Oleh : Abu Hurra

Mahasiswa hidup dalam negara merdeka namun terkurung dalam sangkar penjara sang penjajah. Terjajah dalam universiti sendiri. Bukan dijajah oleh bangsa asing, namun mahasiswa itu dijajah oleh bangsa Malaysia juga.

AUKU 1973, membuka ruang pada penjajahan terhadap mahasiswa melalui . Penjajah itu masuk menyelinap ke dalam universiti menggari aktivisme mahasiswa, menyiksa intelektualisme mahasiswa dan membunuh dengan rakusnya idealisme mahasiswa. Penjajah yang disistemkan.

44 tahun kita masih dijajah oleh keparat penjajah bernama HEP. Ye, saya ulang, penjajah mahasiswa ialah HEP. Mereka ini tidak ubah seperti penjajah Inggeris. Mereka masuk ke Universiti sebagai penasihat kepada mahasiswa seperti masuknya Inggeris ke Tanah Melayu sebagai penasihat (Advissor) kepada raja-raja Melayu. Hasilnya, Habis kuasa raja melayu, hanya gah pada nama namun tiada kuasa. Apa-apa mesti dapat restu dari yang berkuasa iaitu sang penjajah. Bukankah sama sahaja dengan modus operandi memasukkan HEP dalam universiti?

graduation

Malangnya, doktrin melalui AUKU ini menjadi. Mahasiswa merasakan keberadaan HEP itu satu yang betul. Buat aktiviti perlu merayu izin HEP itu satu perkara yang betul. Sepertinya orang melayu merasa hidup dibawah Jajahan British itu lebih baik dari hidup dibawah pimpinan orang melayu sendiri.

Adakah mahasiswa juga mahu menunggu sehingga 446 tahun untuk memerdekakan universiti, sebagaimana bangsa Malaysia memerdekakan Tanah Melayu dari kongkongan penjajah? Jika ya, kita tunggulah 402 tahun lagi.

Namun jika jawapannya tidak, maka gerakan kemerdekaan itu mesti bermula sekarang. Persiapan mesti dibuat. Pengorbanan mesti dinekad. Disini ada beberapa pesan persiapan dari tokoh orang lama dalam perjuangan untuk kita yang boleh dibuat bekal.

BERANI BERUBAH

Kata HAMKA, “jiwa menjadi hilang kemerdekaannya jika ada rasa takut”. Ya, jiwa mahasiswa merdeka itu hilang dek kerana adanya takut. Itulah formula paling mujarab yang digunakan oleh penjajah untuk mengawal anak jajahan mereka.

Formula ini sedang dijalankan mereka, dikumpulnya pimpinan mahasiswa, diheret ke mahkamah universiti, dijatuhkan hukuman atas dasar mahu menakut-nakutkan mahasiswa. Sebagai contoh pada 2014 dan 2015, UM8, UMSKAL16, UiTM1, UIAM1, UIAM3M, UIAM2, UKM13 dan UIAM11. Ini merupakan siri-siri projek menghilangkan jiwa merdeka mahasiswa.

anwar_27014_tmiafif_006

Persiapan pertama yang diajar oleh HAMKA melalui Mafhum mukhlafah dari kalam HAMKA diatas “jiwa merdeka itu hadir jika ada rasa BERANI”. Kemerdekaan jiwa dan bangsa hanya diperolehi dari rasa keberanian melawan ketakutan dan penjajahan. Berani mendada pihak penguasa untuk sebuah sinar kebebasan walau diri terkorban. Inilah formula yang dipegang datuk nenek kita yang memungkinkan kita kecepi kemerdekaan. Kini giliran kita pula tonjolkan keberanian melawan penjajahan dikampus.

Begitu juga pesanan padu dari Dr Burhanuddin Al-Helmi buat anak jajahan (;mahasiswa), “Kita jangan takut jatuh dalam perjuangan sebab kita tidak akan jatuh lagi, sebagai anak jajahan kita telah berada ditempat yang paling rendah dan sudah tidak ada tempat yang lebih rendah lagi buat kita jatuh.”

Benar kalam Dr Burhanuddin Al-helmi itu, mahasiswa yang dijajah, penjajahan ini merupakan satu limitasi kejatuhan kita. Sudah tiada tempat jatuh yang paling bawah dari kejatuhan berada dibawah tapak kaki penjajah. Maka, usah takut lagi buat silap dan usah takut mencuba kerana inilah medan kita belajar.

Jika kita menerima kata dari Mahatma Gandhi, izinkan saya lontarkan kata keramatnya, “Freedom is not worth having if it does not include the freedom to make mistakes.” Nah, peluru berpandu dari katanya itu.

Kesilapan itu berlaku kerana datang dari keberanian kita untuk melakukan. Bukanlah kita sengaja melakukan kesilapan tapi tidak salah kita tersilap ketika mencuba dan belajar untuk memerdekakan diri dari penjajah. Dari kesilapan kita belajar untuk melakukan perkara yang lebih baik.

18308632_10206613056443542_1801285264_n

Usah lagi takut. Beranilah untuk sebuah kemerdekaan. Berani bukan lagi satu pilihan tapi satu kewajipan untuk semua mahasiswa.

BERJUANG DENGAN SEBENARNYA

Masa mahasiswa kita tidak lama, paling lama 7 tahun sahaja. Inilah masa terbaik untuk berjuang saat usia masih muda, kudrat masih kuat, fizikal masih bertenaga, minda masih segar. Nikmat ini tiada pada level usia yang lainnya.

Maka, inilah zaman untuk berjuang dengan sebetulnya. Berjuang untuk patuh arahan Tuhan, bukan untuk mendapat jawatan bagi melawan Tuhan. Pembebasan manusia dari terus dijajah merupakan satu tuntutan ugama, agar penjajahan dan penghambaan ini dapat dibuang sehinngga manusia menemui Tuhan yang sebenarnya untuk mereka menjadi hamba. Inilah sebenarnya perjuangan kemerdekaan.

Bagaimana kini, mahasiswa masih lagi takut membawa suara Tuhan dalam kampus akibat kuasa penjajahan HEP. Ini mesti dibetulkan dan diluruskan. Jiwa merdeka hanya datang bila kita berTuhankan Allah. Sekaligus selain Allah itu tiada apa-apa kuasa yang dapat mengapa-apakan kita.

Hanya jiwa yang suci dan jiwa yang tiada apa kepentingan sahaja mampu menggalas cabaran ini. Sebagaimana yang disebut oleh Nelson Mandela dalam Long Walk to Freedom “A person does not become a freedom fighter in the hope of winning awards.”

Akhir sekali, secara penutupnya, Nah, terimalah pula pesan dari Ahmad Boestamam, “Pemuda itu adalah bunga tiap-tiap bangsa. Tapi ingatlah bahawa kembang itu ada dua. Ada kembang yang berseri-seri dan wangi dan ada kembang yang layu dan gugur ke tanah. Kembangan yang berseri-seri menjadi suntingan puteri, tetapi kembang yang layu jangankan menjadi suntingan puteri, kumbang dan lalat-lalat pun tidak mahu mendekatinya.”

Leave a Reply