Posted on

Refleksi Kes Siti Noor Aishah : Wanita & Agen Pengganas

Refleksi Kes Siti Noor Aishah : Wanita & Agen Pengganas
Maisarah Mohd Pauzi

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita penangkapan semula Siti Noor Aishah Atam kerana memiliki 12 buah buku yang majoritinya berkaitan dengan Al Qaeda. Ketika menerima berita ini, banyak persoalan yang bermain di fikiran saya. Walaubagaimanapun, saya masih menanti laporan penuh daripada kedua-dua belah pihak. Sebagai orang awam, wajarlah kita serahkan kepada pihak berkuasa tentang kes ini. Isu ini sangat kompleks memandangkan ianya melibatkan ideologi pengganas.

Cuma, kes ini membuatkan saya teringat pada dua individu yang mungkin mempunyai persamaan dengan kes Siti Aishah. Antaranya, Dr Aafia Siddiqui (Pakistan) dan Margaretha Zelle (atau lebih dikenali sebagai Mata Hari di Eropah). Pertama, mereka ialah wanita. Kedua, mereka dituduh sebagai agen pengganas. Artikel ini bukanlah berniat untuk menyebelahi mana-mana pihak, cuma sekadar refleksi. Sebelum Aishah, kes seumpama ini pernah wujud dalam lipatan sejarah dunia.

Dr Aafia Siddiqui

1

Dr Aafia Siddiqui merupakan seorang wanita berasal dari Pakistan dan menjadi warga Amerika Syarikat. Beliau mendapat Ijazah Pertama dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan Phd dari Brandeis University. Seterusnya, beliau berkihdmat di MIT dalam bidang Neurologi.Beliau juga merupakan seorang penghafaz Al Quran (hafizah). Berdasarkan latar belakang akademiknya, tidak dinafikan beliau seorang yang boleh dianggap sebagai genius.

Malangnya, beliau diculik bersama 3 orang anaknya pada Mac 2003 di Karachi dan dilaporkan hilang selama 5 tahun.

Ketika berita kehilangannya dilaporkan, Kementerian Dalam Negeri Pakistan membuat pengesahan berhubung penahanan seorang wanita yang didakwa terlibat dalam aktiviti keganasan. Media turut melaporkan, Aafia diberkas agensi risikan di Karachi dan dihantar ke lokasi rahsia untuk disoal siasat.

2

Beliau ditahan di beberapa lokasi rahsia selama lima tahun dan Aafia didera serta turut dirogol dengan kejam ketika beliau dipenjarakan di Bagram sebagai banduan 650. Ketika itu, Aafia terpaksa menanggung derita kerana menjadi mangsa penderaan mental dan fizikal selama beberapa tahun.

Pada 4 Ogos 2008, pendakwa raya persekutuan AS mengesahkan Aafia dihantar ke AS dari Afghanistan.Perbicaraan ke atas Aafia berlangsung pada 19 Januari 2010 di Mahkamah Persekutuan Manhattan.

Beliau didakwa merancang melancarkan serangan ke atas Empire State, Brooklyn Bridge dan Wall Street serta cuba untuk menyerang pihak berkuasa AS.Pada 3 Februari, Aafia didapati bersalah di atas semua pertuduhan walaupun tiada bukti kukuh dan beliau ditahan sekali lagi di Pusat Tahanan Metropolitan di New York.

Selepas beberapa kali perbicaraan ditangguhkan, Aafia akhirnya dijatuhi hukuman penjara 86 tahun selepas disabit bersalah di atas lima pertuduhan pada 23 September 2010.

Margaretha Zelle/Mata Hari

            3

Nama ini muncul semula selepas penulis terkenal novel The Alchemist, Paulo Coelho menulis novel terbarunya dengan tajuk ‘The Spy’. Mata Hari merupakan seorang penari eksotik di Paris. Dilahirkan pada 7 Ogos, 1876 di Leeuwarden, Belanda.

Sebelum menjadi seorang penari di Paris, Mata Hari pernah berkahwin dengan seorang tentera Hindia Belanda dan mempunyai seorang anak. Mereka menetap di Indonesia pada zaman penjajahan Belanda di Indonesia. Walaubagaimanapun, perkahwinannya tidak kekal dan anaknya tinggal bersama bekas suaminya.

Kemudian dia berpindah ke Paris dan menjadi seorang penari eksotik (tarian dari dunia timur yang janggal di Eropah ketika itu). Mata Hari menjadi terkenal tapi hal demikian tidaklah berpanjangan selepas beberapa tahun. Trend telah berubah dan lebih ramai penari muda yang berbakat telah menandinginya.

Dek kerana masalah kewangan, akhirnya dia menjalinkan hubungan sulit dengan menggoda pegawai kerajaan dan tentera. Ketika berusia 40-an, dia telah jatuh cinta pada seorang Kapten Rusia, Vladimir de Masloff. Akan tetapi, Masloff telah cedera dalam peperangan dan buta sebelah mata. Untuk membantu kekasihnya, Mata Hari terdesak untuk mendapatkan wang. Akhirnya dia menerima tugasan sebagai pengintip untuk Perancis (tetapi dia tidak diberitahu secara ‘direct’ bahawa tugas tersebut ialah tugas pengintipan).

Dia ditugaskan untuk menggoda pegawai tinggi German dan mendapatkan maklumat, tetapi dia tidak Berjaya ke tahap itu. Dia hanya berkenalan dengan seorang duta Jerman tetapi akhirnya dituduh sebagai agen Jerman. Di peringkat inilah, dia dianggap sebagai ‘double agent’ oleh para sejarahwan eropah.

Pada 13 Februari 1917, Mata Hari ditangkap oleh pihak berkuasa Perancis dan ditempatkan di penjara Saint-Lazare. Semasa perbicaraan, Mata Hari menafikan dia menerima upah sebagai pengintip Jerman tetapi upah tersebut hanya untuk servis seks sahaja. Mahkamah tentera tetap menjatuhkan hukuman mati kepadanya walaupun bukti yang dibahaskan adalah tidak kukuh.

4gambar ketika Mata Hari ditahan.

Matahari telah dihukum dengan ditembak dari semua penjuru secara serentak. Berakhirlah kehidupan seorang ‘primadona eksotik’ di penjara tersebut.

Adakah kes Aisyah mempunyai persamaan lain dengan Dr Aafia & Mata Hari?

Hanya ada dua persamaan, mereka ialah wanita dan dituduh terlibat dalam keganasan. Status Aisyah masih belum diketahui, cuma beliau telah dibuktikan tidak bersalah pada perbicaraan pertama sebelum ditangkap semula dan ditahan secara ‘tahanan rumah’. Manakala kedua-dua kisah yang saya tulis ini lebih malang nasib mereka.  Saya berharap agar dengan penulisan artikel ini, kita dapat meluaskan sudut pandang terhadap sesuatu isu. Dan, semoga kes Siti Noor Aisyah ini diselesaikan dengan adil dan saksama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *