MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR HARUS BERHENTI MAKAN DEDAK
Rahman Imuda

 ***Artikel ini ditulis beberapa bulan lepas.

“Bisik kepada telinga kawan, bagitahu ibu bapa, bahawa kerajaan yang sedia ada ini, adalah yang terbaik.”  Kata seorang wakil Majlis Perwakilan Pelajar dari Universiti Malaysia Sabah di Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional 2016 anjuran salah satu parti politik di Malaysia. Ini merupakan salah satu contoh yang memberi gambaran bahawa fenomena dedak dan mengampu turut berlaku dalam kalangan ahli Majlis Perwakilan Pelajar. Kelompok ‘ahli politik kampus’ ini dikatakan bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan, cuba kita bayangkan jika mereka sudah mula mengamalkan tradisi makan dedak bermula di kampus, bagaimana pula jika mereka sudah memegang jawatan yang lebih besar nanti?

Salah satu punca yang menyebabkan negara kita mengalami krisis politik yang teruk kerana  memiliki terlalu banyak ‘yes-man’, mereka yang sanggup menutup mulut mereka dan angguk kerana tidak mahu kehilangan jawatan atau wang. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kelompok-kelompok pemimpin pelajar ini sedang menuju ke arah itu.

aktivis-mahasiswa-58482be95593732009e07bbd

Tulisan ini bukan berniat untuk mempersoalkan pendirian politik mereka kerana saya berpendirian bahawa semua mahasiswa bebas untuk memiliki kepercayaan politik masing-masing. Apa yang saya ingin bangkitkan adalah isu ‘dedaknisme’ dan budaya mengampu dalam kalangan mereka. Budaya ini tidak memberi apa-apa manfaat kepada kita semua, si pemakan dedak akan terus mengampu dan yang diampu akan lentok mendengar puji-pujian si pemakan dedak. Akhirnya budaya kritik-saran akan semakin lumpuh dan kita tidak akan bergerak ke mana-mana.

Pagi ini saya membaca akhbar online, dan terdapat berita yang bertajuk ‘Dr. Mahathir cuba ‘pikat’ mahasiswa. Terdapat tiga orang ahli Majlis Ahli Perwakilan Pelajar yang memberi pandangan dalam laporan berita tersebut, iaitu Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zainal Asnawi Asyraf, Presiden MPP Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Syahmi Aiman Sulaiman dan Presiden MPP Universiti Malaya, Hazwan Syafiq Haznain. Mereka bertiga hanya mampu membawa hujah-hujah yang retorik yang boleh dijual oleh sesiapa sahaja tanpa perlu bergelar YDP Majlis Perwakilan Pelajar. Selaku wakil pelajar mereka sepatutnya lebih adil dalam berhujah dan cenderung membela pelajar bukan menjadi staf universiti atau pegawai kerajaan. Kelompok ini sering mengatakan bahawa mahasiswa yang berideologi anti-establishment sebagai kuda yang ditunggang oleh ahli politik. Tapi pernahkah mereka bertanya kepada diri mereka sendiri bahawa mereka juga sedang ditunggang dengan hebatnya?

Saya juga kecewa apabila salah seorang daripada YDP Majlis Perwakilan Pelajar ini bersetuju dengan tindakan yang dikenakan oleh 4 orang mahasiswa Universiti Malaya kerana keterlibatan mereka dengan demo Tangkap MO1 Ogos lepas. Padahal prosiding yang dijalankan mempunyai banyak kelemahan dan apa yang dilakukan oleh mereka bukanlah di luar norma aktivisme mahasiswa jika kita rajin menyemak sejarah.

Mahasiswa seharusnya lebih sedar tentang kepentingan memilih ahli Majlis Perwakilan Pelajar dengan betul, dan perlu turun mengundi ketika Pilihan Raya Kampus berlangsung. Mereka harus menolak calon-calon yang hanya tahu mengampu dan tidak membela kebajikan pelajar. Kelompok-kelompok pengampu ini harus  ‘dibunuh’ dengan lebih awal dalam kerjaya politik mereka. Kita bimbang jika mereka meneruskan kerjaya mereka dalam pentas yang lebih tinggi kelak, lalu meneruskan budaya ‘dedaknisme’ ini. Maka jika itu berlaku, kita mungkin akan menghadapi krisis yang lebih teruk daripada apa yang kita ada sekarang.

Mengakhiri tulisan ini, saya ingin mengingatkan kepada semua ahli Majlis Perwakilan Pelajar untuk memainkan peranan mereka yang sepatutnya, iaitu ‘mewakili pelajar’. Jangan takut untuk berkata ‘tidak’ kepada tangan-tangan halus yang ingin mengawal anda. Percayalah keberanian anda akan menjadi azimat dan maruah anda sepanjang menjawat jawatan itu. Tugas utama anda bukan ‘bercumbu’ dengan pihak pentadbiran atau mana-mana ahli politik, tapi untuk membawa suara mahasiswa dan menuntut hak-hak mahasiswa yang selalu diabaikan.

Leave a Reply