Betul kawan, kita semua pada hakikatnya syok sendiri apabila berada di zon selesa. Aku hanya sedar tentang perang tulisan ni selepas keluar tulisan keempat mengenai Mortar Movement dan waktu itu aku di Semporna, sibuk berkisah tentang projek sekolah yang akan dibuka Mei ini. Malam itu aku buka dan baca satu-satu tulisan yang dimuatnaik, masih juga aku tenang dan tak rasa apa-apa.

Kesalahan Berfikir Secara Logik
Falasi utama tulisan “kritik sebab sayang” yang ditulis kawan-kawan dan bekas crush semua ini adalah over-generalization terhadap gerakan dan individu dalam Mortar Movement. Selain daripada tulisan Jefry Musa yang terus menyebut nama Rahman, Suhail dan kekasihnya Izzah – tulisan lain jelas menyamakan dan menyalahkan kewujudan Mortar Movement yang sememangnya sudah wujud dan sedang bernafas di alam nyata. Falasi over-generalization ini adalah kesalahan berfikir secara logik. Dalam tulisan ringkas Milana, seorang produser dari Jakarta ada menyebut bahawa sebab kenapa berlakunya falasi ini secara berulang kali, iaitu kesalahan dalam menggunakan batasan. “Eh ada Asheeq Ali, Mortar Movement ni mesti KESATUAN 2.0”, “Gimik dan propaganda, Mortar ni mesti tak turun ke masyarakat”, “Gerakan mahasiswa semua tak jelas dan tak ada arah”, “Kami di sini boleh, kenapa Mortar tak boleh?”.

Pening.

Bayangkanlah, baru dilahirkan ke bumi celik mata nampak cahaya terus diugut akan dihukum pancung? Menangis si Mortar.

Aku secara individu, langsung tidak terkesan dengan kritikan kosong yang diberi selain daripada komen tentang penyusunan gerakan dan beberapa idea bermanfaat yang boleh Mortar ambil sebagai rujukan. Bagi aku, ini yang sememangnya Mortar Movement perlukan. Aku dan kawan-kawan yang memulakan Mortar Movement dengan terbuka merasakan apa yang ditulis adalah penting dan perlu diberi perhatian serius. Sambil senyum aku dan kawan-kawan lain mencatit segala komen sihat yang diberikan malah, kami suka dan membaca tulisan yang dihantar berkali- kali. Tak percaya? Tak apa, tak boleh kita paksa orang untuk percaya kita.

Tulisan Asheeq sebelum ini ada menyebut bahawa Mortar digerakkan oleh 10 orang mahasiswa dari 3 buah universiti – Mortar yang tak sampai setahun jagung dilahirkan ke alam nyata sedang perlahan – lahan menyusun gerak kerja dalaman yang secara logiknya sememangnya tak diketahui mahasiswa lain yang tidak terlibat secara langsung memikirkan hala tuju gerakan yang banyaknya kami susun dan berbincang di sekitar Kerinchi. Sepuluh soalan tentang latarbelakang Mortar Movement yang diajukan Mukmin sudah dijawab dalam respons Asheeq yang baru dikongsi pagi 25 April.

It is not our differences that divide us. It is our inability to recognize, accept, and celebrate those differences. – Audre Lorde, aktivis hak sivil

Budaya Sihat
Kelompok yang menulis dan mengkritik secara terbuka ini, tak pernah mengguris hati. Ini semua tabiat sihat lagi pula memang kawan-kawan satu usrah. Gitu. Yang masih perli dan jeling dari jauh tu, dengan kapasiti aku sebagai kawan, datanglah jenguk dari dekat, perli perli ni pun nak ke mana kan? Dan kalau masih selesa untuk serang peribadi, itu juga contoh terbaik ‘Mahasiswa dibunuh oleh Mahasiswa’.

Tapi tenang, semua yang ditulis sudah dicatat kemas untuk dibincangkan. Terus menulis, terus sedar. Terima kasih.

 

By aininasofia

Yang lebih banyak mengajar tentang kehidupan adalah jalan yang penuh manusia & kemanusiaan.

Leave a Reply