Beberapa hari lepas ramai yang bersorak gembira apabila Kementerian Pendidikan memmberikan autonomi penuh kepada Universiti Awam (UA) di negara ini. Belum cukup seminggu para mahasiswa dan golongan akademik merayakan “kemenangan” yang ditunggu-tunggu ini, Pengerusi Keadilan Perak dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Ketika Menteri Pendidikan melantik Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) – hujah yang digunakan untuk mengabsahkan tindakan itu adalah; UIAM tidak menggunakan Akta Universiti Kolej Universiti, dilantik oleh sultan dan paling mencuit akal, UIAM ingin dijadikan sebagai Oxford Malaysia. Kehebatan Dr Maszlee “berpolitik” menyebabkan kita lupa, setiausaha politiknya juga mendapat lantikan politik di sebuah universiti awam. Hal itu belum dijustifikasikan, namun saya tidak sabar menunggu dalil pelantikan Pengerusi LPU UniSZA yang baharu, moga-moga ia tidak terlalu menggelikan hati.

Autonomi universiti yang membawa kebinasaan

Saya tidak pasti bagaimana pemahaman orang ramai terhadap autonomi universiti. Jika autonomi universiti hanya bererti mahasiswa boleh mengkritik kerajaan secara terbuka dan boleh membawa politikus anti-pemerintah masuk ke dalam universiti, maka ia adalah satu tanggapan yang salah. Melihat trend lantikan politik yang sedang berlaku, saya agak pesimis terhadap kebebasan akademik atau autonomi universiti yang kononnya telah dihadiahkan oleh Kementerian Pendidikan.

Pertama sekali, kita harus melihat apa yang dimaksudkan dengan pengumuman autonomi universiti baru-baru ini. Setiap universiti yang telah diberikan autonomi kini akan bertuhankan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) atau Lembaga Gabenor Universiti (LGU) tanpa gangguan oleh kementerian. Hal ini bermakna kuasa LPU dan LGU bertambah, ia sepatutnya menjadi berita baik untuk warga universiti.

Malangnya, jika lantikan ahli-ahli LPU atau LGU dari kalangan ahli politik maka ia sia-sia sahaja, kita tidak melepaskan universiti daripada penjara, tapi mencat penjara dengan warna yang baharu. Kekuasaan baharu yang diggengam oleh ahli politik berbaju LPU ini lebih berbisa kerana tidak boleh diganggu oleh Kementerian Pendidikan.

Apakah kita tidak belajar dengan pengalaman sebelum ini? Kebanyakan pegawai tertinggi universiti merupakan mereka yang dilantik secara politik, dan tidak malu untuk menggunakan mahasiswa bagi memenuhi nafsu politik mereka. Kita tidak mahu hal ini berlaku lagi, saya percaya masih banyak ahli akademik yang tidak terlibat dengan politik kepartian mampu untuk memegang jawatan ini. Bukankah politikus sudah memiliki begitu banyak kerja untuk dibereskan?

Autonomi universiti? Siapa beruntung?

Sehingga hari ini saya masih berfikir – siapa sebenarnya yang mendapat keuntungan daripada “autonomi” universiti ini? Adakah ahli akademik yang sebelum ini sukar untuk melakukan kajian tidak mesra pemerintah? Mungkin juga sebilangan kecil mahasiswa yang pada hari Selasa berteriak di tepi telinga Dr Maszlee, tapi pada hari Rabu mencium tangannya?

Bagaimana pula dengan politikus yang sedang meleleh air liurnya menantikan lantikan politik untuk mencerami kebebasan akademik negara? Selagi universiti dipandu oleh ahli politik kepartian, selagi itu autonomi universiti masih diragukan, lebih-lebih lagi jika peneraju universiti itu rakan atau sekutu politik menteri.

Saya berpandangan kekalahan mahasiswa dan ahli akademik bermula apabila kita gagal untuk menghalang Dr Maszlee menjadi Presiden UIAM. Saya ingin memuji sekelompok mahasiswa yang berani berhadapan dengan pak menteri. Dalam perjumpaan tersebut, jelas Dr Maszlee tidak sependirian dengan mahasiswa yang mahukan kebebasan pentadbiran universiti daripada politikus. Dia hanya mahu menyebut – romantisme speakers’ corner dan program-program mahasiswa.

Momentum kumpulan ini terbunuh apabila mereka bertemu dan bergambar dengan Dr Maszlee dalam ruangan mewah, ia membuatkan ramai orang terkeliru. Saya dimaklumkan ia adalah perbincangan AUKU. Ketika perjumpaan “agresif” kumpulan mahasiswa ini, mereka mendakwa memiliki lebih 50 kumpulan yang menyokong bantahan. Malangnya, ketika pertemuan “diplomasi” dengan Dr Maszlee – orang-orang yang sama sahaja dipamerkan. Ia adalah “common sense” untuk memiliki beberapa pasukan dengan pendekatan yang berbeza dalam sesebuah gerakan – jangan ingin jadi semuanya.

Modus operandi “berbincang” kementerian masih sama – mereka mahu berbincang hal yang mereka sememangnya ingin lakukan. Cuba fikirkan – isu Presiden UIAM yang tidak memerlukan Parlimen tidak dibincangkan secara kritikal, berbanding AUKU. Mengapa mereka ingin berbincang soal AUKU? Sebab mereka sememangnya ingin memindanya/menghapus undang-undang itu.

Menteri harus kompeten

Teringat saya video Rafizah Aziz marah kepada Tony Pua (wakil PH) dalam sebuah forum kerana menghalang Tun Mahathir daripada menjadi Menteri Pendidikan. Saya juga fikir Tun Mahathir tidak wajar memegang jawatan itu, tapi sesekali hati saya berjenaka – enggan terima aku? Sila ambil menteri yang tidak kompeten ini!

Leave a Reply