TURKI, MALAYSIA & KERJASAMA UMAT ISLAM
Perubahan suhu politik yang berlaku di Turki terutamanya selepas kemenangan AKP pada pilihan raya umum tahun 2002, sememangnya menarik minat ramai pengkaji politik antarabangsa. Gaya pembawaan Islam yang moderat dan kelantangan Erdogan mengkritik barat membuatkan Turki disanjung tinggi oleh negara umat Islam.
Kiblat politik Turki yang sebelum ni condong kepada Amerika Syarikat kini dilihat semakin beralih kepada Russia. Erdogan cuba mengimbangkan pengaruh AS dan Russia di rantau itu. Tindakan Turki meneruskan pembelian sistem pertahanan peluru berpandu S-400 daripada Russia mengundang kecaman AS. Turki terus dikeluarkan daripada program pembangunan jet pejuang generasi baru F-35 dan diancam  dikenakan pelbagai sekatan oleh Amerika Syarikat. Walau seberapa banyak ancaman yang dibuat oleh AS namun tidak dapat dinafikan Turki berjaya mengukuhkan kedudukannya di rantau tersebut.
Hasil lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr Mahathir ke Turki tempoh hari mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat Malaysia. Bermula dengan upacara meletakkan bunga di Makam Attartuk sehinggalah kepada tindakan Erdogan mempamerkan kereta nasional Turki berjenama Onuk kepada Tun Dr Mahathir. Namun bukan perkara itu yang hendak dibicarakan di sini.
Hasrat Tun Dr Mahathir yang mahu Malaysia, Turki dan Pakistan mencari jalan untuk mengembalikan kegemilangan tamadun umat Islam perlu disambut baik oleh semua pihak. Tegasnya, paling penting adalah hasil bukan hanya pandai membuat kenyataan semata-mata. Kerjasama juga bukan sahaja melibatkan perdagangan tetapi perlu juga meliputi ketenteraan.
Kemajuan teknologi Turki dan Pakistan jauh meninggalkan Malaysia. Malaysia sehingga kini masih lagi belum mencapai tahap yang memuaskan dari segi teknologi ketenteraan. Kenyataan Erdogan tentang kesediaan Turki untuk melakukan pemindahan teknologi ketenteraan kepada Malaysia ibarat suatu peluang keemasan buat negara kita. Peluang ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana tidak banyak negara yang sanggup berkongsi teknologi ketenteraan mereka.
Kejayaan kerjasama syarikat pertahanan Malaysia DRB-HICOM Defence Technologies (DEFTECH) dan Turki FNSS Defence System membina AV8 Deftech Gempita merupakan langkah Malaysia untuk lebih maju ke hadapan. Dengan kenyataan dibuat Erdogan, diharap kerjasama ini dapat diperhebatkan lagi untuk masa akan datang.
Tidak berminat untuk menyentuh isu potongan belanjawan kepada Angkatan Tentera Malaysia, namun tidak dinafikan tanpa hasrat yang kuat daripada kerajaan dalam hal ini, kemajuan tidak akan tercapai. Kerajaan diharap dapat meningkatkan bajet untuk ATM dalam belanjawan 2020 bagi memperkasakan keupayaan pertahanan negara kita yang telah sekian lama ditagih terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Kesepakatan antara negara umat Islam perlu diperluaskan lagi tidak terhad kepada Malaysia, Turki dan Pakistan semata-mata. OIC perlu berfungsi dengan sebaiknya melangkaui perbezaan mazhab dan blok politik. Pertembungan antara blok Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu dengan blok Turki dan Iran perlu dielakkan. Kesejahteraan Islam perlu dijadikan agenda utama negara umat Islam berbanding rela menjadi bidak catur atau proksi kepada kuasa besar dunia.
Amat malang sekali bagi umat Islam apabila Timur Tengah masih lagi bergolak sehingga sekarang. Negara-negara arab dianggap seakan tidak mampu lagi untuk memperjuangkan nasib umat Islam khususnya di Palestin. Masing-masing bersikap tidak endah bahkan mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara berdaulat.
Tiba masanya negara bukan Arab (Malaysia, Turki, Pakistan) seperti yang dihasratkan oleh Tun Mahathir untuk memacu kegemilangan peradaban Islam. Ketepikan segala perbezaan dan fokus kepada misi mengangkat maruah umat Islam. Kerjasama ini diharap mampu melakar sejarah baru dalam lembaran kegemilangan peradaban Islam.
Izzat Hakimi
Mahasiswa Tahun 2 Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Leave a Reply