Pertama sekali pihak Mahasiswa Pakatan Harapan ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri ke-7 Malaysia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Wanita Malaysia Pertama Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail dan kesemua barisan kepimpinan Pakatan Harapan yang telah dilantik di jawatan-jawatan penting pentadbiran negara samada dalam kabinet ataupun bukan.

Kemenangan Pakatan Harapan pada pilihanraya umum yang lalu adalah sama seperti ramalan kami, anak-anak muda daripada seluruh pelusuk negara telah keluar mengundi untuk perubahan kerana situasi kehidupan mereka yang amat terbeban di bawah pentadbiran kerajaan kleptokrasi yang lampau.

Seluruh rakyat Malaysia kini terhutang budi kepada anak-anak muda yang telah bangkit untuk selamatkan negara. Mahasiswa Pakatan Harapan dan kepimpinan Pakatan Harapan keseluruhannya hanya pemangkin pada fasilitator perubahan ini, adiwira sebenar negara adalah 5,685,252 pengundi yang telah mengundi ke arah Malaysia yang lebih gagah.

Secara khusus, golongan mahasiswa adalah golongan yang bakal mendapat manfaat yang terbesar daripada kemenangan rakyat ini. Mahasiswa Pakatan Harapan yakin kesemua janji yang terpaut dalam manifesto Pakatan Harapan akan berjaya dilaksanakan oleh kepimpinan Malaysia baharu:

 

RANGKUMAN MANIFESTO PAKATAN HARAPAN UNTUK MAHASISWA

  1. Penjaminan kepada kebebasan berpersatuan mahasiswa
  2. Penjaminan kepada kebebasan akademik dan hak berfikir
  3. Penjaminan kepada autonomi Lembaga Pengarah Universiti
  4. Penangguhan pembayaran PTPTN sehingga gaji siswazah RM4,000
  5. Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)
  6. Pembatalan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
  7. Pembubaran Biro Tatanegara (BTN)
  8. Pendidikan percuma bagi semua pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA)

Perjuangan Mahasiswa Pakatan Harapan untuk membina semula negara tidak berakhir dengan keputusan pilihanraya ini. Perjuangan ini baru sahaja bermula. Kami komited untuk terus korban usaha, masa dan tenaga kami bagi menjadi jambatan langsung antara kepimpinan Jemaah Menteri yang baharu dan kesemua rakyat mahasiswa di seantero negara.

Oleh itu, kami ingin jemput semua rakan-rakan mahasiswa tanpa mengira kaum, agama, umur, bangsa, dan latarbelakang politik silam untuk bersama dalam perjuangan membina mahasiswa berkapabiliti untuk memegang tampuk kepemimpinan negara masa hadapan. Masa untuk berkempen sudah berakhir, Mahasiswa Pakatan Harapan kini akan memberi tumpuan dalam membentuk keupayaan kepimpinan di kalangan mahasiswa secara total. Kami pasti, dengan latihan dan bimbingan yang mencukupi, generasi mahasiswa terkemudian hari akan memainkan peranan yang jauh lebih besar dalam Pilihanraya Umum Ke-15 nanti, malah mampu untuk menjadi pihak ketiga dalam pemerintahan negara (Kerajaan, Pembangkang, dan Mahasiswa)

Mahasiswa Pakatan Harapan juga ingin melegakan kerisauan sesetengah pihak akan kemungkinan Mahasiswa Pakatan Harapan untuk mula bertindak angkuh dan bersifat tidak adil seperti kumpulan mahasiswa-mahasiswa pro-kerajaan sebelumnya. Kami beri jaminan kami bahawa Mahasiswa Pakatan Harapan akan terus bergerak secara autonomi tanpa berada dibawah kongkongan kepimpinan parti dan akan terus bersifat kritikal dalam menyuarakan solusi kepada masalah mahasiswa pada pihak berwajib tanpa mengira siapa di puncak kepimpinan negara.

Akhir kalam kami ingin melontarkan cabaran kepada siswa pro-Barisan Nasional atau kerajaan sebelum ini untuk mengambil tempat kami sebagai mahasiswa pembangkang yang sentiasa bersifat kritikal pada polisi-polisi kerajaan terutamanya yang membabitkan mahasiswa. Kami yakin, jika semangat ini boleh dipupuk oleh semua pihak samada mahasiswa partisan ataupun tidak-partisan, negara ini akan sentiasa berada di atas landasan yang betul selepas kejatuhan rejim zalim kerajaan Barisan Nasional yang telah dipimpin oleh raja segala kleptokrasi.

 

MAHASISWA PAKATAN HARAPAN

Na’im Brundage

Mahasiswa Keadilan Malaysia

Khuzairi Mazlan

Mahasiswa Amanah Nasional

Abdul Hannaan Khairy

Exco Mahasiswa Pemuda PPBM

Leong Yu Sheng

DAPSY Biro Hal Ehwal Varsiti

Leave a Reply