Memperjuang hak untuk selamat di jalan raya. Kredit gambar: https://www.firstpost.com/photos/world-gallery/bangladesh-student-protests-rock-dhaka-more-than-100-injured-after-police-use-tear-gas-batons-to-disperse-protesters-4896191.html

DHAKA – Hashtag #WeWantJustice bergema di ruang media sosial, berikutan protes yang telah dilakukan sejak 29 Julai lalu. Berpunca dari tragedi kemalangan bas yang mengorbankan 2 nyawa anak kecil, para pelajar bangkit menyeru perhatian kerajaan. Mungkin kita sendiri juga hairan;

“Kanak-kanak terbunuh? Jadi kenapa?”

Para pelajar Bangladesh ini sebenarnya sudah serik dengan isu keselamatan jalan raya di Dhaka. Penuh dengan pemandu kereta yang tidak berhemah, lagi-lagi yang berlesen sah. Yang penting ada tangan, boleh jalan!

Shajahan Khan, pegawai senior yang berkuasa ke atas pengangkutan awam menolak sebab protes ini kerana kemalangan bas yang telah menelan hidup 2 nyawa anak kecil yang bertatih mahu ke sekolah. Katanya bulan lalu, lagi ramai mati; 33 orang terputus nyawa dalam bas. Kenapa sekarang?

Bangkitnya para pelajar ini bukan untuk mengelap hingus. Bangkitnya para pelajar (semuda 13 tahun) ini, tiapnya sibuk meminta hulur lesen sah memandu, lesen kereta dan lesen kesihatan. 31 Julai lalu mereka sempat menangkap sengih timbalan inspektor apabila pemandunya tidak berlesen sah. Hujahnya; ini kenderaan kerajaan, dia tidak tahu apa-apa!

Entah setan mana merasuk, aktivis pro-kerajaan mula mengganas. Menurut wartawan tempatan kepada BBC, ‘Bangladesh Chatra League’. Liputan jenayah memukul-mencungkil mata-merogol meningkat. Insiden penculikan sekumpulan gadis yang kebetulannya baru habis dari sekolah melarutkan kredibiliti kerajaan untuk penyelesaian yang lebih wajar. Keganasan polis (yang tentunya dinafikan usai menghiris kulit budak) menjadi-jadi apabila wujud dakwaan penggunaan tear gas.

Bahkan, mangsa bukan lagi terhad pada sesiapa yang bergelar pelajar. Beberapa anggota berita, khasnya wartawan berkamera sempat digomol kasar. Kulit mereka merekah cair dengan merah. Dibelasah dengan kaki busuk, peluh jantan yang disantau. Lensa kamera lunyai.

“Kami mahu semua pelajar pulang ke kelas, sekarang!” Tangan penguasa baru habis membetulkan seluarnya.

“Kami tidak ada kena mengena dengan BCL. Itu cuma para muda yang berpakaian pelajar, menghayun kayu untuk keruhkan suasana.” Di belakangnya, kayu sebesar lengan dewasa dihulur rapi bak baton pelari ganti.

Sesudah itu, tindakan seterusnya pula ialah memutuskan capaian Internet selama 24 jam. Sayangnya tindakan pembendungan kerajaan ini sudah lapuk – tidak tahukah mereka bahawa Internet ini selaju mata berkelip. Hashtag kini lebih berkuasa pada zaman Tuhan Baru[1]: #WeWantSafeRoad.

Di Twitter, tangis simpati berjujuran. Beberapa akaun rasmi peminat K-Pop sempat menyiarkan sedikit fakta berupa visual merah mengalir, meminta tolong agar dunia melihat kegilaan ini. Retweet demi retweet menyebarluas berita ini, sehinggalah aku di Malaysia ini mulai mengutip sisa celaru yang ada. Sengaja aku lewatkan sehari dua tiga supaya berita utama dunia boleh melaporkan sebaik-baik, setepat-tepat fakta.

Kegilaan kerajaan melenyek para pelajar yang memprotes, menunjuk di mana kurangnya adil. Namun apa pilihan mereka? Mati dihentam besi rangka bas, atau mati direjam batu aspal– kubur mereka tetap di jalanan.

Sekarang pihak dunia sudah tahu. Semua orang sudah tahu. Aku sudah tahu. Kau sudah tahu. Semua orang sudah tahu. Kerajaan mereka mengorak langkah, berkira-kira dengan hasilnya. Kempen penguatkuasaan mulai dijalankan untuk memastikan semua kenderaan telah berdaftar. Semua orang sudah tahu. Lalu semua orang harus memerhatikan gelagat mereka bagai melihat aktor bermegah di pentas teater.

 

Rujukan:

https://www.bbc.com/news/world-asia-45069935

https://globalnews.ca/news/4372335/bangladesh-student-protests-road-safety/

https://www.telegraph.co.uk/news/2018/08/04/students-injured-clashes-bangladesh-teen-protests-turn-violent/

 

[1] Merujuk karya Neil Gaiman, American Gods, New York: William Morrow, 2001

Leave a Reply