Mahasiswa Ditunggang
Tinta Purnama

Sejak kebelakangan ini, kita boleh lihat bagaimana pihak Universiti melakukan pendakwaan kepada sesetengah mahasiswa atas perbuatan melanggar tatatertib universiti mahupun atas dakwaan “mencemarkan nama baik Universiti”. Golongan mahasiswa ini lantang beraktivis diluar dan menentang kezaliman. Mereka percaya bahawa mereka merupakan generasi baharu yang wajar diberikan perhatian dan tanggungjawab mereka untuk membawa perubahan. Namun begitu, apakah benar sebegitu rupa? Apakah benar perjuangan mereka lahir dari dasar naluri seorang mahasiswa?

whatsapp-image-2016-11-19-at-5-44-33-pm-685x320

            Perkara yang kita takut ialah bagaimana mereka telahpun berkhayal bahawa mereka mewakili golongan intelektual mahasiswa. Hakikatnya, kita sedar bagaimana kewujudan tali-tali halus dari luar yang memainkan diri mereka. Perjuangan mereka berpaksikan idea-idea dari luar pagar Universiti. Realitinya, kita sedar bahawa mereka ini ialah mahasiswa yang ditunggang.

Apa yang menyedihkan ialah bagaimana badan-badan mahasiswa atau dalam konteks yang lebih umum, generasi muda ini telah ditunggang oleh kuasa-kuasa tradisi tua yang hanya menggunakan mereka untuk mempengaruhi persepsi bahawa mereka disokong oleh generasi muda. Apa yang berlaku ialah perjuangan yang mereka bawa ini langsung tidak suci, malah hitam, warisan dari kuasa-kuasa tradisi tua ini.

Mahasiswa-mahasiswa ini hidup dalam alam fantasi bahawa mereka sedang memperjuangkan perubahan dan gagasan idea mereka sendiri. Mahasiswa-mahasiwa ini hidup dalam alam fantasi bahawa mereka menggerakkan satu bentuk perubahan yang segar dan baharu.  Mahasiswa-mahasiswa ini hidup dalam alam fantasi dimana merekalah perwira yang menyelamatkan bumi. Perjuangan mahasiwa yang asalnya lahir tulus ikhlas, sudahpun tiada.

Amatlah menyedihkan apabila mahasiwa ini tidak sedar mereka sedang ditunggang oleh kuda-kuda tua yang sangat memerlukan bala tentera baharu untuk memperkukuh kedudukan mereka di singahsana kuasa. Bala tentera yang berfikiran tinggi, bala tentera yang cakna, bala tentera yang kritis dan kreatif pemikirannya. Prebet-prebet ini hanya dikerah ke medan peperangan untuk mempertahankan jeneral perang yang gemuk dan gendut di pejabat operasi.

Mendukacitakan apabila kita melihat mahasiswa-mahasiswa yang telah diberi candu oleh kuasa-kuasa tradisi tua ini. Wang dilimpahkan, kursus dijalankan,  empat mata antara mahasiswa dengan kuda tua dipertemukan. Apabila segala persiapan rapi telah dibuat, mereka dihantar ke medan. Mereka ini ibarat tentera Jepun yang percaya bahawa mati untuk Empayar itu jauh lebih mulia berbanding bertemu ibu bapa semula selepas perang.

Seruan saya kepada gerakan mahasiswa yang ditaja oleh kuasa-kuasa tradisi tua ini, sedarlah! Anda tidak mewakili golongan intelektual muda, jauh  sekali suara keramat perjuangan mahasiswa. Anda Cuma diperguna dan ditunggang oleh mereka untuk memastikan mereka dapat terus merasai kenikmatan takhta siasah. Anda Cuma diperguna agar mereka dapat melestarikan perjuangan mereka diperjuangan politik perdana. Anda tidak sekelumit pun membawa sebarang perubahan baharu dalam negara kita. Tinggalkan mereka dan mulakan perjuangan baharu. Perjuangan mahasiswa yang sebenar dan tulus ikhlas, untuk kemaslahatan negara.

Leave a Reply