Semalam adalah malam yang mendebarkan untuk seluruh rakyat Malaysia. Aku fikir menonton Final UEFA Champions League pun tidak rasa berdebar seperti itu. Hal ini menunjukkan bahawa keputusan semalam amat penting untuk rakyat dalam 5 tahun mendatang.

1. Barisan Nasional telah tewas setelah memerintah lebih 60 tahun, kita ucapkan terima kasih kepada mereka. Aku berpandangan ketika Barisan Nasional memerintah berlaku kekangan yang tidak wajar kepada mahasiswa untuk terlibat secara langsung dengan proses demokrasi kampus dan negara. Hal ini sepatutnya tidak berlaku.

2. Aku berharap apabila Pakatan Harapan menerajui Malaysia, mahasiswa tanpa mengira ideologi politik dibebaskan daripada beraktivisme tanpa sebarang sekatan politik.

3. Besar juga harapan aku supaya Canselori universiti-universiti yang ada di Malaysia dikaji kelayakan mereka. Hal ini untuk mengelakkan ada “pegawai tertinggi” yang dilantik secara politik, bukan merit.

4. Mahasiswa jangan sesekali lupa janji utama Pakatan Harapan – PTPTN dibayar hanya setelah bergaji RM4,000, memansuhkan AUKU dan memberikan pendidikan percuma dalam masa 5 tahun.

5. Secara jujur, ketika PRU14 ini mahasiswa tidak banyak peranan secara keseluruhan selain daripada sebagai pengundi. Namun yang demikian, keterlibatan mahasiswa dalam membantu proses mahasiswa pulang mengundi wajar dipuji. Aku berpandangan mereka adalah pemenang “Anugerah Mahasiswa PRU14” kalau anugerah semacam itu wujud.

Terdapat juga mahasiswa yang menjadi PACA, Pemantau dan Jentera parti.

Bahkan ada mahasiswa yang menang Parlimen!

6. Bagi mahasiswa partisan (BN, PH dan GS), aku melihat semangat meraikan “perbezaan dan kepelbagaian” itu sudah mula wujud. Bergaduh dan berdebat sekali-sekala itu hal biasa, kalian juga wajar dipuji untuk komitmen kalian sepanjang PRU14 berlangsung.

7. Aku pernah menulis tentang betapa pentingnya memahami falsafah #undirosak – yakni salah satu daripadanya kerisauan tidak berlaku perubahan walaupun kerajaan bertukar. Hari ini aku ingin mengatakan hal yang sama, hujah mereka perlu dijawab bukan dimusuhi. Cuma, kita harus akui kempen mereka telah gagal untuk PRU14.

8. Sebagai mahasiswa; kos sara hidup, yuran pengajian, pinjaman pendidikan, masalah pengangguran, kualiti pendidikan dan kebebasan akademik adalah enam isu utama yang menjadi dilema mahasiswa. Semoga kerajaan baharu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan enam isu ini.

9. Kami daripada Nadi Mahasiswa ingin mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjuang bersungguh-sungguh pada PRU14. Kita mahasiswa harus terus menjadi komponen “semak dan imbang” dalam demokrasi di negara kita. Mana-mana pemerintah yang tidak mendengar keluhan dan kegusaran mahasiswa wajib ditegur.

Rahman Imuda
Ketua Editor NadiSiswa

Leave a Reply