Berita Harian – Seorang pelajar Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) maut selepas terbabit dalam nahas dua buah kenderaan di Jalan Kota-Sawah Raja, berhampiran Jalan Limau Kambing, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.38 petang itu, mangsa, Muhammad Suhaimi Abdul Rahman, 21, yang menunggang motorsikal jenis Honda Wave disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu lori yang keluar dari simpang kecil di lokasi berkenaan dan motorsikal yang ditunggangi mangsa dari arah Lubok China menghala ke Kota.

“Berdasarkan siasatan awal, pemandu lori iaitu seorang lelaki telah keluar dari satu simpang kecil untuk ke Jalan Kota- Sawah Raja- Lubok China lalu bertembung dengan motorsikal mangsa yang bergerak di jalan utama.

“Akibat kemalangan ini mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian susulan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dalaman,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, tadi.

Sementara itu, Anuar Bakri berkata, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnya, mayat mangsa telah di bawa ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat esok.

Leave a Reply