[Biasiswa Bagi Pelajar Palestin : Mengutuhkan Tali Persaudaraan, Mengangkat Nilai Kemanusiaan]

Mahasiswa Amanah menyokong sepenuhnya inisiatif murni Dr. Maszlee iaitu tawaran biasiswa sebanyak RM11.48 juta bagi pelajar Palestin untuk melanjutkan pelajaran di 12 universiti yang terpilih di Malaysia. Penerimaan biasiswa tersebut akan dikendalikan oleh Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), sebuah organisasi yang tidak lagi asing dalam menghubungkan rakyat Malaysia dan Palestin.

Langkah ini menjadi indikasi bahawa Malaysia berdiri teguh dalam menunjukkan solidariti kepada Palestin yang telah menjadi mangsa kerakusan Zionis selepas perang Dunia Kedua. Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah mengumumkan persetujuan pemberian biasiswa di majlis iftar PCOM juga lantang menyuarakan kecaman terhadap Israel di pentas antarabangsa.

Meskipun begitu, terdapat beberapa suara yang mengkritik langkah atas tuduhan kepentingan rakyat Malaysia diketepikan. Kenyataan ini tidak berasas memandangkan terdapat banyak lagi inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan bagi menyalurkan dana kepada rakyat Malaysia seperti menyediakan sebanyak 1,000 penempatan matrikulasi kepada pelajar daripada keluarga dalam golongan B40 termasuk bagi golongan bukan Bumiputera.

Bahkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir secara jelas telah mengesahkan bahawa dana tersebut adalah daripada sumber kewangan universiti masing-masing. Universiti yang terlibat pula terdiri daripada 11 universiti swasta dan 1 universiti awam.

Berikut merupakan perincian yang telah disebut dalam kenyataan beliau:
1. Albukhary International University dengan tajaan RM3.5 juta melibatkan 25 biasiswa;
2. Management & Science University dengan tajaan RM1.1 juta (27 biasiswa);
3. Mahsa University tajaan RM1.09 juta (20 biasiswa);
4. Kolej Universiti Islam Perlis tajaan RM1.02 juta (15 biasiswa);
5. City University RM1 juta (26 biasiswa).
6. Multimedia University dengan tajaan RM1 juta (enam biasiswa);
7. UCSI University tajaan RM719, 433 (lima biasiswa);
8. Universiti Teknologi Petronas tajaan RM681,500 (enam biasiswa);
9. Universiti Tenaga Nasional tajaan RM575,000 (tiga biasiswa);
10. Universiti Kuala Lumpur RM158,400 (dua biasiswa) dan
11. Universiti Utara Malaysia RM128,000 (dua biasiswa).

Isu kemanusiaan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng, dan pendidikan pula ialah hak mutlak setiap individu. Memandangkan Palestin dan Malaysia juga sudah lama mempunyai jalinan hubungan yang erat, tiada salah sekiranya negara kita ingin terus menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Pihak kami berharap agar para penerima biasiswa dapat memanfaatkan peluang keemasan ini sepenuhnya, agar suatu hari nanti mereka akan menjadi ‘front-liner’ dalam pembebasan serta pembangunan semula Palestin. Perang bukanlah hanya tentang senapang dan melawan, malah senjata sebenar untuk membangunkan sebuah negara itu berteraskan pen dan kertas, iaitu ilmu.

Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa dan Kemanusiaan
Mahasiswa AMANAH Nasional

Leave a Reply