Membaca dan Patriotisme 

Semangat patriotisme sangat penting bagi setiap rakyat dalam sesebuah negara yang merdeka kerana bagi mengekalkan kedaulatan dan kemerdekaan negara seperti Malaysia, bukanlah suatu perkara yang mudah. Justeru, demi menjadi sebuah negara bebas daripada sebarang bentuk penjajahan, ia memerlukan setiap rakyat mempunyai kecintaan yang sangat dalam pada negara. Namun demikian, sejarah negara yang merupakan asas kepada pembentukan peradaban bangsa semakin dilupakan. Perkara ini diambil mudah oleh kebanyakan pihak kerana ia dianggap tidak mendatang-kan keuntungan atau bernilai perdagangan. Pendek kata, pengetahuan dan literasi sejarah dianggap sekadar pengetahuan am yang berbentuk picisan dan tidak memberikan kekayaan. Oleh itu, lahirlah anak bangsa yang buta sejarah dan minda mudah dijajah.

Semangat cinta akan negara bukanlah sekadar mempamerkan bendera Malaysia, menyanyikan lagu kebangsaan, melekatkan pelekat Jalur Gemilang pada kenderaan mahupun menyertai perhimpunan beramai-ramai. Kecintaan ini perlu ditunjukkan dengan penghayatan dan pengetahuan pada sejarah negara. Analoginya, seorang lelaki jatuh cinta pada seorang wanita. Bagi menakluki hati wanita berkenaan, si lelaki mestilah terlebih dahulu menyelidik apa yang disukai si wanita kerana pujangga pernah berkata, tak kenal maka tak cinta. Begitu juga kecintaan pada negara, ia perlu diselami, dihayati supaya ia terus hidup dan sukar dimatikan. Justeru budaya membaca perlu ditanam dalam kalangan rakyat Malaysia terutama mahasiswa kita pada hari ini supaya ia menjadi defensi utama negara daripada kembali dijajah orang asing.

Secara fizikal, kita sudah merdeka. Tetapi sejauh mana kemerdekaan yang diagungkan oleh kita semua? Kemerdekaan yang hanya sekadar tiada lagi tumpah darah kerana peperangan? Atau kemerdekaan kerana Melayu, Cina, India dan kaum lain masih lagi aman tinggal di bawah satu bumbung yang dipanggil Malaysia? Tepuk dada, tanya diri mana peranti pintar saya, lalu buka carian google dan taip “Malaysia masih aman.” Haaa.. apa yang kalian jumpa?
Pokoknya, kita sebenarnya masih belum merdeka secara total. Fikiran kita masih lagi dijajah. Makna kemerdekaan hari ini perlu didefinisikan semula. Jika dahulu darah menjadi saksi kita berjuang mempertahan-kan negara, namun hari ini pena dan ilmu perlu diangkat menjadi senjata. Natijahnya, sebagai mahasiswa yang ingin melihat keamanan negara, buku perlu dijadikan seperti musket. Hal ini demikian kerana buku sangat berkuasa dan berpengaruh sehinggakan Napolean pernah berkata, “Aku lebih takut dengan empat orang penulis daripada 1000 senapang.”

Apa nilai signifikan sebuah buku pada pembentukan peribadi rakyat terutama mahasiswa? Jawapannya ada pada kata hikmah ini, setitik dakwat mampu membuat sejuta manusia berfikir. Membaca sentiasa membuka inspirasi. Namun hanya membaca akan membuat inspirasi terhenti. Membumikan bacaan hanya bisa pada laku. Laku tidak semestinya harus menjadi pahlawan. Masyarakat membaca juga menggambarkan masyarakat bertamadun. Kita perlu bimbang peribadi dan kelayakan bakal graduan yang bagaimana bakal dilahirkan jika pembangunan budaya intelektual semakin suram? Justeru, bagi menyemai cinta pada buku dalam kalangan mahasiswa, strategi dan idea-idea baharu perlu digagaskan persatuan-persatuan mahasiswa. Untuk kesedaran umum, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Datuk Nafisah Ahmad mengemukakan kadar literasi penduduk Malaysia tiada peningkatan sejak 2014. Purata setiap rakyat Malaysia membaca hanya 15 hingga 20 buku setahun! Kadar literasi rakyat Malaysia masih jauh ketinggalan dengan purata negara luar. Jadi, sebagai ejen alterasi, mahasiswa perlu bangkit menobatkan budaya membaca sebagai ‘dadah’ bagi memicu ketagihan yang maha dahsyat dalam kelompok masyarakat kita lebih-lebih lagi mahasiswa.

Sebagai renungan bersama, kita cuba ambil iktibar dari sejarah Jerman. 10 Mei 1933, merupakan hari hitam Jerman di mana mahasiswa Nazi melancarkan Biblioclasm dengan membakar karya-karya agung penulis non Jerman yang tidak seiring dengan ideologi Nazi. Sekitar 70 ribu orang berkumpul di Opernplatz, Berlin dan lebih 20 ribu buku diangkut mahasiswa dengan kenderaan trak. Pidato kebencian disampaikan pemimpin mahasiswa Nazi iaitu Herbert Gutjahr dihadapan api yang marak membakar ribuan buku seakan pemikiran intelektual juga hangus dijilat api.

Jika diimbau sejarah Islam pula, Baitul Hikmah yang merupakan perpustakaan agung umat Islam yang kaya dengan khazanah ilmu dimusnahkan oleh tentera Mongol ketika penaklukan Kota Baghdad pada tahun 1258. Dikatakan Sungai Tigris atau Daljah menjadi hitam beberapa bulan kerana dakwat yang larut daripada khazanah umat Islam yang di campak ke dalam sungai yang seluas 400 meter itu. Jelaslah melalui peristiwa yang dirakam, dapat disimpulkan buku berperanan penting dalam mencipta tamadun manusia. Buku juga merupakan parameter kepada pemikiran secara kritis dalam kalangan kelompok mahasiswa. Lantas, biblioklisme menjadi salah satu senjata utama mematikan pengaruh sesebuah idealisme, ideologi atau budaya oleh parti yang berkuasa.

Selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan negara ini sebagai negara membaca pada 2030, martabat buku perlu diangkat ditempat yang tinggi. Kalian tidak akan pernah menyedari bahawa sebuah buku dapat mengubah kehidupan seseorang selagi anda tidak membaca. Pujangga berkata, seribu langkah bermula dengan langkah pertama. Siapa sangka, kecintaan pada ilmu menjadikan kalian seperti Imam As-Suyuti yang dikenali sebagai Ibn Kutub. Saidina Ali Bin Abi Talib juga pernah berkata “Jika kalian ingin melihat masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini.” Ayuh bangkit mahasiswa! Iqra’!

NUR KAMILEA SYASYA CHE SHARIF
PELAJAR TAHUN 1
UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA

Leave a Reply