Indonesia mengamalkan sistem politik orde lama dari tahun 1950 sehingga 1959. Selepas itu, dari tahun 1958 sehingga 1966 sistem demokrasi terpimpin pula dilaksanakan oleh Sukarno atau lebih dikenali sebagai Bung Karno. Selepas itu dari tahun 1966 sehingga 1998, orde baru pula dilaksanakan oleh Suharto sebelum reformasi yang mengubah sejarah Indonesia tercetus. Siapa yang boleh lupakan sebuah tragedi berdarah dan bersejarah yang berlaku di Indonesia 20 tahun yang lepas ? Tragedi yang dikenali sebagai Tragedi Trisakti tersebut berlaku pada 12 Mei 1998 di Universiti Trisakti, Indonesia.

Sebelum tahun 1998, Indonesia telah mengalami krisis politik dan ekonomi khususnya. Krisis politik berlaku apabila pada masa itu suara rakyat tidak dipedulikan, tidak bersifat demokratik dan ideologi negara iaitu Pancasila seakan-akan tidak dipatuhi. Pemerintahan politik di bawah Suharto  dilihat kacau-bilau. Pada masa yang sama, Indonesia juga mengalami krisis ekonomi di mana inflasi menyebabkan harga barang meningkat dan tidak dapat dikawal oleh pemerintah. Krisis ekonomi dan kewangan ini turut berlaku di negara-negara Asia lain termasuk Malaysia.

Krisis multinasional ini menyebabkan rakyat berasa tidak aman dan terganggu. Mahasiswa pula dilihat mencetuskan sebuah gerakan untuk menjatuhkan Suharto daripada kerusi Presiden. Mahasiswa tersebut adalah dari Universiti Trisakti dan selepas itu mahasiswa-mahasiswa dari universiti lain turut melibatkan diri dalam gerakan ini.

Pada tanggal 12 Mei 1998, saat demonstrasi tengah berjalan bagi menuntut Suharto meletakkan jawatannya, insiden penembakan oleh pihak berkuasa terhadap mahasiswa yang menyebabkan empat mahasiswa Universiti Trisakti terbunuh akibat ditembak. Mahasiwa tersebut ialah Elang Mulia Lesmana, Hafidin Royan, Heri Hertanto dan Hendriawan Sie. Lima belas orang mahasiswa pula menderita akibat luka parah dan selebihnya mengalami luka ringan.

Namun itu tidak melunturkan semangat mereka kerana mahasiswa yakin dengan perjuangan mereka. Hasilnya Suharto telah meletakkan jawatan kerana tidak mampu untuk melawan desakan tersebut serta penarikan diri daripada beberapa barisan menteri pada masa itu dan digantikan dengan Bacharuddin Jusuf Habibie atau lebih dikenali sebagai “Pak Habibie”.

Selepas Suharto dijatuhkan, era baru terbentuk di mana sistem demokrasi berjalan dengan lebih daripada sebelumnya. Ekonomi juga dilihat semakin pulih di bawah pimpinan B.J. Habibie. Sehingga kini, rakyat Indonesia masih terkesan dengan tragedi tersebut kerana tragedi itulah membawa kepada keutuhan Pancasila dan Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI).

Tragedi ini sangat berkaitan dengan hak asasi manusia. Apabila hak mengeluarkan pendapat dan bersuara dikecam, mahasiswa tiada pilihan selain melakukan demonstrasi secara besar-besaran bagi menunjukkan tanda protes mereka terhadap pemerintahan negara. Pembunuhan mahasiswa dilihat melanggar hak asasi manusia. Kejayaan mahasiswa menjatuhkan Suharto itu sahaja yang mampu membayar nyawa dan pengorbanan empat mahasiswa tersebut.

Tragedi ini cukup mengajar dan memberi pedoman kepada mahasiswa di Malaysia. Rakyat sering mengagung-agungkan Malaysia baharu selepas berlakunya peralihan kuasa rejim Barisan Nasional selepas lebih 60 tahun. Namun rakyat tidak patut lupa anak muda yang majoritinya merupakan mahasiswa institusi pengajian tinggi adalah tunjang kepada peralihan kuasa ini. Pemerintahan kerajaan lama yang penuh dengan kleptokrasi, kronisme, penyelewengan wang rakyat, rasuah telah lama diperhati oleh mahasiswa.

Akta Universiti dan Kolej Universiti ( AUKU ) 1971 telah menjadi penghalang besar kepada mahasiwa dalam menyuarakan pandangan secara bebas walaupun ia telah digariskan dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu setiap warganegara bebas bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Dalam PRU-14 yang lalu, undi setiap anak muda kepada Pakatan Harapan ( PH ) menjadi bukti kepada kemenangan PH. Kemenangan yang diberikan kepada PH adalah satu keyakinan dan kepercayaan bahawa PH mampu berjuang atas landasan yang benar dan melaksanakan janji dan  manifesto mereka sebaik-baiknya walaupun Tun Dr Mahathir mengatakan manifesto bukan sebuah kitab suci yang perlu dipatuhi sepenuhnya dan menurut Khairy Jamaluddin janji adalah untuk dimungkiri ( promises are meant to be broken ).

Mahasiswa masih menunggu pelaksanaan Janji 27 dan Janji 50 dalam Buku Manifesto Harapan iaitu penghapusan undang-undang zalim dan pengembalian kewibawaan universiti awam dan pengajian tinggi. Perjuangan mahasiswa tidak akan berhenti sampai bila-bila malah mahasiswa semakin kelihatan teguh dan kuat di mata setiap rakyat Malaysia. Mahasiswa adalah pemimpin yang bakal mencorakkan masa hadapan negara.  Segala kezaliman akan dipersoal satu demi satu oleh mahasiswa. Biarlah Tragedi Trisakti sentiasa menjadi sebuah peringatan kepada setiap pemimpin dan mahasiwa.

“Tiada percetakan yang bisa mencetak pemimpin. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas-pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol dalam kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh keamanan”. – Mohammad Nasir ( 1908-1993 ).

 

JAYMANI SEVANATHAN
MAHASISWA SAINS POLITIK UKM

Leave a Reply