kalian maka kami hidupkan sebuah tunjang bukan Tuhan yang menjadi pengganti kepada parti politik iaitu Rumah Borneo Komrad.

Sebuah ruang boleh dipanggil rumah, bilik gerakan, pejabat, ruang ekpresi seni dan sebagainya. Rumah Borneo Komrad adalah inisiatif mahasiswa yang disewa dan dibayar secara berdikari menjual produk dan karya-karya seni.  Sekarang kami kami bukan sahaja boleh membayar sewa tinggi ruang pejabat kami namun juga sudah mampu membayar pereka-pereka grafik dan ejen penjual produk kami.

Lalu sekarang kami sedaya upaya bekerja keras menghasilakan karya dan produk agar mampu membiayai gerakan mahasiswa!

Kami berTuhankan Tuhan yang Esa dan bekerja keras dengan apa yang kami percaya tanpa bergantung dengan mana-mana pihak berkepentingan. Perlawanan kami berlangsung dengan pergantungan terus kepada Tuhan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *