Posted on

Ruh Jahat AUKU Mahu Dihidupkan Semula?

Oleh : Abu Hurra

Dahulu semasa AUKU diadakan 1971 dan 1975, mahasiswa digari segala halnya dari partisipasi politik kepartian. Ketika itu, mahasiswa dianggap bersalah sekiranya menyertai parti politik.

Hatta jika anda memberikan simpati pun akan dikira melanggar AUKU dibawah Seksyen 15. “Kesiannya pada PAS”, status facebook anda ini juga boleh dianggap sebagai memberikan simpati kepada parti politik. Anda boleh disabitkan bersalah.

Gila? Ya, kegilaan ini berlangsung dari tahun 1975 yakni AUKU versi Mahathir Mohammad sehinggalah berakhir pada April 2012, apabila kerajaan membuat pindaan terhadap Seksyen 15.

Kini, mahasiswa dibenarkan untuk menyertai parti politik bahkan dibenarkan untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum.

37 tahun, ini bukan masa yang sekejap. Umur 37 tahun ini anak dah nak masuk 5 orang, ini bukan perjuangan yang main-main.

Senior mahasiswa memperjuangkan kebebasan partisipasi partisan ini. Banyak kecelakaan yang mereka tempuhi bagi memberikan kebebasan kepada generasi mahasiswa kini. Pasti mereka tersenyum puas ketika pindaan ini dilaksanakan.

Tiba-tiba, hari ini muncul sekelumit mahasiswa yang mula berkempen JANGAN SERTAI PARTI POLITIK. Mereka ini tiada lebih dan tiada kurang bahkan sama sahaja dengan AUKU sebelum pindaan.

Pemikiran apakah yang mereka bawa ini? Kenapa mereka mengambil langkah berundur kebelakang? Setelah ruang yang luas kini terbentang laksana lautan China Selatan, apatah lagi ruang ini muncul hasil perit jerih orang lama mahasiswa melawan kezaliman demi kezaliman.

Alik-alik tak semena-mena mereka datang membawa idealisme ruh jahat AUKU. Jika dahulu ruh jahat AUKU dibawa masuk melalui paksa-ikut yakni peraturan, kini ruh jahat AUKU dibawa masuk secara halus menebuk pemikiran mahasiswa. Ini lagi berbahaya.

Pil apakah yang telah mereka telan sehingga menjadi khayal sebegitu rupa? Teringat pula pada suatu puisi dari Muhammad Iqbal memberi respon kepada pengekor Plato yang membawa falsafah kekhayalan.

Dia terbang dengan akalnya ke langit yang paling tinggi

Dan dikatakannya dunia ini khayal

Pemikiran cara beliau ini menghancurkan struktur hidup

Dan memotong dahan-dahan hidup yang indah itu berkecai

Pemikiran Plato menganggap rugi itu untung

Falsafahnya mengatakan wujud itu tidak wujud

Keadaannya mengelamun dan mencipta mimpi

Mata fikirannya mencipta khayalan

Oleh kerana beliau tidak suka bertindak”

Mereka ini tidak lebih hanya pembawa idealisme khayalan yang tinggi melangit tapi tidak menjejakkan kaki ke bumi. Namun, mereka akan terus terlolong-lolong meniupkan ruh jahat AUKU agar masuk ke sanubari mahasiswa. Matlamatnya jelas, tiada berpartisipasi dalam politik secara partisan. Mahu jadi apa politik negara kita?

Jika kita setuju dengan kata Mahathir itu diktaktor, maka, mereka ini adalah pengekor kepada Mahathir yang kembali menghidupkan ruh jahat AUKU dalam wacana politik mahasiswa. Mereka juga diktaktor, anak butir tahi Mahathir.

Fikirku, mereka ini hanya hidup dalam circle mereka sahaja, dengan merasakan cukup 10 orang untuk melakukan perubahan. Benar, ada kesannya namun tidaklah sebesar 10 orang ini mengambil jalan berpartisipasi dalam politik kepartian.

Namun, mereka lebih gemar memilih untuk hidup berasingan dan berbicara dengan kalam langit ketujuh, hingga makhluk bumi hairan dan tiada faham. Punca hanya satu, mereka mahu lari dari keserabutan dan bunyi bising politik.

Mereka ini bukanlah pahlawan yang tampak macam mahu melawan kerjanya, kasihannya, mereka hanyalah perlarian yang cukup kecil jiwanya dan malas pula untuk berusaha, sebagaimana puisi Mohammad Iqbal lagi,

Pertapaan kita tidak ada ubat kecuali lari,

Dia tidak tahan bunyi bising dalam dunia ini,

Diletakkan hatinya dalam api yang telah padam

Dan melukiskan perkataan penuh candu

Dia terbang naik ke langit

Dan tidak turun lagi ke sarangnya

Khayalannya tenggelam dalam tempayan langit

Aku tidak tahu itu tahi serbat atau tempayan serbat itu

Orang ramai diracuni mabuknya

Dia tidur dan tidak mahu berusaha.” 

One thought on “Ruh Jahat AUKU Mahu Dihidupkan Semula?

  1. […] Tulisan ini merupakan respons kepada tulisan Ruh Jahat AUKU Mahu Dihidupkan Semula. […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *