Oleh: Sabir Syarifuddin

Persekitaran mahasiswa acapkali meragut masa untuk mahasiswa membuka buku. Tapi itu bukannya alasan bagi seseorang mahasiswa. Buku itu untuk ditelanjangi dan bukan masalah kecil yang menjadi dinding penghalang bagi merogol ilmu daripada buku tersebut.

Apatah lagi untuk bermusuh. Ilmu yang diterjemah kepada aksara kemudian disusun menjadi perkataan sehingga menjadi ayat yang penuh makna tidak seharusnya dibungkam dengan alasan komersial atau kurangnya nilai sesebuah buku tersebut.

Apa yang penting di masa sekarang, buku-buku sudah banyak dihasilkan dengan terkandungnya pengalaman, pengajaran dan catatan pengkarya. Ini bukannya masa untuk menilai kualiti sesebuah buku atau menunggu masa sesuai untuk isipadu buku menusuk ke kalbu.

Dalam mencari ketenangan untuk penyesuaian persekitaran tiada masa untuk pencinta buku, dalam keadaan perang sekalipun, buku masih mampu dijaga, dibaca dan dicetak salinannya. Komersial atau nilai itu adalah satu kejayaan buat seseorang individu yang mencapai keinginannya menghasilkan buku. Kiranya ia adalah satu kejayaan buatnya.

Mahasiswa?

Mahasiswa itu mampu menjadi penerus generasi untuk memimpin negara kelak. Bahkan menjaga kedaulatan negara di seluruh rantau antarabangsa. Mahasiswa seringkali digolek mentah-mentah, bukan kerana usia mentah, akibat tiada aplikasi ilmu untuk kelihatan berani dan secara terus kekal dipercayai.

Sebilangan jumlah mahasiswa takut untuk menunjukkan kebolehan ilmu yang dipelajari dalam alam universiti, ini salah satu kerana tidak yakin dengan hasil tangan sendiri, takut dengan persaingan daripada peneraju yang sudah lama bertapak diluar sana, dan salah satunya, mahasiswa tiada ‘guide’ untuk mendorong bergerak membatasi golongan pendulu “makan garam” diluar sana.

Daripada lumrah alam universiti sendiri, pentadbiran sudah mula mengetatkan pergerakan mahasiswa untuk kekal, berani menegakkan keadilan dan ketirisan yang berlaku didalamnya. Kekuatan undang-undang yang dimanipulasi untuk menakutkan mahasiswa membuatkan mahasiswa terkekang untuk lebih berfikiran kritis untuk mengatasi ketirisan.

Justeru itu, selepas zaman mahasiswa, mereka terbiasa dengan keadaan sedemikian (penakut) untuk menentukan hak-hal sebagai rakyat, hak-hak sebagai manusia yang hidup dalam kelompok bermasyarakat. Jadi apalah gunanya mahasiswa sedemikian diajar untuk mempelajari, mendalami nilai-nilai murni yang sememangnya disusun oleh tenaga pengajar?

Buku dan Baca

Zaman mengalir agak deras. Banyak saja buku-buku dilayarkan di arena penerbitan. Hasilnya banyak mahasiswa mengusung buku kehulu-hilir membedah buku di kedai kopi, dan ditepian jalan di hujung minggu. Buku-buku perihal perlawanan, kemanusiaan, ekonomi, agama, struktur politik, pemerintahan, pendidikan, dan banyak lagi yang menjadi bacaan umum mahasiswa sekarang.

Tapi mana mahasiswa seperti ini? Yang mencari ilmu didalam buku-buku pilihannya? Ilmu yang dimaksudkan tentu sekali idea yang digarap oleh mahasiswa tersebut dengan sedikit sentuhan istimewanya tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Lalu, apa itu takrifan baca? iaitu membaca, memahami, dan mengaplikasi. Itu jelas sekali mampu apabila selesai mahasiswa itu menyelesaikan masalahnya dengan persekitaran dan berdamai dengan buku.

Jadi apa gunanya banyak baca buku?

Tuntasnya, setelah baca berjuta-juta buku perlawanan? mana mahasiswa yang melawan dengan menolak AUKU hingga dimansuhkan? berkenaan ekonomi? mana mahasiswa yang rajin baca tentangnya keluar beraksi menegakkan keadilan dan menghancurkan dasar kapitalis? mahasiswa yang sering membaca perihal kemanusiaan? mana mahasiswa yang serius berkenaan manusia yang mati kebuluran di dalam dan di luar sempadan?

Kebanyakan mahasiswa terbungkam, dan ada juga menyimpan intipati buku sebagai tatapan masa lapang.

Mahasiswa itu dekat dengan buku, namun ianya harus turun menyatakan aksi. Bukan masanya untuk berdiskusi tanpa solusi. Tidak mencakupi pengertian baca jika mengaplikasi ilmu itu tidak tercipta. Ramai saja mahasiswa terkandas diperingkat kedua iaitu memahami selepas peringkat membaca. Aplikasi yang wajar melalui medium buku ini adalah aksi.

Baca tanpa aksi tiada solusi, baca bersama aksi perlahan-lahan menyinari.
Mahasiswa – Baca – Aksi!

Jadi selepas ini apa gunanya banyak baca buku?

Wiji Thukul yang merupakan aktivis Indonesia ada menghasilkan sebuah puisi berkenaan perjalanan hidupnya yang sering sahaja turun beraksi kepada masyarakat untuk menentang rejim pemerintah, yang pada masa itu zaman Soeharto 1998. Hanya dengan aksi akan meninggalkan kesan yang ampuh kepada ketirisan.

Tajuk : Apa Guna
Karya : Wiji Thukul

Apa guna punya ilmu tinggi
Kalau hanya untuk mengibuli

Apa guna banyak baca buku
Kalau mulut kau bungkam melulu

Di mana-mana moncong senjata
berdiri gagah
kongkalikong
Dengan kaum cukong

Di desa-desa rakyat dipaksa
Menjual tanah
Tapi, tapi, tapi, tapi
Dengan harga murah

Apa guna punya ilmu tinggi
Kalau hanya untuk mengibuli

Apa guna banyak baca buku
Kalau mulut kau bungkam melulu

Sabir Syarifuddin
Suara Mahasiswa

Leave a Reply