Ramai yang mempersoalkan masa depan mahasiswa/wi yang mengambil jurusan ini.

Oleh; Muhammad Amiruddin Bin Wahab
(Mantan TYDP MPP UMK)

 

Pertama sekali, saya ingin menegaskan bahawa penulisan ini bukanlah bertujuan untuk membanding-bandingkan antara jurusan-jurusan ijazah yang ditawarkan di setiap institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta. Ini merupakan pandangan saya terhadap pemikiran majoriti rakyat Malaysia yang sering merendah-rendahkan jurusan ijazah yang kurang “popular” bagi mereka

Setiap ijazah yang ditawarkan di setiap institusi pengajian tinggi memiliki signifikan penubuhan dan keperluannya dalam bidang masing-masing pada hari ini. Jurusan ijazah yang popular seperti kedoktoran dan kejuruteraan sering menjadi dambaan remaja pada hari ini khususnya bagi mereka yang baru sahaja menghabiskan alam persekolahan mereka.

agri-land-wallpapers

Bagi mencapai cita-cita yang diidamkan, ada yang memilih untuk memasuki universiti (diploma dan asasi) dan kolej matrikulasi. Ada juga yang memilih untuk mengambil Siji Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di sekolah masing-masing.

Kita sering dimomokkan bahawa jika kurang cemerlang semasa sedang menyambung asasi, matrikulasi , stpm dan diploma, kita akan mendapat jurusan ijazah “lelong” yang digembar-gemburkan seolah-olah masa depan itu tidak secerah mereka yang menyambung pelajaran dalam bidang kedokotran dan kejuruteraan.

Masa pun berlalu dan tidak semua yang diimpikan menjadi kenyataan. Ada yang terpilih untuk menyambung pelajaran ke jurusan ijazah yang diinginkan ada juga terpilih untuk menyambung ke jurusan ijazah yang tidak pernah terbayang di dalam fikiran.

pertanian-sayur.foto_.desain-minimalis.670

Jurusan-jurusan ijazah sarjana muda seperti jurusan pertanian, penternakan dan perhutanan seringkali dianggap sebagai jurusan ijazah “lelong” oleh majoriti rakyat Malaysia kerana ia tidak sepopular ijazah kedoktoran dan kejuruteraan. Ramai yang mempersoalkan masa depan mahasiswa/wi yang mengambil jurusan ini.

Tidak kurang juga ramai yang memerli dengan nada yang sinis seperti baik tidak payah masuk ke universiti  jika belajar menanam pokok dan menternak haiwan. Persepsi sebegini yang ditanam di dalam pemikiran mereka seakan-akan mereka ini akan bercucuk tanam dan memelihara haiwan seperti orang di kampung.

Dalam masa yang sama, mereka sibuk memuji-muji kehebatan karnival MAHA (Malaysia Agriculture, Holticulture & Agrotourism Show) yang dianjurkan 2 tahun sekali di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang. Tahukah mereka bahawa kehebatan pameran-pameran di MAHA tersebut majoritinya datang daripada individu-individu yang berlatarbelakangkan pertanian dan penternakan.

Mereka juga memuji-muji filem dokumentari-dokumentari alam sekitar yang hebat seperti National Geographic dan Animal Planet. Tahukah mereka bahawa dokumentari-dokumentari itu datangnya daripada individu-individu yang berlatarbelakangkan perhutanan dan jurusan yang berkaitan dengan alam sekitar.

DSC_0079

Tidak kurang juga jurusan pertanian dan penternakan banyak membantu meningkatkan ekonomi negara kita di samping memastikan kesinambungan sumber makanan dalam negara terus terjamin. Ramai yang menjadi usahawan dan mempunyai pendapatan yang lebih tinggi daripada doktor dan jurutera.

Kita juga sering terlihat di dada akhbar bahawa ramai individu yang dahulunya menyambung pelajaran dalam bidang kedoktoran dan kejuruteraan namun pada hari ini mereka memelihara kambing dan menjual cendawan tiram. Tidak kurang juga ada yang membuka perniagaan sendiri seperti mengusahakan perniagaan kedai makan.

Jadi, dalam dunia yang serba mencabar hari ini tiada lagi istilah jurusan ijazah “lelong”. Buangkan persepsi buruk tersebut dari minda kita. Bagi ibu dan ayah, sokonglah anak anda sekiranya mereka memilih untuk menceburi bidang yang di anggap “lelong” ini. Bsgi orang luar sana yang sering memperlekehkan individu-individu yang mengambil jurusan “lelong” ini, sedarlah diri bahawa tanpa mereka mungkin negara kita perlu mengimport makanan dari luar, alam sekitar lebih tercemar dan lain-lain lagi.

Janganlah banyak memberikan komen tanpa bertanya dahulu. Buat mahasiswa/wi yang menyambung pelajaran dalam mana-mana ijazah “lelong” ini, yakinlah bahawa Tuhan sudah tetapkan rezeki kita. Percaya pada diri dan tanam minat dan cinta pada ijazah “lelong” ini. Buktikan pada masyarakat kita juga hebat seperti mereka yang mengambil bidang kedoktoran & kejuruteraan!

 

Leave a Reply