Mahasiswa Bukan Boneka
Rahman Imuda

Dua hari yang lepas saya melihat perbalahan ‘manja’ diantara dua mahasiswa parti yakni parti Amanah dan Pas. Polemik terjadi akibat penarikan diri Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) ke satu diskusi yang dianjurkan oleh Prihatin Politik (Pripol). Melihat daripada poster yang telah dimuatnaik di media sosial, Presiden Gamis tersebut akan dipasangkan dengan Pengerusi Mahasiswa Amanah Nasional dan bagi saya ia sesuatu yang menarik kerana bukanlah mudah untuk melihat dua wakil daripada kedua-dua parti yang selalu bertelagah ini untuk duduk bersama. Apabila Presiden GAMIS menarik diri daripada acara tersebut, saya tertanya-tanya apakah sebab utama penarikan diri beliau sedangkan jemputan telah pun diterima, lebih malang sepengetahuan saya belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh GAMIS berhubung isu ini. Pengerusi Mahasiswa Amanah Nasional telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu ini, dan menurut beliau salah satu sebab yang diberikan adalah kengganan Presiden GAMIS untuk duduk semeja dengan Mahasiswa Amanah.

 

Generasi Baharu

Saya rasa hanya mereka yang suka dengan kontrovesi mengarut sahaja yang tidak muak dengan kebanyakan perbalahan tanpa fakta yang berlaku diantara penyokong PAS dan Amanah. Pergaduhan kedua-dua penyokong parti ini sering disertai dengan emoasi yang melampau dan tidak mendatangkan apa-apa hujah yang bernas. Umpama suami isteri yang sudah bercerai, tapi periuk belanga masih bising dilempar ke sana sini di dapur akibat pergaduhan mereka. Perkara yang paling teruk apabila ada penyokong fanatik kedua-dua parti cuba untuk membuktikan bahawa Islam mereka lebih ‘baik dan tulen’ berbanding Islam penyokong seteru politik mereka.

Amanah-vs-PAS

Mahasiswa kedua-dua parti ini harus keluar daripada kepompong kejumudan ini. Kita adalah generasi yang seharusnya ‘move on’ dan fokus untuk memberikan khidmat kepada mahasiswa dan rakyat. Sekiranya kita berpeluang untuk menjadi peneraju utama parti politik kelak, hal-hal seperti ini perlu dihapuskan kerana ia tidak akan membantu kemajuan dan keharmonian negara. Apabila kita tidak puas hati atau tidak sestuju dengan sesuatu yang dilakukan oleh lawan politik kita, maka kita harus mengkritik seperti orang yang waras. Kita wajib kemukakan hujah yang kemas, berfakta dan tersusun tanpa perlu lancang mengkafirkan atau memunafikkan sesiapa. Saya berharap semoga kedua-kedua mahasisawa parti ini akan mengajar dan memberikan contoh-contoh kepada mereka yang lebih tua di dalam parti bahawa kita sudah bosan dengan pergaduhan sia-sia yang tidak ke mana-mana ini, pergaduhan ini hanya akan mengelirukan dan menyusahkan rakyat.

 

Parti Politik sebagai Jarum Halus

Saya mengerti apabila mahasiswa telah berjanji dan bersumpah setia kepada sesuatu parti maka mereka perlu tunduk di bawah jari telunjuk pimpinan parti. Namun yang demikian kebanyakan parti politik harus memberi ruang kepada persatuan-persatuan sayap mahasiswa mereka untuk membuat keputusan sendiri setelah menilai tempat dan keadaan. Sukar untuk persatuan mahasiswa itu untuk menjadi lebih berdikari dan kritis sekiranya ‘mereka ingin buang air besar’ tapi masih perlu mendapatkan keizinan dan ditunjukkan arah tandas. Berikan kepercayaan kepada pimpinan persatuan itu untuk menentukan hala tuju persatuan yang mereka pimpin dan saya percaya hala tuju itu boleh diasimilasikan dengan kiblat parti tanpa perlu parti ini bersifat terlalu ‘possessive’.

Saya percaya sikap memberi kepercayaan kepada mahasiswa untuk menentukan perjuangan mereka merupakan satu pelaburan jangka masa panjang yang menguntungkan. Kebanyakan aktivis mahasiswa parti ini berpotensi untuk meneruskan kerjaya politik mereka ke peringkat yang lebih tinggi, dan jika didikan berdikari mula diajarkan daripada peringkat awal lagi, pasti lebih mudah untuk mereka mencari solusi pada krisis-krisis nasional yang dijangka semakin runcing pada masa hadapan. Tapi jika sejak dari atas buaian para mahasiswa ini disuap secara membuta tuli, maka kita akan melihat memimpin yang sama ‘fesyen’ dengan pemimpin silam dihasilkan, dalam erti kata lain; tiada penambahbaikan atau keistimewaan.

 

Mahasiswa Parti dan Non-Parti

Saya adalah orang yang gagal menerima idea perlunya mewujudkan mahasiswa parti, bagi saya mahasiswa perlu bersikap non-partisan sehingga mereka bergraduasi. Saya berpandangan demikian kerana melihat kebanyakan mahasiswa yang menyertai parti di zaman kampus hanya dijadikan kuda politik; disayang ketika perlu dan dibuang ketika sudah habis nilai. Namun saya tetap menghormati dan mengakui kewujudan mereka. Saya fikir mahasiswa parti perlu lebih tegas dalam menerima arahan-arahan yang datang daripada pimpinan parti yang mereka sertai. Mereka tidak boleh mengikut arahan tanpa menerima justifikasi yang jelas berkenaan arahan tersebut, dan sudah tentu mereka perlu meminta ruang untuk melakukan keputusan sendiri terhadap perkara-perkara yang difikirkan wajar. Paling utama untuk mahasiswa parti adalah memastikan parti-parti ini menyediakan ‘safety net’ untuk mereka sekiranya aksi-aksi yang bakal dilakukan memungkinkan untuk mereka dihukum.

Bagi mahasiswa non-parti pula, kita bebas untuk melakukan apa sahaja yang kita ingini tanpa dikekang oleh sesiapa. Namun kelemahan utama kita adalah kita tidak memiliki ‘bapa’ untuk membantu dan memberikan sokongan sepanjang perjuangan yang sukar ini. Oleh sebab itu, kita seharusnya sedar ramuan yang akan memberi kejayaan adalah solidariti dan kebergantungan antara satu sama lain. Kita boleh meninggalkan mahasiswa parti dengan jauh sekiranya kita memiliki ekonomi dan struktur persatuan yang sistematik.

Mahasiswa bukan sahaja pemimpin hari esok, tapi merupakan seorang pemimpin pada hari ini. Seorang pemimpin tidak mungkin akan mencetuskan idea atau solusi yang bernas sekiranya tangan dan akalnya dirantai oleh pihak-pihak tertentu. Biarkan mahasiswa melakukan keputusan dan menentukan hala tuju mereka, jangan dicorak mahasiswa mengikut acuan lama.

Leave a Reply