Pandangan

SURAT TERBUKA KEPADA DATO’ HAJI ZAILAN SHAARI, PEGAWAI EKSEKUTIF JABATAN KEWANGAN UIAM

SURAT TERBUKA KEPADA AYAHANDA DATO’ HAJI ZAILAN SHAARI, PEGAWAI EKSEKUTIF JABATAN KEWANGAN UIAM

Saya berharap surat terbuka ini diterima baik atas kapasiti saya selaku mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak. Saya menulis surat terbuka atas dasar empati pada rakan-rakan mahasiswa lain yang sama-sama terbeban dengan polisi yang bakal dilaksanakan pihak ayahanda Dato’ selaku Pengarah Eksekutif, Jabatan Kewangan UIAM kampus Gombak. Perkara yang saya ingin utarakan adalah berkenaan dengan yuran LIDV (Live-In-During-Vacation) Mahallah.

 

  1. GOOD GOVERNANCE

Bagi sebuah Universiti Islam yang sepatutnya menjunjung tinggi nilai-nilai keadilan dan kesaksamaan dalam pentadbiran, tiga prinsip utama Tatakelola Kerajaan Yang Baik (Good Governance) iaitu Transparensi, Akauntibiliti dan Partisipasi seharusnya dipraktikkan dalam penggubalan polisi-polisi universiti.

Namun, sangat mengecewakan bagi kami sebagai pemegang taruh terbesar di Universiti apabila banyak polisi yang dilaksanakan tidak mempraktikkan nilai-nilai Good Governance yang disebutkan di atas.

Saya maklum bahawa tidak semua polisi relevan untuk dibincangkan bersama mahasiswa tetapi saya perlu tekankan bahawa apa-apa polisi yang melibatkan kebajikan pelajar, mahasiswa seharusnya dilibatkan dalam proses penggubalan polisi tersebut. Namun secara realitinya proses itu tidak pernah wujud. Kesannya, di UIAM penjualan air botol mineral telah diharamkan dan yang terbaru, pihak Jabatan Kewangan UIAM bakal melaksanakan polisi caj tambahan LIDV. Persoalannya, di manakah Universiti Islam dalam memartabatkan nilai-nilai Good Governance dalam pentadbiran?

 

  1. POLISI YANG MEMBEBANKAN

Saya terpanggil untuk memberi respon tentang isu ini berikutan Jabatan Kewangan yang mahu menghidupkan semula polisi pembayaran tambahan kepada pelajar yang meninggalkan barang pada cuti semester. Baru-baru ini pihak Jabatan Kewangan mengeluarkan kenyataan bahawa polisi lama yuran LIDV bakal dilaksanakan semula. Ini bermakna, mahasiswa perlu mengosongkan bilik mereka walaupun cuti semester hanya berlangsung selama tiga minggu sahaja dan sudah tentu akan membebankan pelajar apatah lagi mereka  yang tinggal di luar Lembah Klang.

Dalam isu ini, saya dan rakan-rakan mahasiswa kecewa kerana pihak Jabatan Kewangan tidak telus ketika menjalankan tugas terutama hal yang melibatkan kewangan pelajar.‎ Persoalannya, ke manakah kutipan kompaun itu bakal disalurkan? Hal ini kerana kami tidak menerima sebarang justifikasi dan penjelasan berkenaan kutipan wang tersebut.

Kedua, tiada langsung langkah yang diambil oleh pihak Dato’ untuk berbincang dengan wakil mahasiswa dan mendengar maklum balas mereka tentang polisi ini. Lebih menghairankan, polisi ini sudah pun diperkenalkan sekitar 5-6 tahun yang lalu tetapi dibatalkan. Jadi pihak Dato’ sudah boleh menjangkakan yang mahasiswa akan membantah. Ironinya, polisi ini bakal diteruskan juga.

Saya faham bahawa polisi ini juga diperkenalkan kerana masalah kewangan universiti. Namun tidakkah Dato’ terfikir implikasi kepada polisi yang bakal memberi kesan kepada ekonomi pelajar?

Untuk memperlihatkan bahawa polisi ini, polisi yang mengempiskan poket mahasiswa, saya ingin menarik perhatian ayahanda melalui perkiraan caj LIDV:

RM 4.50/hari x 24 hari = RM 108 seorang. Dalam keadaan 62% anak-anak pelajar UIAM terdiri daripada keluarga B40, adakah wajar untuk pihak ayahanda masih mahu menagih wang mahasiswa?

 

  1. KEBAJIKAN MAHASISWA

Saya mula berasa sangsi, di manakah rasa empati pihak ayahanda kepada anak-anak pelajar? Melalui langkah yang pernah diambil sebelum ini seperti isu kenaikan yuran ‎pelajar antarabangsa sudah menunjukkan Jabatan Kewangan hanya melihat mahasiswa sebagai ‎pelanggan dan bukan sebagai pemegang taruh dalam universiti. Malah di saat mahasiswa dibebankan dengan segala masalah serta dikekang oleh keadaan ekonomi yang tidak stabil, namun masih mahu menjadikan mahasiswa sebagai entiti mencari keuntungan dan mengenepikan kebajikan mereka. Saya kira dalam hal ini, jika ayahanda benar-benar memikirkan tentang kebajikan mahasiswa, sebenarnya ayahanda akan memikirkan jalan keluar untuk mengatasi masalah kewangan universiti melalui alternatif yang lain dan bukan melalui polisi yang membebankan ini supaya kita tidak menjadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Akhir sekali, saya ingin mengajak ayahanda berfikir semula adakah polisi ini wajar dilaksanakan. Saya yakin jika ayahanda berada di tempat kami, ayahanda juga akan membantah penggubalan polisi seperti ini. Oleh itu, bersikap adillah dalam menggubal polisi dan undang-undang.

Sebagai pemegang taruh terbesar di universiti, saya dan rakan-rakan mahasiswa yang lain mendesak polisi ini perlu dibatalkan. Kami tidak sesekali akan berdiam diri jika hak dan kebajikan kami dipandang remeh oleh pihak pentadbiran. Oleh itu, saya terbuka jika surat ini mendapat balasan dari pihak Jabatan Kewangan untuk menjelaskan isu dengan lebih rasional.

 

Safirah Bazli

Mahasiswa Tahun 2, Universiti islam Antarabangsa Malaysia

LEAVE A RESPONSE