Seorang pelajar menunjukkan placard sebagai tanda sokongan mereka terhadap Himpunan Awam Mahasiswa Tuntut Jaminan Kebajikan di hadapan bangunan Canseleri Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 DISEMBER 2019.

Budaya Baharu Politik Mahasiswa Yang Perlu Dicontohi

Kredit Gambar : Ahnaf Irsyad

 

Pada 13 Disember 2019, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) telah menganjurkan Himpunan Aman Tuntut Jaminan Kebajikan. Himpunan yang diadakan dihadapan bangunan Canseleri Universiti Malaya itu bertujuan untuk menuntut jaminan kebajikan bagi para mahasiswa. KMUM merasakan bahawa berlaku ketempangan dalam pentadbiran Universiti Malaya terhadap kebajikan mahasiswa Universiti berprestij tersebut. Ini jelas dalam ucapan pembukaan oleh Yang Dipertua KMUM, Saudara Akmal Haziq. Dalam ucapannya, beliau menyatakan ketidakpuashatian terhadap polisi-polisi yang dilaksanakan pihak Universiti yang diihat menekan mahasiswa. Masalah yang sama juga dilihat telah berulang untuk sekian lama. Pihak Universiti juga, menurut beliau, sering meberikan alasan dan justifikasi bahawa pihak Universiti mempunyai masalah kewangan ketika rundingan dan perbincangan diadakan.

 

Panggilan untuk bersama-sama hadir ke himpunan tersebut disahut pelbagai gerakan mahasiswa, baik partisan mahupun non-partisan. Antara yang hadir adalah Mahasiswa Keadilan Malaysia, UMNOSiswa, Gerakan Pembebasan Akademik, Demokrat Universiti Malaya dan banyak lagi. Himpunan ini turut dihadiri wakil dari Institut Pengajan Tinggi lain seperti wakil dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Kepelbagaian gerakan mahasiswa yang turun itu membuat hati penulis rasa terdesak untuk berbicara soal gaya politik yang dibawa generasi mahasiswa yang baharu ini.

 

Timbalan Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia, Saudara Irfan Mahzan diberikan ruang untuk berucap dalam himpunan tersebut. Dalam ucapannya, beliau menggesa agar pihak pentadbiran Universiti Malaya memberikan perhatian mereka terhadap masalah yang dihadapi mahasiswa dan agar kebajikan mereka terutamanya mereka yang datang daripada keluarga Bottom 40 (B40) dijamin dan terbela. Ucapan beliau disusuli oleh ucapan yang penuh semangat dari Pengerusi UMNOSiswa Universiti Malaya, Saudara Mirza Adnan. Ucapan ringkas beliau juga mendesak agar pihak pentadbir membuka mata terhadap nasib mahasiswa.

 

Kredit Gambar : Ahnaf Irsyad

 

Di sini, penulis dapat melihat sesuatu yang menarik dalam himpunan ini. Dua gerakan mahasiswa partisan yang berbeza dapat bersama-sama berganding bahu dan untuk menyuarakan suara para mahasiswa. Malah, setelah perhimpunan tamat, penulis dan rakan-rakan Mahasiswa Keadilan Malaysia meluangkan masa bersembang dengan UMNOSiswa. Kami mencapai kata sepakat, bahawa soal kebajikan mahasiswa adalah soal yang paling utama dan harus diperjuangkan. Biar berlainan pendapat dalam soal politik nasional, namun soal kebajikan mahasiswa bukanlah soal yang boleh dikompromi. Kedua-dua pihak bersetuju meletakkan perbezaan politik mereka ke tepi dan sudi menggembleng tenaga mengangkat semula hak mahasiswa.

 

Semangat perjuangan berorientasikan matlamat ini, pada hemat penulis, adalah tanda yang baik untuk politik Malaysia dan perlu dibudayakan di dalam kampus dan diharapkan dapat diamalkan di peringkat nasional. Amalan politik sebegini amat berbeza sekali dengan politik kovensional yang dilihat banyak mengutamakan ego dan ketaksuban terhadap parti masing-masing daripada soal kebajikan mahasiswa atau rakyat.

 

Bukankah perjuangan ini adalah perlaksanaan kata-kata menurut W.S. Rendra? Sekadar melaungkan bahawa rakyat akan selalu diutamakan, seorang anak kecil juga mampu laungkan, Tetapi untuk melaksanakan kata-kata tersebut, itulah yang membezakannya. Dan dalam soal pelaksanaan pembelaan kebajikan mahasiswa atau rakyat, tiada perbezaan yang terlalu besar untuk diketepikan termaksuklah perbezaan politik. Penulis sangat berharap agar politik nasional boleh mencontohi sikap dan budaya politik yang diamalkan mahasiswa ini. Ketepikan perbezaan, utamakan kebajikan.

 

Tanpa Kompromi, Mahasiswa Perlu Diutamakan!

 

Aliff Naif Mohd Fizam

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Mahasiswa Keadilan Malaysia 

Leave a Reply