Hari ini kami daripada Gerakan Siswa UniSZA (GSU) menzahirkan sepenuh-penuh rasa kekecewaan terhadap perlantikan Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA yang terbaru, YBhg Senator Dato’ Dr Muhammad Nur Manuty yang jelas melanggar prinsip autonomi universiti yang diperjuangkan. Kekecewaan ini ekoran keterlibatan beliau sebagai ahli politik yang terlibat secara langsung sebagai Pengerusi Parti Keadilan Perak, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Pusat serta merupakan calon Parlimen Bagan Serai bagi PKR pada PRU 14 yang lalu.

Pelantikan beliau diumumkan di laman media sosial rasmi UniSZA kelmarin. “Sekalung tahniah Datuk Dr Muhammad Nur Manuty di atas pelantikan sebagai pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA berkuat kuasa 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021.” Tindakan ini menimbulkan tanda tanya dan tanda soal terhadap prinsip autonomi universiti yang diperjuangkan Dr.Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan. Universiti sepatutnya bebas dan mampu bergerak sendiri tanpa ada pengaruh politik

Turut mengecewakan, UniSZA baru sahaja menerima watikah status Autonomi Universiti Awam 6 hari yang lepas dimana turut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan itu sendiri bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sebelum ini, Dr.Maszlee sendiri yang telah melanggar prinsipnya apabila beliau enggan mengundurkan diri dengan mempertahankan jawatan beliau sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kami dari Gerakan Siswa UniSZA ingin mendesak pihak yang terlibat khususnya Dato’ Dr Muhammad Nur Manuty dan Dr Maszlee Malik untuk menjawab isu perlantikan ini yang sememangnya bertentangan dengan prinsip autonomi universiti. Apa-apa bentuk justifikasi terhadap perlantikan LPU Dato’ Dr Muhammad Nur Manuty tidak akan diberi kompromi selagi mana ia melibatkan perlantikan politik. Perlantikan ini sepatutnya dipertimbangkan semula dengan melantik orang yang lebih layak dan tiada keterlibatan dalam politik.

Gerakan Siswa UniSZA
11 October 2018
1:49 PM

Leave a Reply