BATU PAHAT: Penuntut  institusi pengajian tinggi (IPT) boleh berpolitik, namun perlu mematuhi ruang lingkup ditetapkan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2012, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata ini bagi memastikan mahasiswa tidak bertindak keterlaluan sehingga menjejaskan pelajaran dan masa depan mereka.

“Saya mengingatkan mahasiswa agar tidak bertindak keterlaluan dan jangan mudah dipergunakan oleh pihak luar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Minda Emas (PuMAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Tanjung Laboh, di sini hari ini.

idris_jusoh_111114_tminazirsufari_01

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pembabitan mahasiswa dalam  perhimpunan yang dicadang diadakan pada Sabtu ini di Kota Kinabalu, Sabah dan Kuala Lumpur anjuran kumpulan aktivis Gerakan Anak Muda.

Idris berkata pihaknya tidak mahu melihat berlaku budaya ‘tunjuk hero’ yang dilakukan oleh mahasiswa sebelum ini kerana ia bukan budaya Malaysia.

Beliau berkata mahasiswa perlu ada sikap tanggungjawab dan memberi perhatian kepada pelajaran kerana mereka merupakan harapan kepada ibu bapa dan negara.

“Setiap tahun, kerajaan memperuntukkan wang sebanyak RM18,000 bagi seorang mahasiswa melanjutkan pengajian ke IPT. Mahasiswa hanya membayar lebih kurang RM1,000, ini bermakna kerajaan memberi subsidi sebanyak 90 peratus,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata PuMAS ditubuhkan oleh UTHM bagi melahirkan jaguh dan insan yang mempunyai minda kejayaan.

“Ia pusat yang baik kerana dikelilingi dengan suasana perkampungan serta berdekatan dengan kawasan bandar Batu Pahat,” katanya.

Beliau berkata kedudukan PuMAS yang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Tanjung Laboh akan menjadikan kawasan sekitarnya sebagai kegunaan latihan dan pelajaran aeronautik pada satu masa nanti.

“Saya difahamkan bahawa pihak unviersiti akan mengadakan kerjasama dengan seorang pelabur untuk memajukan bidang aeronautik di sini,” katanya.

PuMAS yang dibina atas kawasan seluas enam hektar dengan kos pembinaan bernilai RM11 juta akan menjadi pusat latihan dan kegiatan luar warga UTHM.

LAPORAN ASAL

Leave a Reply