Oleh: Muhammad Faiz bin Kamaruddin

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee mengumumkan secara kuatkuasa bahawa pelaksanaan sistem iCGPA tidak lagi wajib untuk diimplementasikan di universiti awam. ICGPA atau Integrated Cumulative Grade Point Average merupakan suatu pentaksiran bersepadu terhadap pelajar di universiti awam, umumnya berkenaan dengan penilaian para pelajar yang tidak hanya berasaskan kepada keupayaan akademik semata-mata, tetapi disepadukan dengan penilaian merangkumi penglibatan pelajar di dalam kampus, seakan-akan seperti kokurikulum universiti. Zahirnya, pelaksanaan sistem tersebut adalah bagi memastikan bahawa universiti dapat melahirkan para pelajar yang mempunyai kemahiran serba boleh dan menurut kerancakan pasaran kerja yang memerlukan pelajar tidak hanya cemerlang daripada sudut akademik sahaja, tetapi juga kecemerlangan kemahiran insaniah, atau lebih popular dipanggil softskill dalam kalangan pelajar. Hasil pelaksanaan sistem iCGPA tersebut, para pelajar diwajibkan untuk menyertai aktiviti kokurikulum universiti bagi mencukupi syarat penilaian iCGPA. Terdapat beberapa dimensi yang digunakan bagi melengkapkan penilaian tersebut, lazimnya dipetakan dalam kerangka ‘spider web’, antaranya adalah kemahiran komunikasi, sifat keusahawanan, dan kemahiran sosial serta kebertanggungjawaban.

Tindakan Dr. Maszlee yang mengumumkan pemansuhan arahan berwajib tersebut serta merta memberi nafas baru kepada dunia akademik di Malaysia. Dalam menepati epistemologi universiti, pengumuman itu merupakan suatu kewajaran bagi mencegah pembejatan intelektual para mahasiswa-mahasiswi di negara ini. Hal ini kerana motif pelaksanaan sistem tersebut sebenarnya merupakan tindakan politik yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan Barisan Nasional yang lalu. Strategi yang digunakan adalah merupakan pendekatan serampang dua mata, yang pertama adalah memberi kelegaan kepada mahasiswa terhadap keyakinan kerajaan BN yang dilihat mahu membantu mahasiswa memenuhi tuntutan pasaran graduan, dan yang kedua adalah melemahkan aktivisme politik dan mengurangkan kecaknaan dan penglibatan mahasiswa berkenaan dengan hal-hal ehwal semasa, baik di dalam kampus mahupun di luar kampus. Kelalaian yang dijamu kepada mahasiswa ini sebenarnya merupakan suatu penghinaan kepada para pelajar dalam mengalihkan pemerhatian mereka daripada isu-isu kemasyarakatan yang sebetulnya mereka perlu mengambil tahu sekuasa yang mungkin. Pelaksanaan iCGPA menambah beban dan melumpuhkan pembinaan jatidiri dan keperibadian pelajar di dalam kampus.

Rejim BN yang lalu cuba mencipta logik dan rasional akal kepada mahasiswa supaya tidak bersifat kritikal terhadap mereka, dengan menyuntik suatu pemikiran dan bebanan yang mahasiswa perlu habiskan semasa hayat mereka di dalam universiti. Ini jelas bercanggah dengan apa yang diujarkan Chomsky di dalam penulisan jurnalnya yang bertajuk ‘The Function of the University in a Time of Crisis’ (1969), yang menekankan bahawa ahli akademik, pemikir dan pelajar perlu bersifat subversif. Apa yang dianjurkan oleh beliau bukan bermakna bahawa golongan-golongan ini perlu menjadi ganas, jauh sekali merancang untuk melakukan kudeta, sebaliknya konotasi subversif itu dibaca dengan kenyataan bahawa mereka perlu bersifat kritikal terhadap hal ehwal semasa yang berlaku di sekeliling mereka. Menjadi konformis bukanlah suatu pilihan apabila digolongkan ke dalam golongan-golongan yang disebut sebentar tadi.

Apa yang dapat diperhatikan sejak beberapa tahun yang lalu, mahasiswa khususnya kurang kritikal terhadap isu-isu semasa yang berlaku, tambah-tambah lagi mengenai penindasan yang dilakukan oleh rejim BN yang lalu terhadap masyarakat umum. Pencabulan hak asasi manusia, sekatan-sekatan untuk menyuarakan pendapat secara kolektif, tangkapan yang tidak mengikut nisbah undang-undang, dan beberapa tindakan yang tidak popular dan tidak demokratik harus menjadi perbualan utama seseorang masyarakat yang prihatin terhadap masa depan negaranya. Walaubagaimana pun, kumpulan-kumpulan yang melazimi perbincangan tersebut seringkali terpinggir (atau dipinggirkan), tidak mendapat perhatian dan bergerak dalam jumlah yang kecil. Pelaksanaan iCGPA tersebut bahkan membuat mahasiswa bersikap individualisme dan hanya memikirkan nasib dirinya sendiri, tentang apa yang mahu dikerjakannya sesudah tamat pengajian, dan bagaimana dia harus menghadapi dan memenuhi tuntutan-tuntutan pelaksanaan iCGPA supaya dia dapat menamatkan pengajiannya tanpa sebarang masalah. Akhirnya universiti hanya menjadi kilang yang bertaraf tertiari demi memenuhi keperluan pasaran yang digerakkan kapitalisme.

Selain daripada pemansuhan kuatkuasa sistem iCGPA, Menteri Pendidikan juga menyuluhkan cahaya kepada kesepian pembangunan intelektual di universiti, apabila beliau menegaskan bahawa forum-forum dan wacana ilmiah di universiti tidak lagi boleh dihalang sama sekali, seperti apa yang berlaku semasa Malaysia tertakluk di bawah rejim kerajaan BN. Apa yang dapat diperhatikan, rejim BN yang lalu seolah-olah tidak menggemari kaum dan golongan yang bijak pandai, yang bercakap benar, dan yang mempersembahkan realiti kepada massa. Sikap autokratik lunak rejim BN ini akhirnya menghina universiti sebagai suatu tempat pembangunan insan yang mampu berfikir dan bersikap kritikal dengan isu yang ada. Ini berlaku kerana terdapatnya pengaruh-pengaruh politik yang diselitkan dalam agenda pendidikan terhadap mahasiswa, sehingga dunia akademik ini digaulkan dengan sentimen-sentimen berat sebelah dan pertimbangan daripada pihak yang digelar ‘pakar’ atau ‘penganalisis’, bidang ekonomi misalnya, yang menyanjungi penipuan dan menyajikan khayalan kepada rakyat namun tidak selari dengan realiti penindasan ekonomi yang dilakukan oleh rejim BN. Akademik seharusnya tidak menerima adunan pengaruh politik, kerana akademik itu seboleh-bolehnya harus berusaha untuk neutral dan memerihalkan kebenaran dan realiti kepada massa.

Tentang langkah penguatkuasaan penghapusan larangan untuk menjalankan aktiviti berilmiah di kampus, penulis pernah menghadapi situasi, di mana terdapatnya campurtangan rejim UMNO-BN khususnya, terhadap perbincangan akademik dan ilmiah. C4, iaitu sebuah NGO yang giat melawan dan menentang masalah seperti gejala rasuah, salahlaku wang, dan masalah integriti pernah dijemput untuk ke sebuah program yang dianjurkan di dalam UKM. Walaubagaimana pun, pasca program tersebut menonjolkan sisi-sisi kebodohan UMNO yang tidak mahu menerima kebenaran dan realiti, apabila terdapat pihak-pihak (yang pastinya UMNO) dengan sengaja menampal gambar peserta dan sekitar program tersebut di laman Facebook dan ditandakan dengan beberapa figura-figura besar UMNO seperti Ahmad Maslan dan Idris Jusoh. Tindakan tersebut ditulis dengan petikan yang mempertikaikan bagaimana C4 boleh dijemput dan isu ‘goodies’ bag yang didakwa melakarkan karikatur seolah-olah menyerupai Rosmah Mansur, isteri bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden Barisan Nasional dan bekas Presiden UMNO. Akhirnya pensyarah yang terlibat telah dipanggil setelah mendapat tekanan daripada pihak-pihak yang berkenaan.

Campurtangan dan cubaan mengambus realiti ini merupakan suatu tindakan jijik oleh ahli politik Barisan Nasional, UMNO khususnya dalam meraikan keneutralan dan kebenaran akademik, sebagai sesuatu yang patut disanjung. Kebebasan akademik bukan suatu tindakan yang popular dalam rejim UMNO-BN walaupun mendakwa bahawa sudah melakukan reformasi atau sudah berubah. Akademik dijadikan perkakas hegemoni demi menguatkan lagi politik kawalan dan kerajaan yang kuat terhadap rakyat, dengan kehadiran beberapa sosok intelektual organik seperti Dr. Noor Azlan Ghazali, Dr. Fuad Jali, dan beberapa lagi individu-individu besar yang berada di dalam Majlis Profesor Negara. Bolehkah kita membayangkan pernyataan seperti ’50 000 orang yang menganggur bukan masalah besar’ boleh terkeluar daripada individu yang diharapkan dapat menawarkan solusi kepada rakyat? Perihal tersebut secara harfiahnya sahaja menunjukkan betapa UMNO-BN yang lalu amat suka dan cinta kepada kebodohan dan menyanjungi pembodohan rakyat.

Polisi-polisi dan dasar rejim BN yang lebih cenderung kepada perniagaan juga sebagai suatu mekanisme untuk mengalihkan perhatian terhadap masalah pengangguran yang berlaku di negara ini dan menawarkan solusi simplistik. Seperti apa yang dapat diperhatikan, BN dibawah pimpinan Najib Razak amat suka sekiranya rakyat dapat menganut faham kapitalisme keseluruhannya. Implementasi subjek keusahawanan dalam pendidikan, kenyataan daripada beliau seperti ‘fresh graduate must not be a job seeker, but be a job creator’, dan menggalakkan graduan menjual nasi lemak, menunjukkan bahawa rejim BN bersungguh dan berusaha agar kesemuanya dapat menjadi tenaga kerja dan penggerak kapitalisme di negara ini. Bukanlah penulis mahu menghina atau memburukkan kapitalisme dan peniaga-peniaga yang lain, tetapi suatu idea dan pandangan yang perlu dicermati di sini adalah terdapatnya sesuatu yang salah dan tidak kena apabila kerajaan BN yang lalu tidak berupaya menawarkan alternatif yang kukuh bagi mengatasi masalah pengangguran, dan hanya melorongkan jalan untuk kesemuanya jadi peniaga semata-mata. Ini merupakan suatu tindakan objektif yang dangkal, memandangkan bahawa bukan semua lepasan graduan memiliki minat, keupayaan, dan kapasiti untuk menjadi peniaga dan usahawan. Kesudahannya, apabila keusahawanan menjadi objektif kehidupan semata-mata, lalu apa yang boleh diharapkan dalam pembangunan ilmu dan akademik di Malaysia, apabila wang dan kemewahan menjadi ‘welstanchaung’ kehidupan yang utama. Kerana itu tindakan Dr. Mahathir untuk menghapuskan budaya ‘wang adalah raja’ merupakan suatu tindakan yang tepat, memandangkan gejala-gejala kronisme, kleptokrasi, integriti, dan pembaziran serta ketirisan penggunaan wang saban tahun menjadi seperti polemik.

Dalam menghisab kiraan hari Pakatan Harapan menjadi kerajaan, pastinya sebagai seorang mahasiswa, apa yang paling ditunggu-tunggu oleh penulis adalah janji pemansuhan AUKU 1971 (Akta Universiti dan Kolej Universiti) yang dirangka oleh Dr. Mahathir sewaktu menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1970-an tersebut. AUKU 1971 giat mendapat kritikan kerana akta tersebut secara langsungnya mengarahkan bahawa mahasiswa tidak boleh menjalankan kegiatan politik, serta larangan-larangan lain yang memenjarakan mahasiswa daripada dunia luar. Lazimnya, jika diperhatikan di dalam klausa-klausa yang digunakan dalam AUKU 1971 tersebut, ia sering menegaskan bahawa apa-apa yang bercanggah dengan “apa yang ditetapkan oleh Lembaga sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau universiti” merupakan alasan bagi pihak universiti untuk menghukum pelajar yang dianggap sebagai deviant. Perkara ini seharusnya mendapat kritikan kerana penghakiman mutlak itu diletakkan pada kebitaraan universiti semata-mata, dan universiti itu sendiri terang-terangan memiliki pengaruh politik ke atasnya. Bagaimana sekiranya kritikan itu, atau aktiviti ilmiah dan wacana akademik yang dijalankan menceritakan perkara yang benar namun menggugat kedudukan rejim BN? Di sini kita boleh lihat bahawa betapa kotornya taktik rejim BN yang lalu melumuri pembodohan dan pembejatan pemikiran mahasiswa melalui kawalan undang-undang yang keterlaluan.

Politik penguatkuasaan dan kawalan bukan merupakan suatu tindakan yang bagus yang sewajarnya untuk diteruskan lagi pada zaman ini. Literasi rakyat dan jumlah mereka yang mendapat pendidikan tinggi semakin meningkat jumlahnya. Lalu apabila Akta sebegini masih lagi menjadi amalan politik dan kerajaan BN yang lalu, jelas sekali bahawa UMNO-BN masih lagi berangan-angan dan bermimpi dalam khayalan yang diciptanya sendiri. Seperti apa yang disebutkan oleh Meredith L. Weiss di dalam bukunya ‘Aktivisme Mahasiswa Malaysia’, beliau menyifatkan bahawa AUKU 1971 merupakan suatu pembendungan intelektual yang menjangkaui, atau melampaui batas undang-undang. Ini bermaksud bahawa AUKU 1971 pada dasarnya adalah untuk mengawal tindakan para pelajar bersikap kritikal terhadap kerajaan, akhirnya membodohkan mahasiswa apabila normalisasi akta tersebut meneruskan transmisi budaya ketakutan dan pembodohan tersebut.

Penerusan pelaksanaan AUKU menunjukkan bahawa rejim BN masih menganggap bahawa mahasiswa di Malaysia tidak matang, perlu dikawal, dan tidak perlu untuk mencampuri urusan politik walaupun ada mahasiswa yang berumur 21 tahun. Tidak ada langkah yang serius terhadap penelitian kembali akta tersebut dan memberi kebebasan kepada para pelajar di bawah pemerintahan dan gaya lapuk BN. Pemansuhan AUKU diyakini oleh penulis sebagai suatu langkah untuk menjambatani universiti dan masyarakat. Universiti sewajarnya menjadi penyuluh emansipasi pemikiran rakyat kebanyakan, bukan pengambus realiti dan penggalak kebodohan masyarakat. Dalam hal ini, sarjana seperti Dr. Azhar Ibrahim sangat menekankan intelektual untuk mengisi tugas-tugas kemanusiaan terhadap masyarakat. Intelektual sepatutnya menggalas tanggungjawab untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat, memikirkan dan menimbulkan masalah-masalah yang dihadapi masyarakat, dan terkedepan dalam membela nasib masyarakat umum. Lihatlah apabila sesuatu forum atau debat yang ingin dijalankan dilihat seolah-olah berpotensi menghakis legitimasi rejim BN, ianya dibatalkan atas alasan mengganggu ketenteraman awam dan berbagai alasan-alasan yang tidak masuk akal. Misalnya, pembatalan forum berkenaan GST yang dibatalkan saat-saat akhir di UIA, dan juga sesi bersama Fahmi Reza yang penulis pernah lalui, apabila tempat program tersebut asalnya di hotel kepunyaan UKM tetapi terpaksa diubah saat-saat akhir ke luar. Seharusnya mahasiswa sudah boleh melihat bahawa rejim BN memang tidak memiliki keupayaan intelektual yang tinggi untuk menangkis atau membalas secara ilmiah tentangan-tentangan yang dihadapi, sebaliknya hanya gemar menggunakan undang-undang untuk mensenyapkan pengkritik dan penentang mereka. Budaya tidak menerima kritikan, tidak terbuka kepada perdebatan dan penggunaan undang-undang yang melampau seharusnya diubah oleh masyarakat Malaysia supaya tidak terus keciciran dan ketinggalan untuk menjadi masyarakat yang memiliki mentaliti kemajuan.

Sebetulnya pandangan ini terlahir, sejujurnya kerana kemenangan Pakatan Harapan kali ini memberi sinar yang baharu kepada perkembangan dunia akademik di Malaysia. Tidak ada lagi projek pembodohan yang dilakukan oleh rejim, tidak ada lagi belenggu daya upaya kreativiti golongan akademik, dan pemupukan semangat dan fikiran mahasiswa yang kritikal dapat dijalankan. Mahasiswa sepatutnya menggolongkan diri mereka juga ke dalam kelompok intelektual, menjadi mata dan telinga masyarakat, supaya kemajuan yang dirasai itu tidak bersifat eksklusif dengan mengabaikan massa yang lain. Mahasiswa kini bukan lagi anak-anak kecil, bukan lagi mereka yang perlu dikawal, tetapi mahasiswa kini sudah berubah dan matang. Keprihatinan terhadap masyarakat, dan bersikap kritikal terhadap kerajaan yang tidak membela nasib masyarakat seharusnya menjadi sanjungan mahasiswa untuk terus membangunkan ketamadunan Malaysia. Semoga Malaysia mampu mengecapi pembangunan masyarakat yang lebih berjaya, bukan sekadar retorik.

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply