Mengapa Dr. Zakir Naik dikritik?

Maisarah Mohd Pauzi

                 Dalam minggu ini, isu Dr Zakir Naik (DZN) sedang hangat dibicarakan apabila 19 orang termasuk pengerusi kumpulan HINDRAF,  P Waythamoorthy dan peguam Siti Kasim hari ini memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia kerana mendakwa ia melindungi pendakwah kontroversi tersebut. Tampaknya, isu tentang sosok ini kembali hangat selepas kali terakhir menjadi kontroversi di Malaysia pada tahun lalu.

Pastinya ada yang tertanya-tanya mengapa sosok ini menjadi kontroversi, tidak kurang juga dibenci oleh golongan lain. Malah, sosok ini juga dihalang daripada melawat Negara seperti United Kingdom dan Kanada.  Dalam artikel ini, saya menghimpunkan pandangan terhadap DZN dari sumber berbeza dan bukan pandangan peribadi sendiri.

  1. Cara Penyampaian

DZN dikenali sebagai seorang doktor perubatan yang aktif dalam perbandingan agama. Tidak dinafikan, perbandingan agama ada salah satu cabang ilmu yang penting untuk dipelajari. Tapi, pendekatan DZN dikecam. DZN mempelajari kelemahan agama selain Islam dan menggembar gemburkan kelemahan tersebut kepada umum. DZN didakwa tidak menghormati agama lain malah turut mempersendakan agama lain seperti Hindu. Kontroversi ini meletus di negara India sebelum ini.

Selain itu, kritikan terhadap program DZN juga dikatakan tidak adil kerana tidak ada panel dari agama lain yang duduk sepentas dengan beliau. Satu lagi perkara yang dipertikaikan ialah, sekiranya kita menonton kembali klip video DZN di lama Youtube, kita akan dapati, penyoal belum habis soalannya tapi DZN terus mencantas dan menjawab.

  1. Isu sektarian

DZN juga tidak terlepas daripada dikritik oleh Muslim daripada sekta yang berbeza. Beliau dikatakan merupakan seorang wahabi atau salafi.  Seperti kita sedia maklum, hubungan Muslim antara sekta yang berbeza tidaklah begitu baik walaupun tidak dinafikan masih ada Muslim dari sekta berbeza yang hidup dengan damai.

Kaum syiah tidak menerima DZN kerana pandangannya yang cenderung menyokong tokoh seperti Yazid b. Muawiyah. Beliau juga dikatakan sebagai seorang anti-syiah.

Di Malaysia, walaupun pertubuhan seperti ASWAJA yang dipelopori oleh Ustaz Zamihan Mat Zin tidak mewakili keseluruhan Muslim Sunni di sini, mereka turut menolak DZN. Alasannya adalah kerana fahaman wahabi DZN. ASWAJA juga menggesa ceramah DZN ditapis sebelum dibenarkan.

71460363155_freesize

  1. Ancaman Perpecahan Masyarakat

Satu isu yang paling hangat tentang DZN ini ialah ada yang mendakwa bahawa DZN akan memecahbelahkan masyarakat dalam Negara dan menyuburkan terrorisme. Siaran televisyen yang menayangkan dialog atau ceramah DZN seperti Peace TV telah diharamkan di India pada 2012 berikutan dakwaan isinya yang anti-India. Selain India, Bangladesh turut mengharamkan Peace TV selepas beberapa serangan teroris dikaitkan dengan DZN.

  1. Kredibiliti

DZN bukanlah seorang ulama, beliau hanya seorang doktor perubatan. Kenyataan ini telah mempersoalkan kredibiliti beliau. Di samping itu, persoalan kredibiliti DZN ini dikaitkan dengan tafsiran terhadap nas Quran yang dibawa DZN perlu dipersoalkan. Ironinya, DZN juga selalu berhujah kepada penyoal bahawa tafsiran penyoal itu sendiri ‘di luar konteks’ atau ‘salah interepretasi’.

Kedua-dua belah pihak baik DZN mahupun pengkritiknya memakai hujah yang sama untuk saling melawan. Adakah ini paradoks? Akhirnya, yang lahir ialah kekeliruan sahaja.

  1. Kebebasan Bersuara Yang Terpilih

Antara pengkritik DZN, khususnya di Malaysia, ialah golongan yang memperjuangkan hak kebebasan bersuara. Sekiranya DZN dibenarkan berceramah dan berdialog, mengapa tidak Irsyad Manji(liberal), Dawkins, Hitchen (atheist) dan tokoh-tokoh fahaman lain?

Bagi mereka, kebenaran untuk DZN berdakwah bukanlah kebebasan bersuara yang sebenar.

  1. Fakta dan hujah yang salah dan tokok tambah

DZN tidak terlepas daripada hujah dan fakta yang tidak tepat. Antaranya, dalam video di laman YouTube bertajuk ‘Naik – 25 mistakes in 5 min’, hujah DZN tentang Darwin telah disangkal satu persatu.

Salah satu falasi yang dibawa DZN ialah Albert Georgie (sebenarnya Albert Szent-Gyorgyi ) menulis buku ‘The Crazy Ape and Man’(tajuk sebenarnya The Crazy Ape, DZN tambah ‘and Man’ di hujung tajuk buku tersebut) telah menyangkal Teori Darwin padahal buku tersebut bukanlah buku yang melawan Teori Darwin.

Perkara yang paling tidak boleh diterima ialah DZN memetik beberapa nama tokoh, padahal tokoh tersebut tidak wujud langsung.

Jadi, apa pula pandangan anda sebagai terhadap DZN?

 

 

Leave a Reply