Menghapus Politik Pandir dalam Perjuangan Mahasiswa
Imran Razalle
(Mantan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia)

 

Malaysia pasca reformasi telah menghidupkan kembali jiwa mahasiswa yang lama membungkam sedikit demi sedikit. Generasi yang lahir pasca Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 (AUKU) telah menjadikan potret perjuangan mahasiswa sudah tidak serancak sebelumnya. Mahasiswa lebih tertumpu kepada perjuangan dalam biolik kuliah bagi memenuhi kehendak kursus. Namun, mahasiswa era millennia merapati 2020 dilihat kembali bermaya, seakan diberi nafas baharu sekaligus, menghapuskan budaya mahasiswa ‘hidup dalam mati’.

Landskap politik kampus juga semakin rancak dan hangat. Mahasiswa kampus kembali berpartisipasi dalam gerak juang mencorak kampus dan melakar potret mengikut acuan mereka sendiri. Slogan-slogan dan laungan seperti ‘student power’, mahasiswa bangkit, dan banyak lagi menjadi zikir dan ratib mahasiswa terutama dalam perkumpulan gerakan ini. Front-front mahasiswa telah tertubuh terutama di kampus-kampus di sekitar lembah klang. Perkumpulan “establishment’ dan “anti-establishment” masing-masing cuba meletakkan kuasa dan meluaskan pengaruh di kampus-kampus, dengan harapan agar agenda dan ideologi yang mereka bawa mampu didokong oleh warga kampus. Nama-nama pejuang mahasiswa terdahulu seperti Hishamuddin Rais, Anwar Ibrahim, dan ramai lagi kembali meniti di bibir-bibir mahasiswa. Buku-buku seperti mahasiswa menggugat karya Muhammad Abu Bakar menjadi kitab ulung menaikkan semangat mahasiswa acuan Malaysia.

Namun, satu perkara yang kita perlu faham, apabila kita merujuk kepada perjuangan mahasiswa terdahulu, seperkara yang harus kita faham adalah perjuangan mereka merupakan perjuangan mahasiswa dan masyarakat. Berbeza pada scenario pada hari ini, situasi politik kampus lebih bersifat kepartian. Kecenderungan Jemaah mahasiswa dalam menyebarkan agenda parti politik telah menjadikan perjuangan ini semakin hilang arahnya. Keberadaan calon-calon pimpinan mahasiswa yang ditaja parti politik dalam pilihanraya kampus menjadikan keadaan lebih parah. Ini akan menimbulkan keadaan konflik kepentingan apabila bertembung diantara kepentingan mahasiswa dan kepentingan orang yang menaikkan mereka. Kewujudan parti-parti mahasiswa yang jelas menggalas agenda parti politik tertentu seperti Penggerak Mahasiswa di UM, Pro- Aspirasi di UKM, Mahasiswa Putra di UPM, dan jenama yang pelbagai di kampus yang lain secara terang-terangan melobi dasar kerajaan dan kepentingannya. Manakala Pro-mahasiswa, We Unite For Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dilihat lebih cenderung kearah pembangkang.

Hal ini dilihat agak terkebelakang kerana landskap politik kampus yang didasari oleh gerakan politik luar. Pertembungan yang agresif seperti sabotaj antara satu sama lain., perbuatan khianat dalam gerakan mahasiswa, dan lebih teruk melibatkan kes yang mencederakan dan mengugut, tidak ubah seperti politik pander yang dimainkan politikus nasional. Yang menghairankan, apabila parti penaja mahasiswa ini bertelagah berkenaan sesuatu isu, gerakan mahasiswa yang ditaja turut ‘terpaksa’ bertelagah dengan seteru mereka walaupun di kampus yang sama. Hal ini akan mengalihkan focus perjuangan mahasiswa kepada perkara yang sia-sia dan tidak lebih hanya bersifat sentiment dan perpuakan. Utopia Politik Matang tetap hanya akan hidup dalam penulisan dan bukan pada pelaksanaannya.

Mahasiswa itu sepatutnya tidak mudah dipengaruhi dengan politik luar dan menumpukan seluruh usaha dan tenaga untuk agenda kepada kepentungan mahasiswa. Mahasiswa harus punya sifat mendidik. Tunjukan kepada para pemain politik pandir bagaimana cara mahasiswa berpolitik, didasari ilmu dan tindakan berteraskan idea serta intelektual. Bukan politik pandir semberono yang dipimpin golongan bebalisme. Apabila kita menyebut perjuangan tokoh mahasiswa Hishamuddin Rais, Anwar Ibrahim, kita perlu sedar pada waktu perjuangan mereka, terasnya hanyalah mahasiswa dan kepekaan terhadap kesengasaraan rakyat. Parti politik yang terpaksa mengemis memohon sokongan mahasiswa untuk perjuangan mereka. Sebaliknya pada hari ini, penulis melihat geo-politiknya, sudah menjadi kebiasaan mahasiswa mengapatkan ‘tongkat’ daripada parti politik tidak kira kerajaan mahupun pembangkang untuk mendapatkan pengaruh dan secara tidak langsung, menjadi agen propaganda parti ‘penaja’ mereka.

demorusuh-573776f78d7a61f50a7023d3

Walau bagaimanapun, padang perjuangan politik mahasiswa di kampus masih tidak rata. Dan mahasiswa masih belum bersedia untuk menyingkirkan parti penaja daripada lakaran potret perjuangan mereka. Namun, penulis optimis akan peranan mahasiswa dalam mempamerkan model politik baharu yang didasari Politik Matang dan Demokrasi Budiman. Penulis percaya bahawa gagasan suci ini tidak akan lahir daripada kancah kekotoran politik bebal, tetapi akan dicetuskan oleh golongan ilmuan yang semestinya didokong oleh gerakan mahasiswa yang punya idea dan intelektual serta dilunaskan melalui aktivisma mereka. Kita sama-sama punya impian untuk melihat dunia ini menjadi tempat yang lebih selamat untuk didiami, tempat yang meraikan perbezaan, kerana masa hadapan bukanlah sesuatu yang kita temui, tetapi sesuatu yang kita bina bersama. Salam perjuangan buat saudara pembaca dan seluruh gerakan mahasiswa.

Leave a Reply