Aktivitis mahasiswa Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke telah dikenakan tindakan oleh pentadbiran UM kerana protes yang beliau lakukan ketika menerima skrol ijazah beliau pada Konvokesyen Universiti Malaya. Ijazah serta transkrip akademik beliau telah ditarik balik oleh pentadbiran UM sebagai hukuman terhadap perbuatannya. Kami pihak Suara Mahasiswa UMS amat berdukacita dengan tindakan yang dikenakan kepada Wong Yan Ke atas sebab-sebab dibawah;

1. Kebebasan bersuara pada tempatnya?

Universiti Malaya merupakan universiti yang membenarkan kebebasan bersuara dan tidak menghalang mahasiswa untuk berprotes. Namun, kebanyakkan orang menganggap tindakan beliau bodoh dan tidak bertempat. Kami berpendapat bahawa tindakan beliau benar, kerana diplomasi telah mati. Beliau telah menghantar memo, mewujudkan perbincangan dan pelbagai cara untuk membahaskan isu demikian dengan Naib Canselor UM, namun usaha-usaha diplomatik yang dilakukan tidak membuahkan hasil. Jadi apa yang tinggal apabila diplomasi telah mati? Hanya satu kata; LAWAN!

Berkenaan dengan kesesuaian tempat berprotes, kami ingin mempersoalkan tentang kesesuaian tempat Naib Canselor mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman, rasisme dan kontrak sosial. Adakah apa yang dikatakan oleh Naib Canselor UM itu dibolehkan? Jika tidak, kami ingin persoalkan sekali lagi, adakah tempat beliau berucap pada Kongres Maruah Melayu itu tepat? Jika kalian mengganggapnya salah, jadi kedua-dua aktivis mahasiswa dan Naib Canselor ini melakukan “protes” pada tempat yang salah. Jadi mereka berdua termasuk Naib Canselor patut dihukum. Jangan kalian pandang pada jawatan seseorang, yang di atas dipandang tinggi, yang di bawah dipandang tepi.

2. Ijazah ditarik balik?

Berkenaan dengan tindakan yang dilakukan oleh pentadbiran UM, kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu. Relevankah tindakan Wong Yan Ke itu dihukum dengan menarik balik ijazah beliau? Adakah beliau berbuat jenayah? Apa kaitan pendidikan seseorang yang berhempas pulas selama 3 tahun lebih dengan protes yang dilakukannya? Kalau begitu, jadi Naib Canselor perlu ditarik kedoktoran dan jawatan beliau kerana kata-kata berbaur perkauman, rasisme dan kontrak sosial. Bukankah itu adil? Sekali lagi, kalian telah meletakkan keadilan bukan pada tempatnya, kalian sebenarnya hipokrit dalam menegakkan keadilan.

Merujuk kepada Perkara 53, Jadual Pertama Akta Universiti dan Kolej Universiti, situasi yang membolehkan ijazah mahasiswa ditarik balik ialah beliau perlu dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Setelah itu, barulah tindakan dikenakan samada ditarik balik ijazah beliau atau tidak. Maka, laporan pihak polis adalah tidak relevan dan tidak membolehkan ijazah beliau ditarik sesuka hati.

3. Mengutuk kata-kata berbaur perkauman, rasisme dan kontrak sosial yang diucapkan oleh Naib Canselor.

Sebagai Naib Canselor, beliau seharusnya menjaga keharmonian mahasiswa yang berbilang kaum dan etnik, bukannya mewujudkan ketegangan antara kaum. Nampaknya, beliau telah gagal dalam menjalankan tanggungjawab beliau dan kami sekeras-kerasnya mendesak supaya beliau berundur dari jawatan tersebut.

Apa yang dilakukan oleh Wong Yan Ke adalah adil dan saksama. Beliau menuntut keharmonian antara kaum dan bukannya memecahbelahkan perpaduan berbilang kaum di Malaysia. Jadi kalian perlu berfikir semula, samada terus menghukum Wong Yan Ke dengan pemikiran kritis anda, atau bersama-sama bersolidariti terhadap beliau. Hidup mahasiswa!

“Bila rakyat berani mengeluh,
Itu artinya sudah gawat,
Dan bila omongan penguasa,
Tidak boleh dibantah,
Kebenaran pasti terancam.

Apabila usul ditolak tanpa ditimbang,
Suara dibungkam,
Kritik dilarang tanpa alasan,
Dituduh subversif,
Dan mengganggu keamanan,
Maka hanya ada satu kata: LAWAN!”
– Widji Thukul, 1986.

#SuaraMahasiswaUMS
#KARMA
#BorneoKomrad
#UndurNC
#TolakRasisme

Leave a Reply