Projek NBOS Neo Garden merupakan cetusan idea daripada 22 orang mahasiswa semester 6 Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak, Terengganu. Projek di bawah naungan Prof Madya Sahar Sa’di bin Hashim bagi subjek Kesukarelawan Kontemporari juga mendapat kerjasama daripada pihak Fakulti Sains Sosial Gunaan dan Pusat Kesenian Warisan UniSZA.

Projek yang dihasilkan ini merupakan sebuah projek yang bersifat ‘Bantu dan Tular’ yang mana media massa merupakan platform utama kami dalam menularkan projek yang dijalankan bagi memohon bantuan daripada masyarakat luar. Selain itu, projek ini juga memaparkan tanaman cili yang berkonsepkan tanaman fertigasi.

Tanaman Fertigasi adalah satu kaedah penanaman yang mana pemberian baja yang lengkap kepada tanaman diberikan dalam bentuk larutan dan disalurkan ke zon akar melalui sistem pengairan titis. Bahkan, konsep yang bertemakan Tanaman Fertigasi ini mempunyai banyak kelebihan antaranya ialah nutrien yang lengkap, media dan persekitaran yang bersih, mengatasi masalah tanah dan kualiti yang lebih baik.

Sementara itu, pengarah projek NBOS Neo Garden, Mohd Asikin Che Ahmad menyatakan bahawa projek ini turut menyediakan tempat atau ruangan santai yang boleh digunakan oleh mahasiswa UniSZA untuk mengulangkaji pelajaran, bersantai serta meluangkan masa bersama rakan-rakan bagi mengeratkan lagi silaturahim antara satu sama lain sambil menikmati keindahan alam semulajadi.

Keunikan Projek NBOS Neo Garden ini juga dapat dilihat melalui tanaman cili gantung yang menggabungkan idea Pergola dan Fertigasi yang merupakan cetusan idea ahli kumpulan secara bersama. Selain itu, menggunakan bahan kitar semula juga merupakan salah satu konsep dalam membangunkan projek ini. Hal ini bagi menjimatkan lagi kos pengeluaran. Dalam meneruskan dan menjayakan projek ini, kami turut menerima sumbangan yang berfokuskan tanaman NBOS Neo Garden seperti baja, pokok-pokok cili, alatan kebun serta sumbangan dalam bentuk kewangan bagi menyediakan sebarang keperluan.

Tujuan utama projek NBOS Neo Garden ini dijalankan adalah bagi membantu masyarakat yang memerlukan dengan setiap hasil projek yang diperoleh. Projek ini lebih memfokuskan kepada peranan ahli kumpulan sebagai sukarelawan dalam membantu masyarakat yang memerlukan. Sasaran utama bantuan ini disalurkan adalah kepada golongan ibu tunggal dan peniaga sayur-sayuran di pasar malam berdekatan. Selain daripada bertujuan untuk memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan ahli kumpulan, projek ini juga menyeru kepada semua mahasiswa terutamanya mahasiswa di UniSZA untuk bersama-sama menjaga dan mencintai alam sekitar.

Untuk mengikuti setiap aktiviti yang kami jalankan boleh dilihat di Facebook rasmi kami, NBOS Garden, Instagram @NBOSGarden atau e-mel [email protected].

Nik Ahmad Azra Bin Muhammad
Mahasiswa,
Fakulti Sains Sosial Gunaan
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

SUMBER

Leave a Reply