KUALA LUMPUR 07 SEPTEMBER 2017. Pendaftaran pelajar baharu sesi pengajian 2017/2018 Universiti Teknologi MARA (UiTM), Rembau. (BASIR ADD). NSTP/Ihsan PEMBACA

KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara Malaysia (PAUiTM) berteguh pendirian dan sebulat suara membantah sebarang cubaan untuk membuka kemasukan ke pusat pengajian tempatan itu kepada semua kaum.

Presiden PAUiTM Datuk Mohd Zaini Hassan pada Isnin berkata persatuan itu yang mewakili 700,000 alumni UiTM seluruh negara memandang serius tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang antara lain mendesak agar kemasukan UiTM dibuka kepada kaum lain.

Katanya, kedudukan UiTM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk anak Melayu dan Bumiputera adalah sebahagian daripada komponen hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Maka berdasarkan hakikat ini, sebarang langkah untuk mencabar keistimewaan itu dilihat sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun PAUiTM sedar bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengambil maklum sebarang tuntutan yang mewakili pelbagai masyarakat di negara ini, namun perkara berkenaan perlu ditangani dengan tegas bersama kesemua komponen kerajaan Pakatan Harapan dalam konteks pemeliharaan hak keistimewaan orang Melayu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Hindraf pada Isnin menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India, antaranya pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM.

Mohd Zaini, sebaliknya, berkata PAUiTM mencadangkan agar kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan mencari jalan bagi memperkasakan lagi institusi pendidikan ulung Bumiputera itu.

“Bagi memastikan UiTM tidak terus diganggu-gugat oleh mana-mana pihak lagi kami mencadangkan ia diletakkan di bawah satu inisiatif perlindungan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply