Sabah ubah? Atau rakyat Sabah hanya termakan retorik sutradara politik di negeri ini? Wayang ini telah ditonton oleh jutaan rakyat Sabah. Kita menangis teresak-esak menyambut kebahagiaan melihat iblis UMNO dan Barisan Nasional tersungkur jatuh bergolek di sepak oleh kem lawannya. Kita bertepuk gembira, mencuit anak kecil dan memintanya menari kecil meraih kejatuhan aparat tua itu.

Sabah tidak berubah dan rakyatnya masih menjadi soldadu politik sentimen dan caci maki. Kita menerajang tengkuk rejim UMNO dan Barisan Nasional sehingga patah bahu dan lututnya. Kita mengusir parti culas ini dari pintu rumah, namun ia menyelinap masuk semula melalui tingkap. Pasca 100 hari kerajaan baharu, kita sebenarnya masih merindui rejim lama. Kita masih terpalit keringat-keringat basi para algojoh yang menyembelih rakyat berpuluh-puluh tahun.

Episod Baharu, Sabah Lama

Masalah sosial di Sabah, dari sebesar-besar permasalahan struktural kepada stereotaip prejudis rakyat Sabah – belum lagi mampu dibenam. Ia tertonjol terpasung di setiap gulung lidah kita.

Perubahan kerajaan adalah perubahan runcit-runcitan sekiranya kita sendiri tidak pernah serius dengan permasalahan setempat. Saat kita sudah tidak mengungkit-ungkit perlecehan di negeri ini dan mula menerima keputusan-keputusan sekabinet “tuhan baharu” yang disyahadahkan oleh rakyat sebagai wakil mereka di dewan parlimen yang mulia, maka kita telah mempersiapkan sebuah negeri yang berjasad tapi tidak berkepala. “Tuhan baharu” ini telah memancung kepala rakyat dengan sangat bergaya. Kita dicincang-cincang sehingga terputus urat leher, darah merah merembes, lalu kita berkata; Asal Bukan UMNO!

Ini adalah projek tersusun lagi kemas. Kita menjadi lupa kepada banyak hal. Kita lupa ucapan Azis Jamman (Ketua Wira Warisan Sabah), Mac lalu, di hadapan penduduk setinggan Kg. Istimewa Sandakan; menyelesaikan masalah setinggan di Sabah selepas 100 hari Parti Warisan Sabah diberi mandat memerintah negeri ini. Kita lupa dengan ucapan Arifin Asgali (Dun Sekong), yang mengungkap di hadapan puluhan penduduk Taman Anggerik Sandakan; bahawa 16 000 guru Semenanjung yang ada di Sabah akan dihantar pulang dan peluang pekerjaan yang luas akan dinikmati oleh penduduk pribumi di negeri ini.

Kita lupa dengan semua ini atau kita buat-buat lupa. Walaupun Dr. Yusuf Yacob (Menteri Pelajaran & Inovasi Sabah), akan membaiki 120 daripada 240 sekolah daif di negeri ini, kita tetap percaya bahawa akses pendidikan kepada seluruh anak negeri ini perlu lebih mencapah berbanding sekadar menaiktaraf fasiliti. Di ceruk-ceruk negeri, di penempatan setinggan dan rumah atas air, masih ramai anak-anak yang tidak bersekolah. Tidak mengenal huruf. Dibutakan mata mereka daripada mengenal abjad dan angka.

Angka anak-anak ini bertambah dan bertambah. Kita sedang berhadapan dengan sebentuk krisis kemanusiaan yang garang, ketika anak-anak ini memebesar dalam keadaan tidak berbekalkan pendidikan asas. Mereka membesar dalam keadaan marah, kediaman mereka digusur. Ada kalangan mereka yang melihat ibu bapa ditangkap tanpa dokumen. Mereka perlu mengharung hidup yang marah dalam masa yang sama kering daripada kesedaran sivik dan pendidikan moral. Kemarahan ini tidak akan terhapus, namun tugas kita adalah meredahkannya.

Hari Malaysia 2018

Kita tidak boleh lagi berlenggang kangkung. Berdolak dalih. Ketika hal ini masih lompong dan masyarakat kita masih canggung dengan krisis sosial di negeri ini, maka kekurangan ini perlu ditampung. Anak muda dan mahasiswa perlu menyahutnya segera.

Hari Malaysia adalah momen penting yang tidak boleh dilupakan. Tanpa meromantiskannya berlebih-lebihan, peranan anak muda hari ini, khususnya anak jati negeri ini adalah mengulang-ulang hal yang masih belum diberesi semenjak penggabungan Sabah, Sarawak dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Kita bimbang sekiranya berlaku perpecahan akibat satu dua polemik politik yang tidak menguntungkan rakyat. Di negeri yang berhadapan dengan beberapa negara jiran ini, kita telah melalui sejarah yang panjang. Etnik yang plural di negeri ini perlu disatukan. Kemiskinan, pengangkutan awam, rumah rakyat, keselamatan Esszone perlu diperkasakan.

Jika kita mahukan perubahan, tidak hanya menukar atap rumah. Kita perlu menukang segala robohan dan runtuhan. Memaku dinding yang pecah. Membina empangan kemanusiaan yang lebih besar agar ianya tidak pecah membanjiri jalan.

Sabah ubah sepatutnya minda ubah. Kita perlu mendobrak faham “benar tuan” kalangan rakyat. Kita tidak perlu menyorok lagi. Tiada siapa yang perlu ditakuti. Kerajaan yang baik adalah kerajaan yang tidak melawan rakyatnya. Pemain politik yang mendapat mandat di negeri ini tidak boleh mendabik. Sampai satu saat, mereka perlu tunduk melutut memohon mukjizat daripada rakyat. Tanpa rakyat mereka tidak menjadi tuan.

Justeru, 16 September ini, di Gaya Street Kota Kinabalu, bersama anak muda dan mahasiswa daripada komuniti indipenden di seluruh Sabah, kita melakar sejarah baharu. Kita mengungkap dan mengawasi gerak geri penguasa baharu. Rejim lama belum terbunuh, ia boleh muncul dengan warna, sepanduk dan slogan yang baru. Anak muda di negeri ini perlu mendidik diri mereka menjadi pembangkang yang digeruni pemerintah. Blok pembangkang dalam ranah politik kepartian ini bukan wira yang dinanti-nantikan. Ketika kita pula percaya kepada pemberdayaan dan membangun kesedaran dari akar umbi maka kita tidak pernah dan sekali-kali tidak perlu percaya kepada perubahan politik serta peralihan kuasa sebagai magis politik yang mampu menyediakan pelampung kepada kemelaratan rakyat di negeri ini.

Bagi menyahut segala ketempangan ini, maka dengan gabungan beberapa komuniti seperti Borneo Komrad, Free Read, KARMA, Suara Mahasiswa, ISRA dan Gagasan Siswa Merdeka menjemput seluruh rakyat Sabah yang berani dan yang tersedarkan untuk kita meraih semangat demokrasi Malaysia Baharu di negeri ini. Kita bergendang dan bernyanyi gurindam punjangga tentang rakyat yang tidak terbela di negeri ini.

Leave a Reply