Oleh: Nina Caryn Khairul Bahri, Mahasiswa Keadilan Malaysia
Mahasiswa Keadilan Malaysia mengambil berat akan situasi di sesetengah institusi pendidikan tinggi awam seperti UITM yang telah mewajibkan pembayaran konvokesyen kepada semua pelajar walaupun mereka tidak hadir pada hari kejadian.
Pihak kami mendapati terdapat ramai graduan daripada institusi pendidikan tinggi awam yang tidak dapat untuk hadir istiadat konvokesyen atas sebab-sebab yang tidak dapat mereka elakkan. Situasi ini lebih mengecewakan bagi pelajar yang menetap jauh daripada kampus, khususnya mereka yang tinggal di negeri Sabah ataupun Sarawak. Kos penerbangan dan kos penginapan bagi pelajar-pelajar ini boleh membebankan kehidupan pelajar-pelajar yang menghadapi situasi begini.
Pihak institusi pendidikan tinggi harus lebih prihatin akan apa-apa tindakan mereka yang boleh membebankan graduan, khususnya bagi mereka yang datang daripada golongan kurang berkemampuan. Kami berpendapat tindakan-tindakan sesetengah pendidikan tinggi seperti UITM yang telah menahan atau menangguhkan pelepasan skrol akademik bagi graduan-graduan yang tidak bayar yuran ini adalah suatu perkara yang amat mengecewakan. Terutama sekali jika kita mengambil-kira bagaimana pentingnya skrol tersebut untuk graduan-graduan ini mengambil langkah untuk mendapatkan pekerjaan. Kes pengangguran graduan di dalam negara ini sudah berada di tahap yang amat kritikal, pihak universiti tidak harus mengambil langkah-langkah yang boleh membuatkan situasi ini bertambah buruk.
Kami pasti kesemua graduan-graduan ini mahu mendapat pengalaman untuk hadiri istiadat konvokesyen mereka tetapi malangnya sesetengah daripada mereka tidak mampu untuk menampung kos pengalaman tersebut. Pihak kami telah menerima berpuluhan aduan daripada mahasiswa berkenaan situasi ini daripada pelbagai institusi-institusi pendidikan tinggi awam di dalam negara. Oleh itu, kami menyeru pihak Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu daripada Pakatan Harapan akan mengambil sikap yang lebih proaktif dalam menanggani masalah-masalah mahasiswa dan graduan berbanding kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
Kami ingin mencadangkan supaya yuran konvokesyen bagi graduan Institusi Pendidikan Tinggi Awam dikecualikan atau dikurangkan sebanyak 50 peratus bagi graduan yang tidak dapat hadir istiadat konvokesyen. Kami percaya langkah ini boleh mengurangkan beban graduan khususnya yang berasal daripada golongan berpendapatan rendah. Pihak Mahasiswa Keadilan Malaysia akan menunggu respon menteri berkenaan isu, kami yakin pihak kementerian akan mengambil pendirian untuk membela nasib-nasib graduan ini.
Nina Caryn Khairul Bahri
EXCO UITM Mahasiswa Keadilan Malaysia

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply