NILAI, 2 Mei (Bernama) — Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini mengambil inisiatif menggerakkan kempen ‘Projek Mega PRU14’ menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Yang Dipertua, Muhammad Faris Abdul Gani berkata program itu bertujuan untuk mencetuskan kesedaran kepada segenap mahasiswa USIM khususnya supaya menunaikan hak dan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.

“Bagi memastikan mesej kesedaran ini sampai kepada warga kampus, konvoi bermotosikal siswa USIM yang disertai kira-kira 300 peserta dengan 150 buah motosikal terlibat mengelilingi kampus hari ini. Pelepasan konvoi motosikal ini telah disempurnakan oleh Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM Nasrul Hakim Ahmad.

“Konvoi yang bermula dari Kompleks Sukan Tunku Najihah itu melalui jalan utama universiti, fakulti dan lokasi tumpuan mahasiswa untuk memastikan objektif kempen agar mahasiswa cakna mengenai PRU14 dan pentingnya membuang undi tercapai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya setiap undi adalah penting dan mahasiswa sebagai golongan muda yang menjadi pewaris dan penentu kepada masa depan negara perlu mengundi.

Justeru, Muhammad Faris berkata mahasiswa USIM yang telah mendaftar sebagai pengundi dan layak mengundi dalam PRU14 ini perlu menunaikan tanggungjawab tersebut serta tidak mensia-siakan hak mereka.

“MPP USIM menyambut baik langkah kerajaan yang menjadikan 9 Mei ini sebagai hari kelepasan am tambahan di seluruh negara.

“Pada masa yang sama, kita juga ingin berterima kasih kepada pihak pengurusan USIM kerana bersetuju dengan cadangan MPP untuk memberi pelepasan kuliah pada 8 Mei.

“Pelepasan ini pastinya memberi kelegaan dan kesempatan kepada mahasiswa USIM untuk pulang ke kampung masing-masing bagi menjalankan tanggungjawab mereka pada negara,” katanya.

Beliau berkata selepas kejayaan penganjuran konvoi motosikal pada hari ini, pihaknya akan mengadakan program ‘Himpunan Mahasiswa Turun Undi’ di Kompleks Islam Tuanku Muhriz pada Jumaat ini.

BERNAMA

Leave a Reply