Ruang untuk bersuara pada hari ini semakin bebas dan terbuka. Masing-masing mahu menyatakan pandangan dan pendapat, menyuarakan hasrat dan keinginan, meluahkan perasaan dan kritikan bagi semua isu masyarakat. Ruang ini semakin mudah dengan adanya kemudahan media sosial yang menjadi satu medium yang sangat senang untuk diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Facebook, Twitter, Instagram; sebutlah semua medium yang ada.

Tular sahaja sesuatu isu dan menjadi bualan ramai, kita selalu merasakan wujudnya keperluan untuk kita terlibat secara langsung. Lalu kita nyatakan apa yang kita rasa dan fikirkan diruangan komen, kemaskini status atau paling mudah kita ketik butang ‘suka’ dan ‘kongsi’ walaupun hanya sekadar baca tajuk sahaja. Atau hanya pada sekeping gambar yang entah dari mana sumbernya. Terkadang sebab kawan-kawan semua ramai-ramai kongsikan; kita merasakan perkara itu benar.

Hal ini menakutkan.

Kita mahu dilihat bersama dengan arus semasa. Kita tidak mahu dilihat seolah hidup di zon masa yang berbeza. Kita seolah mahu menyatakan kepada rakan-rakan kita, “Aku tahu juga tentang itu. Bukan kau je”.

Kita mahu dilihat sebagai  sang juara.

Selalu sahaja kita bersikap gopoh dan terburu-buru. Tanpa kita sedar kita sendiri terpalit dengan fitnah media sosial ini. Kita respon tanpa kita memahami apa isinya, tanpa kita mengerti apa situasinya.

Kita respon tanpa ilmu.

MENGERTI DIMANA KITA BERDIRI

Perkara paling asas apabila kita mahu mengulas atau memberikan suatu pandangan mahupun kritikan adalah kita mempunyai ilmu. Punya ilmu bererti kita tahu dan faham. Mempunyai ilmu mengajar kita untuk berhati-hati agar tidak lebih sudu dari kuahnya. Bercakap apa yang kita tidak tahu adalah satu sikap yang merbahaya. Adalah lebih baik kita diam sahaja lalu memberi masa kepada diri kita memahami isu yang sedang tular – menambahkan bacaan, luaskan rujukan atau sertai wacana yang berkaitan.

Ada perkara perlu kita respon. Ada juga perkara yang perlu kita diamkan sahaja.

Memahami bahawa tidak semua kita tahu dan faham mengajar kita untuk menghormati ketidaktahuan diri kita. Mengerti hal ini, kita tidak akan dimamah ego dan gopoh. Tetapi diselimuti dengan sabar dan tabayyun.

Kita tidak terburu-buru.

Maka dalam memberikan pandangan atau respon kepada apa-apa isu, kena bersandarkan dengan apa yang kita tahu yang bukan sekadar selapis pengamatannya dan semestinya dengan ilmu.

SEDAR LIMITASI

Apabila kita belajar dan faham kedudukan suatu ilmu, maka kita akan lebih berhati-hati dan cermat. Kita sedar dimana kita berdiri. Kita sedar apa yang perlu kita beritahu dan apa yang perlu kita membisu. Kita menjadi orang yang lebih bertanggungjawab dengan apa yang kita bicarakan.

Secara tidak langsung kita menghormati kebodohan diri sendiri. Sedar ini mengenalkan kita dengan limitasi dan batasan. Apabila tahu dimana limitasi, kita akan bercakap mengikut posisi kita sendiri. Kita tidak akan lebih daripada limitasi ini.

Menghormati kebodohan sendiri bukan sebuah kehinaan. Bahkan dia adalah sebuah kemuliaan. Mulia kerana kita menghormati kemuliaan ilmu dan pengetahuan kita. Kita tidak bercakap sesuka hati kita. Kita tidak bersuara sesedap nafsu kita.

Kita tidak mengkhianati ilmu.

Rabaknya nilai ilmu pada hari ni adalah kerana hilangnya rasa hormat kepada ilmu – hilang rasa hormat kepada kejahilan kita sendiri. Hilangnya adab kita kepada ilmu itu sendiri.

Kita sombong.

Kesannya lahirlah dua penyakit yang menimpa diri kita. Pertama – berterusan dalam kejahilan. Kedua – takbur dengan dirinya sendiri.

Dua penyakit ini mencampakkan kita jauh dalam kehinaan. Jahil kita menyebabkan orang tidak beri perhatian kepada apa yang kita bicarakan atau tuliskan. Malah kalau diambil perhatian hanyalah membuatkan hati sakit. Jahil ini menyebabkan kita terus sesat dan jauh dari kebenaran. Lebih menyedihkan, kita membawa manusia yang lain ke lembah kejahilan.

Takbur ini dalam bahasa lain adalah sombong. Sombong ini menyebabkan kita tidak mahu dengar apa yang dibicarakan orang lain. Kita tidak berminat untuk silang maklumat dan bersikap kritis dengan apa yang berbeza dengan pemahaman kita. Kita meletakkan kitalah yang benar sedang yang lain dalam kesesatan nyata; dan meraka yang sesat itu mesti bersama kita.

Akhirnya kita jauh daripada kebenaran.

Apalah yang lebih menyedihkan daripada jauh dengan kebenaran? Bertambah malang puncanya adalah daripada kita. Bukan sesiapa.

KEMBALI KEPADA ASAS – MENCARI KEBENARAN

Kita perlu mula mengasah buah fikiran dan perasaan dengan bacaan buku, menghadiri wacana dan diskusi, menulis dan mencadangkan alternatif kepada masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakat. Semua ini perlu kita lalui untuk satu hal utama – menemukan kebenaran.

Tapi kita hari ini mahu menunjukkan kehebatan (yang disangkanya kehebatan). Kepedulian kita kepada hal-hal masyarakat dan nasional bukan lagi untuk memahami kebenaran. Tetapi adalah untuk mencari modal untuk membuat serangan atas nama kritikan.

Kesannya, kita berlebih-lebihan dalam menyuarakan kritikan. Kita lebih gemar menggunakan sindiran dan cemuhan. Malah kita berani pula melabel dan merendah-rendahkan. Bukankah bahasa menjadi kayu ukur kepada akal dan peribadi kita?

Tanpa sedar kita telah menyerang ruang peribadi. Bukan lagi isu pokok yang sedang diperdebatkan. Semua ini menyalahi asas penglibatan dan kepedulian kita. Kita tidak lagi mahu mencari kebenaran. Tapi kita mahu melawan. Melawan yang dipalitkan dengan kebenaran yang bukan lagi sebuah kebenaran.

Tapi adalah untuk nafsu dipuaskan. Berbaloikah jika hanya membenihkan kebencian sesama kita dan mengeruhkan lagi keadaan?

Usaid Asmadi

Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam

Leave a Reply