Masuk ke alam universiti, sistem meritokrasi akan menjadi bualan hangat di antara mahasiswa sama ada mahasiswa yang baru melangkah masuk ataupun yang sudah lama menginjek  di dalam alam ini. Memandangkan sistem ini yang difahamkan merupakan aspek utama untuk ‘survive’ dalam kehidupan sebagai setiap mahasiswa, maka akan berlakulah perlumbaan yang mana mereka ingin melibatkan diri dalam mana-mana program atau projek asalkan imbuhannya adalah merit.

Sistem ini merupakan langkah yang bagus untuk meningkatkan semangat persaingan antara mahasiswa kerana hebat dalam akademik saja tidak cukup untuk membina mahasiswa yang holistik.

Tetapi, sejauh mana mahasiswa mengambil sistem ini sebagai cara untuk mereka benar-benar berkhidmat sebagai seorang mahasiswa? Seperti yang kita tahu, program-program yang diadakan akan melibatkan mahasiswa untuk bergaul dan menyantuni masyarakat di luar sana ataupun menjadikan hubungan antara mahasiswa menjadi lebih akrab tanpa mengira kaum, bangsa ataupun agama.

Kadangkala terlintas di fikiran juga jika bergeraknya seorang mahasiswa hanya ingin menambahkan jumlah merit semata-mata dan sekiranya wujud program yang tidak menyediakan merit, mereka akan terus menolak dan menganggap bahawa program itu tidak memberi imbuhan apa-apa untuk mereka. Adakah kita mahasiswa itu?

Adakah matlamat utama sistem meritokrasi ini diwujudkan dapat dicapai sekiranya mindset setiap mahasiswa sudah disetkan seperti sedemikian? Jika benar, maka sejak awal lagi kita telah mendidik diri kita menjadi mahasiswa yang gagal.

Bayangkan, sekiranya kita sudah menghabiskan tempoh kita sebagai seorang mahasiswa, adakah kita ingin meneruskan khidmat kita kepada masyarakat ataupun kita ingin berhenti setakat di alam universiti saja?

Sedangkan khidmat yang sungguh penting di dalam peringkat kehidupan kita adalah yang mana kita sudah tidak terikat dengan cara hidup sebagai seorang mahasiswa. Di sana kita akan lebih bebas dan boleh melibatkan diri dengan pelbagai program khidmat masyarakat ataupun apa-apa program yang mendatangkan kebaikan kepada agama, masyarakat dan negara.

Begitu rugi sekiranya kita menggunakan semangat kita sebagai golongan muda hanya kerana ingin mengejar sesuatu demi kepentingan diri sendiri. Bukan sistem ini tidak baik untuk mahasiswa tetapi mahasiswa itu sendiri yang gagal memahami maksud dan objektif sebenar sistem ini diwujudkan.

Sesungguhnya, para pemuda yang besar jiwanya, tidak akan hanya berjuang untuk dirinya. Dia akan berjuang untuk agamanya, bangsanya dan negaranya. Sebenarnya, inilah sebab utama sistem meritokrasi ini diwujudkan dan diberikan kepada golongan mahasiswa yang masih berjiwa muda kerana kesanggupan kita untuk menggalas amanah ini adalah tinggi.

Oleh itu, perubahan pada cara berfikir mahasiswa perlu dilakukan dalam membentuk Malaysia yang lebih baik. Intelektualisme, idealisme, aktivisme, dan spiritualisme sepatutnya menjadi tonggak dalam diri setiap mahasiswa untuk mewujudkan masyarakat yang sejahtera dan negara yang lebih baik. Kerana pada akhirnya, mahasiswa itu untuk masyarakat dan kepada masyarakat.

Mahasiswa yang dikenali sebagai golongan intelektual sewajarnya membetulkan niat mereka. Meritokrasi itu penting untuk difikirkan, tetapi jangan terus meletakkan matlamat diri kita hanya kepada itu sahaja kerana kita akan menenggelamkan diri kita kepada sesuatu yang hanya ada imbuhan semata-mata.

Hayati semula perjalanan kita dan objektif sebenar kita sebagai seorang mahasiswa. Kita adalah golongan yang sungguh penting untuk masyarakat dan negara. Masa depan ada di tangan kita. Itulah matlamat sebenar sistem meritokrasi itu diwujudkan.

“Kembara kita ini, bukan untuk diri sendiri. Kembara kita ini, menuju Ilahi.” –Arifah Bukhari (Kembara)

 

Noor Azura Binti Jusnin
Aktivis Belia Harmoni Pantai Dalam

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply