PERGOLAKAN POLITIK NASIONAL: APA KATA MAHASISWA ?

Pada era Malaysia Baru ini, tidak dinafikan bahawa suara mahasiswa makin diangkat. Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kini sedang berevolusi ke arah Kesatuan Mahasiswa (KM). Keanggotaan mesyuarat senat universiti juga sudah dibuka kepada wakil pelajar. Tambahan pula, had umur mengundi pula telah diturunkan kepada 18 tahun membuktikan bahawa anak muda makin diberi peluang untuk menentukan corak kepemimpinan negara pada masa akan datang.

 

Namun, siapa sangka, pemerkasaan autonomi mahasiswa ini tidak selari dengan politik nasional yang dilihat terkebelakang.

Ya, memang benar bahang Kesatuan Mahasiswa semakin terasa.

Ya, memang benar penglibatan mahasiswa sudah sampai ke mesyuarat tertinggi universiti.

Ya, memang benar remaja seawal 18 tahun kini diberi mandat memilih pemimpin negara.

Tetapi, kehangatan konflik dalaman Pakatan Harapan yang mendominasi landskap politik kini telah menjejaskan kesatuan pakatan itu sehingga menggugah kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan mereka.

2 blok kem gergasi PKR sudah terang-terangan menzahirkan perseteruan sesama mereka.

Pelan peralihan kuasa Perdana Menteri (PM) telah dilakukan sedikit demi sedikit secara terancang.

Ada juga yang bertegas bahawa jawatan PM tidak perlu bertukar tangan.

Itu belum masuk lagi konflik yang ditimbulkan DAP. Ketidakpuashatian dalam isu tulisan Jawi, krisis dengan MB Selangor dan lain-lain lagi.

Semua ini sudah cukup menggambarkan kepincangan dalam Pakatan Harapan.

Adakah ini contoh terbaik yang ingin dipamerkan kepada anak-anak muda khususnya bakal pengundi semuda 18 tahun?

Berulang-ulang kali ditegaskan bahawa pendidikan politik perlu diberikan kepada golongan muda untuk membina kematangan mereka dalam menentukan pucuk pimpinan negara kelak.

Tetapi sayang sekali, apabila senario politik yang disajikan secara realitinya pada masa ini tidak menggambarkan tahap kedewasaan yang sepatutnya ditunjukkan kepada golongan muda ini.

Dalam pada rakyat menuntut komitmen kerajaan untuk melunasi segala manifesto dan janji, isu perjanjian pertukaran Perdana Menteri nampak lebih diberi perhatian.

 

Lantas timbul persoalan.

Adakah dengan bertukarnya Perdana Menteri, isu penderitaan rakyat akan dapat diatasi?

Adakah kos sara hidup akan dapat diturunkan seiring dengan penurunan Tun M daripada jawatan PM ini?

Adakah kebajikan mahasiswa akan lebih terbela sekiranya orang yang lebih muda diberi mandat menjadi seorang Perdana Menteri?

Wahai kerajaan Pakatan Harapan, ketahuilah, siapa-siapa pun yang menjadi Perdana Menteri, itu bukan isunya pada masa ini.

Daripada berteka-teki soal ‘survival’ Tun M sebagai Perdana Menteri, adalah lebih baik ‘survival’ rakyat terutamanya mahasiswa diberi perhatian seperti yang dijanjikan.

 

PH harus ingat, apa sebabnya anak muda memilih mereka.

Dikatakan, polisi PTPTN akan diubah.

Peminjam PTPTN akan dibenarkan untuk membayar semula pinjaman setelah bergaji RM 4000.

Namun, polisi ini terpaksa ditangguhkan dengan ketidakstabilan ekonomi menjadi alasan.

Tidak cukup itu, yuran universiti pula dinaikkan.

Wahai kerajaan Pakatan Harapan, anak muda khususnya mahasiswa dan graduan yang kurang berkemampuan meletakkan kepercayaan kepada anda bagi meringankan beban kehidupan mereka.

Usah dipersiakan kepercayaan ini dengan memberi alasan demi alasan atas kegagalan menunaikan manifesto dan janji.

 

Dari berterusan membangkitkan kerisauan rakyat terhadap masa depan Islam yang membimbangkan, lebih baik legakan keresahan anak muda yang dihimpit kos sara hidup yang menekan.

Daripada berterusan mencetuskan api perkauman, lebih baik legakan keresahan anak muda dengan pelaksanaan manifesto PTPTN seperti yang dijanjikan.
Ya, memang benar laut mana yang tidak bergelora. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Segala sesuatu yang dirancang pasti akan tergendala sekiranya ada kekangan yang menghadang.

Namun, sebagai parti yang memimpin, PH perlulah berusaha mencari solusi dan alternatif yang terbaik untuk mengatasi kekangan-kekangan yang ada bagi merealisasikan manifesto yang dijanjikan. Bukannnya berterusan melambakkan kekangan dan masalah semata-mata demi menghalalkan kegagalan PH dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan.

Dengan berlakunya pelbagai krisis dalam PH, kesatuan dalam pakatan itu boleh diragukan. Bahkan, komitmen PH dalam melaksanakan manifesto juga boleh dipersoalkan.

Ingatlah!
Disebabkan kuasa anak muda, kerajaan BN yang berkurun lama berkuasa telah dapat dijatuhkan, maka hukuman yang sama bakal menimpa Pakatan Harapan pada PRU ke-15 sekiranya janji-janji yang ditaburi tidak dilaksanakan.

Justeru, selaku anak muda, kami menggesa agar PH hentikan segala sandiwara perebutan kuasa dan jawatan, kurangkan pergolakan dalaman dan fokuslah kepada laksanakan perubahan.

 

Leave a Reply