Posted on

BELIA: ASET PELABURAN BERHARGA

Belia: Aset Pelaburan Berharga
Haissazc Shuqkin Hisham

Belia alaf baru ini merupakan satu kelompok yang begitu reaktif dan lantang memberi pandangan dan pendapat daripada isu di sosial media hinggalah kepada isu-isu nasional. Mengikut data statistik tahun 2016, sejumlah 9,398, 626 orang datang daripada kumpulan belia yang layak mengundi (20 – 39) dan kumpulan umur ini adalah kumpulan terbesar dan paling penting dalam konteks politik nasional di mana kumpulan inilah yang akan disasarkan untuk mendapat sokongan undi kepada parti-parti politik. Ini bermakna, undian daripada golongan belia amat penting bagi mencorak masa depan Malaysia yang baru.

 

Sejak akhir-akhir ini, situasi politik dan sosial di Malaysia semakin hari semakin bising dengan pelbagai isu-isu dan demonstrasi jalanan yang kini menjadi medan untuk menzahirkan pendapat seperti BERSIH, TangkapMO1, RUU355 dan sebagainya dan rata-ratanya demonstrasi ini dianggotai oleh para belia. Ini bermakna, belia menginginkan atau mendahagakan satu perubahan dalam ruang lingkup politik nasional yang bersih, telus dan amanah. Suara anak muda Malaysia ini tidak harus dipandang ringan kerana mereka ini lah aset pelaburan Malaysia paling berharga dalam tempoh jangka panjang masa depan Malaysia.

 

Belia tidak mahu menjadi sekadar pelengkap kuota dalam sesuatu majlis atau hanya berdiri tanpa fungsi bila melibatkan isu-isu semasa. Belia mahu lebih daripada itu. Belia mahu berperanan lebih dominan dan aktif dalam sesuatu keputusan yang melibatkan isu semasa dan masa depan Negara kerana ketika ini adalah saat paling penting bagi mereka mencorak masa depan Negara.

 

Belia harus diberi peluang seluasnya untuk menyatakan pandangan, pendapat ataupun berdebat tentang apa-apa isu nasional di mana-mana tempat dan pihak autoriti tidak sepatutnya menyekat kebebasan anak muda untuk bersuara hanya kerana pandangan tersebut berbeza dengan pendirian kerajaan pemerintah. Aset berharga ini perlu digilap dengan cara memberi peluang kepada mereka untuk berfikir secara kritis dan berbicara atau meluahkan pandangan dengan lebih terbuka dan berintelektual dalam apa-apa isu.
Pihak autoriti dari mana-mana pihak sepatutnya harus kembali semula ke peringkat akar umbi dan perlu mendekatkan diri dengan anak muda untuk mendengar segala luaha, idea dan buah fikiran daripada belia tentang masa depan Malaysia. Namun itu tidak cukup. Mereka perlu disediakan pentas yang lebih aktif dan efektif bagi member peluang kepada belia untuk terlibat secara langung dalam proses “decision-making” terhadap sesuatu polisi kerajaan.

 

Program seperti Felo Perdana dan Parlimen Belia tidak cukup untuk membuktikan bahawa anak muda diberi peluang yang luas dalam menentukan masa depan Negara. Mereka sepatutnya diberikan satu platform yang lebih berkesan dalam membicarakan isu-isu nasional. Mungkin, satu ruang perlu disediakan bagi setiap anak muda Malaysia untuk melontarkan pandangan dan idea di dalam persidangan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri secara langsung dan konsisten

 

Aset-aset ini perlu diberi peluang untuk dilaburkan kerana sudah tiba masanya untuk belia bergerak aktif dalam konteks mencorak masa depan Malaysia. Belia lebih tahu apa yang mereka inginkan kerana mereka yang merasai apa yang tidak dirasai oleh mereka yang berada di atas dan oleh kerana itu, sudah tiba masanya untuk diberi peluang kepada mereka untuk melakukan perubahan dan pembaharuan kepada Malaysia.

 

“Young empowerment is necessary and they must speak up on their views and opinion. Governments and politicians must create platform, an effective platform for their participation by focusing on the right of speech. Because it’s a right for young people to be heard for the better nation”

 

16601867_10206377221909436_4688625000207102719_o

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *