Ketika Tun Mahathir mengatakan DS Najib Razak terlalu memanjakan orang miskin, aku sibuk memikirkan rakan-rakan aku yang bakal pulang ke kampus masing-masing. Aku sudah hilang nafsu untuk mengkritik pemerintah hari ini, anutan neoliberal nanti akan mencengkik leher orang-orang miskin, pada masa itu rakyat akan menjerit kerana terseksa dan sudah tidak “dimanjakan” lagi. Saat itu pasti banyak aktivis yang akan maju ke hadapan menjadi pembela rakyat. Saat itu, berhati-hatilah aktivis – undang-undang “draconian” masih mencari mangsanya.

Namun aktivis adalah si pemberani.

Jika kebanyakan pejuang rakyat tertutup mulutnya akibat kenyang memakan “ghanimah” PRU14, aku pula sudah semakin muak dengan semua ini. Zaman mahasiswa mengajarkan aku untuk menjadi seseorang idealis, kini dengan tekanan-tekanan kehidupan yang wujud, aku secara perlahan-perlahan menginjak lembah realist. Adakah aku sudah putus asa dengan idea-idea pembaharuan? Adakah aku sudah tidak relevan? atau mungkin aku sudah hilang kiblat pada perjuangan kehidupan. Soalan-soalan seperti inilah yang sering menganggu tidurku.

Menjadi pejuang bermakna menjadi orang yang terbuang. Aku tidak mahu memakai tengkolok pejuang, terlalu sedikit yang telah aku korbankan atau sedikit masa yang aku bentangkan untuk mengenakan tengkolok perjuang. Namun aku memiliki ramai kenalan yang menggayakan tengkolok itu dengan penuh yakin. Kebanyakan mereka hidup dalam keadaan berjuang – diancam, dikecam dan didiskriminasi. Bagi yang melihat dari jauh ia umpama kelakuan yang tak berakal, mengapa perlu berhempas pulas untuk menyusahkan diri? Namun aku percaya mereka menghirup kenikmatan tersendiri dalam perjuangan, kerana itulah mereka istiqomah.

Aku sanggup menjadi orang terbuang, asal berteman. Asal aku punya teman-teman untuk berbicara dan melakukan kebanyakan hal bersama-sama, itu syurga bagiku. Namun apabila aku mempunyai keluarga yang mengharapkan aku – sudut pandang itu bertukar. Aku mampu menjadi orang terbuang, tapi aku tidak mahu familiku menjadi orang terbuang, akhirnya aku terpaksa salut kepada pemegang kapital kerana tewas dengan tuntutan kehidupan.

Aku mahu orang yang aku sayang hidup seperti manusia-manusia lain – bahagia dan tidak perlu merasakan berkelahi dengan akal sendiri atau autoriti. Atas sebab inilah aku jarang memberi saranan untuk orang yang aku sayang supaya terlibat dengan aktivisme yang berisiko tinggi.

Ringkasnya, aku pentingkan diri sendiri.

Apa yang aku sedang lalutkan ini aku pun tidak pasti. Aku cuma menaip untuk menghilangkan kekosongan. Hidup perlu dipenuhkan dengan makna, kerana ia sementara. Kekosongan akan membawa kepada hilangnya arah kaki melangkah, mengundang resah dan menganggu detak jantung. Carilah makna kehidupan kau, apabila kau sudah berjumpa – peluk erat-erat dengan penuh berahi.

Aku suka menonton filem. Aku ingat filem Fast and Furious 6, babak Dom bertemu Shaw – ketika Shaw berkata;

Owen Shaw: You know, when I was young, my brother always used to say, “Every man has to have a code.” Mine: Precision. A team is nothing but pieces you switch out until you get the job done. It’s efficient. It works. But you? You’re loyal to a fault. Your code is about family. And that’s great in the holidays, but it makes you predictable. And in our line of work, predictable means vulnerable. And that means I can reach out and break you whenever I want.

Dominic Toretto: At least when I go, I’ll know what it’s for.

Owen Shaw: Well, at least you have a code. Most men don’t.

Pernah tak dalam kehidupan kau, kau cuba mendefinisikan diri sendiri? Siapa kau, apa core dalam hati kau, atau bagaimana orang di sekeliling melihat diri kau? Kita selalu kata – pergi mampuslah orang nak kata apa tentang kita. Namun ketika kita memampuskan orang lain, adakah kita pernah tertanya pada diri – apa yang membuatkan aku berbeza daripada 7.4 bilion homo sapiens yang lain? Bahasa orang putihnya – existential crisis.

Pergaduhan aku dengan imiginasi dan akal telah membawa aku ke konklusi – abang Owen Shaw betul, every man has to have a code, and my code is friendship. At least at the moment. Bunyinya poyo dan sentimental. Namun cuti yang paling pasif memperlihatkan aku hal ini. Hampir setiap hujung minggu aku dapat berjumpa dan “bermalam” bersama dengan rakan-rakan, ia memberikan aku bibit kegembiraan. Aku dapat melupakan bebanan yang sedang bergayut pada bahu. Aku bahagia, bukankah dalam kehidupan ini yang kita cari adalah kebahagiaan?

Bagi yang sedang bergelut dengan kehidupan, aku harapkan kalian akan berjaya. Secara klisenya – tiada masalah yang tidak terubati. Cuma proses menyelesaikan masalah itu akan merobek setiap inci jasad kita, semoga setelah melepasinya kita akan menjadi orang yang lebih gagah. Teruskan mencari makna diri, berusahalah membantu orang lain.

Aku tamatkan di sini. Carpe diem.

Leave a Reply